Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Safuan Bachtiar pemilik Joe’s Barbershop Bangi hantar mesej kepada kami di inbox Facebook The Vocket tentang acara barber gathering baru-baru ini.

Menurutnya, acara tersebut telah berjaya menghimpunkan 200 orang tukang gunting dari satu Malaysia dan turut dihadiri Joe Flizzow, Cat Farish dan Zua XPDC.

“Di event tersebut kami berkumpul bertukar pendapat, membuat kelas gunting, beramah mesra di antara barber yang selama ini kenal hanya di media sosial, persembahan oleh Zua XPDC, dan jamuan makan sempena hari raya.”

Acara yang berlangsung di Joe’s Barbershop Bangi ini dibuat dengan tujuan utama bersepakat untuk menubuhkan Malaysian Barbers Association (M.B.A) bagi mengangkat martabat tukang gunting rambut ke tahap profesional.

“Objektif persatuan yang dalam proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) itu bukan saja mahu mengeratkan ikatan silaturahim, malah menjadi platform utama berkongsi maklumat mengenai profesion berkenaan terutama generasi baru,” kata Safuan Bachtiar, bekas pramugara MAS.

Selain itu, MBA berhasrat membuat penyelarasan harga guntingan rambut dan membantu memudahkan urusan tukang gunting yang mahu bekerja atau menyertai sebarang pertandingan di luar negara.

Dalam acara yang sama, Safuan telah dilantik sebagai pengerusi MBA. Sebelum ini Safuan berkhidmat selama 10 tahun sebagai pramugara MAS dan berhenti kerja pada Disember tahun lepas.

Selepas itu, dia membuka Joe’s Barbershop di Bangi. Joe’s Barbershop adalah sebuah rangkaian kedai tukang gunting yang diasaskan oleh Joe Flizzow.

“Saya telah belajar ilmu ini dari Ardy Damis, co-founder Joe’s Barbershop (5 advance courses) dan di Schorem, Rotterdam, Belanda (selama sehari atas jemputan mereka),” terang Safuan lagi mengenai pembelajarannya dalam bidang ini.

Berbalik semula kepada MBA, ia asalnya adalah sebuah kumpulan sembang di aplikasi WhatsApp di mana ratusan tukang gunting rambut di seluruh negara menyertainya.

Rentetan itu, mereka bersepakat menubuhkan M.B.A. Syarat untuk menyertainya, seseorang itu mestilah seorang tukang gunting rambut warga Malaysia tidak kira bangsa.

Barbershop berbeza dengan hairsaloon atau hairdressing yang mana kami lebih kepada perincian menggunakan teknik fade, taper, classic cut, rock n roll,” jawab Safuan apabila saya tanya perbezaan itu.

Safuan turut berkongsi perancangan masa depan M.B.A yang mahu memperkenalkan lesen untuk menjadi seorang tukang gunting rambut M.B.A yang bertauliah di bawah seliaan persatuan itu.

“Kami akan membuat satu garis dasar standard of procedure sebelum diangkat sebagai barber yang bernaung dibawah MBA.”

Anda Mungkin Suka