Ketika menulis sedikit pandangan keatas filem ini, tayangan Ola Bola di pawagam Malaysia baru sahaja memasuki hari keempat. Ini kali pertama saya menonton filem di pawagam sebanyak dua kali untuk filem yang sama iaitu pada hari pertama tayangan filemnya, 28 Januari 2016 lalu dan pada hari ini, 31 Januari 2016, hari keempat tayangannya di pawagam. Kedua-duanya ditonton di GSC Nu Sentral, Kuala Lumpur.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Kita Menang sama-sama,

Kita kalah sama-sama.” – Ali, filem Ola Bola

Ustaz Zaharudin Zabidi dua kali memberi komen di dua status facebook saya, satu kata yang beliau simpulkan keatas filem ini, “Indah”. Malah, memasuki baru hari keempat tayangannya, Ola Bola sudah menjadi viral. Ramai yang memberi ulasan, “tidak sia-sia menonton filem Malaysia seperti ini”, “Ini barulah yang dipanggil filem Malaysia”, “Filem seperti ini yang kita mahukan”. Membuat bandingan dari satu filem ke satu filem adalah kerja seorang penonton yang tidak boleh dielak. Dari paparan skrin layar lebar di bilik panggung, membangkit rasa setiap dari penonton untuk memberi ulasan. Ulasan yang diterbitkan melalui media sosial, twitter, facebook, instagram malah whatsapp sekalipun harus diambil kira dalam mendapatkan sebuah pandangan yang bernas.

Yasmin Ahmad dalam menitipkan pandangan ringkasnya keatas buku Fadhli Akiti, Tonton Filem, mengesyorkan agar ‘Rasa’ menjadi bahan penting untuk menilai sesebuah filem, malah baginya, rasa adalah sesuatu yang boleh dianalisis secara intelektual.

Saya mengikuti perkembangan Chiu, selepas beliau berjaya dengan filem The Journey dengan jalan cerita yang baik dan menyentuh jiwa serta berjaya dengan hasil kutipan 17 juta ringgit Malaysia. Itu sesuatu yang patut dibanggakan. Walaupun sebenarnnya, Ola Bola ini adalah filem keempat beliau. Filem pertamanya Woohoo Big Day, kedua Great Day dan ketiga The Journey.

Selepas pemergian Yasmin Ahmad, rakyat Malaysia menunggu dengan harapan yang menggunung tinggi agar duit yang dilaburkan untuk menonton filem di panggung, berbaloi. Dengan mengejut, The Journey hadir dan membuah hasil. Apa yang diharap, akhirnya hadir jua.

Malah, dalam perbincangan Chiu dan producer, di Agenda Awani bersama saudara Kamarul, hadir persoalan, “Kenapa dengan jalan cerita yang seringkas ini, dengan pelakonnya muka baru, boleh diterima oleh penonton?”

Hari ini, perbincangan filem tidak menjadi perbincangan ke langit oleh masyarakat. Cukup dengan jalan cerita yang baik, menyentuh jiwa dan menyampaikan mesej, ianya sudah boleh diterima oleh penonton. Manakala, filem yang dihasilkan dengan kecanggihan teknologi sebenarnnya menjadi harapan kedua. Demikian juga dengan masyarakat yang mengharapkan filem Islam. Sebenarnnya filem Islam yang diharapkan adalah filem itu sendiri haruslah mempunyai mesej yang baik untuk disampaikan dan tiada budaya negatif untuk ditonton dari kalangan dewasa sehinggalah kanak-kanak.

Malah yang sepatutnya, filem adalah filem. Ia menceritakan kehidupan manusia. Kita bimbang apabila filem cuba disempitkan menjadi ‘filem Islam’ atau apa-apa sahaja yang cuba disempitkan keatasnya, kita bimbang nanti beberapa sisi kehidupan manusia tidak dapat digambarkan kepada khayalak, yang akhirnya, ia bukan dinamakan filem lagi, tetapi isi khutbah.

Jika jelas dengan konotasi filem Islam yang begini, sudah tentu saja kita boleh (jika boleh) untuk menkategorikan Ola Bola ini sebagai filem Islam, walaupun tidak perlu sebenarnya cubaan untuk menkategorikan itu ini kerana Ola Bola adalah ‘filem Malaysia!’ itu yang pasti.

Ola Bola mempersembahkan pasukan bola sepak Malaysia 1980. Pasukan Malaysia ketika itu layak untuk menyertai sukan Olimpik yang diadakan di Moscow, Russia. Selepas Malaysia berjaya mengalahkan Korea Selatan dalam perlawanan pra-Olimpik di Stadiu Merdeka. Akibat serangan Russia keatas Afghanistan, Malaysia telah berkecuali serta memboikot sukan Olimpik, termasuk 91 negara yang lain.

Ola Bola menyampaikan mesej tentang kerjasama berpasukan, erti persahabatan dan sikap solidariti dalam isu-isu kemanusiaan disebalik pasukan bola sepak Malaysia. Filem Malaysia akan berterusan mempunyai nafas dan nyawa jika mesej-mesej yang baik seperti ini terus disampaikan. Tiba masanya, pemikiran skeptisme dibuang dari pemikiran masyarakat, bahawa filem adalah sesuatu yang berunsur negatif dan panggung wayang itu haram!

Ini barulah hashtag #sokongfilemMalaysia

BACA: 8 Sebab Kenapa Lelaki Malaysia Sukakan Bola Sepak