Meskipun keluar mengembara kini bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara ini terutama bagi golongan muda, namun masih ada yang beranggapan travel hanya membazir duit dan tidak memberi impak positif kepada individu terlibat.

Hakikatnya banyak sekali kebaikan yang boleh diperolehi daripada mengembara dan berikut adalah di antaranya:

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Menjadi seorang yang berdikari

Berjauhan daripada keluarga menjadikan anda seorang yang berdikari. Semua perkara perlu dilakukan sendiri bermula daripada hal kecil sehingga kepada membuat keputusan penting untuk masa depan.

Apatah lagi jika keputusan tersebut perlu dilakukan dengan cepat dan pantas.

2. Menjadi seorang yang bertanggungjawab

Bertanggungjawab bukan hanya kepada diri sendiri tetapi juga rasa bertanggungjawab untuk memelihara kepercayaan yang telah diamanahkan oleh keluarga.

Selalunya sebelum melangkah pergi ibu dan ayah pastinya akan berpesan agar menjaga diri ditempat orang, jaga solat, pandai-pandai bawa diri dan berbagai pesanan lagi.

Dan sebenarnya itulah amanah paling besar bagi setiap mereka yang keluar mengembara – membawa bersama rasa percaya yang telah diberikan oleh orang tua.

3. Mudah menyesuaikan diri

Sewaktu mengembara anda akan temui banyak sekali perbezaan budaya dan cara hidup di negara lain. Bagi mereka yang gemar mengembara dalam tempoh yang lama pastinya lebih perlu pantas beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan suasana di tempat baru.

Dan biasanya mereka yang sebegini mudah ‘masuk’ dan berkawan dengan sesiapa saja tanpa memilih ‘bulu’. Jauh sekali bersikap double standard dan prejudis kerana sudah terbiasa bertemu dengan berbagai jenis manusia.

4. Mampu bertahan dan berjuang

Pernahkah sewaktu mengembara duit yang tinggal hanya cukup untuk bertahan beberapa hari? Bagi yang suka mengembara dalam tempoh yang lama pasti pernah lalui saat ini. Dan inilah waktunya akal menjadi panjang untuk mencari peluang kerja halal.

Asalkan dapat duit poket dan diberi tempat tinggal dan makan percuma, pastinya sanggup saja lakukan apa-apa kerja. Pernah ada yang bekerja di hotel, perlu mengemas dan bersihkan bilik-bilik dan tandas hotel, bekerja sambilan di restoran dan berbagai kerja lagi.

Asalkan dapat rezeki halal dan mampu bawa anda travel ke destinasi seterusnya, itu sudah cukup.

Baca: Lumpuh Separuh Badan Dan Berkerusi Roda Tidak Halang Nia Travel Solo Melihat Dunia

5. Sukakan cabaran

Sepanjang mengembara pastinya ada saja cabaran yang perlu dihadapi. Pernah terlepas flight atau tertinggal keretapi ke destinasi seterusnya. Pernah juga ditipu dan kena scam.

Duit dicuri, passport tercicir dan berbagai pengalaman buruk lagi. Tapi adakah ini akan patahkan semangat untuk berhenti mengembara lagi? Sudah tentu tidak bukan?

Sebaliknya anda sangat teruja setiap kali memulakan kembali pengembaraan.

6. Berani mengambil risiko

Buat atau tidak, teruskan atau sebaliknya. Biasanya bila sudah seorang diri segalanya perlu ditanggung dan dihadapi sendirian. Adakala tiada pilihan. Terus redah saja. Apa jadi di depan tanggung dan hadapi saja.

Take the risk and face it. Situasi begini pastinya melatih minda untuk berfikir dengan lebih pantas sambil mempertimbangkan baik buruk setiap keputusan dan tindakan yang diambil.

7. Lebih dekat dengan sang pencipta

Di saat perlu berdepan dengan cabaran, pastinya hati kuat berdoa agar diri dilindungi olehNya. Selalunya bila mengembara, doa adalah  antara perkara yang banyak dilakukan dan sebenarnya paling mudah.

Berdoa bukan hanya dilakukan selepas solat tetapi juga setiap kali berhadapan cabaran dan situasi yang menduga minda dan perasaan. Ia umpama berbicara dengan tuhan sepanjang masa.

Hanya yang pernah lalui akan faham situasi ini. Dan pastinya airmata sebak akan mengalir tanpa dapat ditahan bila pertolongan entah dari mana datang menjelma.

Ia bagaikan satu keajaiban yang sukar digambarkan. Malahan ada yang terus sujud syukur kerana peristiwa sebegini.

Dan setelah kembali ke tanah air, adakala terasa rindu dan ingin kembali berada di jalanan. Kerana di sana diri terasa lebih dekat dengan tuhan berbanding berada di tilam empuk yang melalaikan.

8. Menjadi seorang yang menepati masa dan berdisiplin

Mana mungkin untuk tidak tepati masa kerana risikonya sangat besar. Tertinggal flight, terlepas keretapi, duit terbang dan bajet lari kerana terpaksa beli tiket baru serta apa yang dirancang menjadi kucar-kacir adalah antara risiko yang bakal ditanggung jika sikap ini masih diamalkan.

Secara tak langsung ia melatih diri untuk menjadi seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Tapi janganlah pula sifat ini hilang sebaik saja kaki menjejak tanah air. Seharusnya ia dikekalkan dan menjadi amalan hidup.

Baca: Impian Travel Solo Bawa Gadis Ini Berkayuh Basikal Hampir 3 Bulan Di New Zealand

9. Melihat dari sudut berbeza

Merantau pastinya banyak memberi pendedahan dan pengalaman baru. Jika di Malaysia sudah terbiasa tidak boleh memegang anjing, ia sama sekali berbeza apabila melihat umat Islam di Turki melayan haiwan ini.

Budaya, suasana dan cara hidup berbeza di tempat lain turut melatih diri untuk melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza.

10. Merai dan menghargai perbezaan

Keluar mengembara mengajar anda untuk lebih bertolak ansur. Terdedah dengan persekitaran berbeza, budaya berbeza, adat dan nilai berbeza pastinya melatih diri untuk lebih terbuka menerima perbezaan pendapat dan idea.

Sewajarnya apabila kembali ke tanah air anda menjadi seorang yang lebih cool dan tenang, tidak mudah melenting apabila pendapat dan pandangan anda tidak diterima.

11. Lebih cintakan keamanan

Ye. Seharusnya seorang pengembara sangat cintakan keamanan. Kerana lebih aman dunia ini maka lebih banyak peluang untuk anda keluar mengembara dan meneroka tempat baru, melihat budaya baru, berjumpa berbagai makhluk tuhan yang baru dan berbeza.

12. Merendah diri

Apabila tiba di tempat baru, tiada siapa yang tahu tentang latar belakang diri anda. Sama ada anda anak orang kaya, atau sekadar yatim piatu yang sedang membawa lara di hati, di mata orang asing anda tetap sama.

Bagi mereka anda tetap orang luar yang sedang berdagang. Di sinilah pentingnya menjadi seorang yang ramah-tamah, pandai berbahasa-basi, dan bijak membawa diri.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Dan bawalah diri bak padi, makin tunduk makin berisi. Biar travel cara bajet, jangan ‘bajet bagus’.

Dengan berbagai info dihujung jari yang  mudah diperolehi kini, tidak sukar sebenarnya bagi seseorang untuk keluar mengembara dan merasai pengalaman baru. Yang tinggal hanyalah kemahuan dan kecekalan di hati.

Beruntunglah mereka yang berpeluang keluar mengembara.  Dan sejuta kali lebih beruntung apabila seseorang itu keluar mengembara dan kembali dengan sikap yang lebih positif, merendah diri dan mengutip segala pengalaman di sepanjang jalanan untuk dijadikan panduan hidup.

Setiap daripada kita adalah unik dan berbeza, kerana kita sememangnya diciptakan berbeza. Namun hanya mereka yang tahu menghargai dan cuba merapatkan jurang perbezaan itulah sebenarnya yang paling banyak belajar dari setiap ilmu jalanan dan kembara yang ditempuh.

Mereka inilah yang benar-benar menghargai saat-saat sewaktu keluar dari zon selesa, berusaha menjadi seorang yang lebih baik, mandiri, berjiwa teguh, sabar dan berjaya membina karakter diri yang lebih baik dan positif.

Keluarlah mengembara.

Baca lagi: Pemuda Ini Beranikan Diri Travel Solo Ke Luar Negara Buat Pertama Kali Selepas Baca Vocket