Sepanjang pengalaman mengembara ke eropah semenjak tahun 2006, berbagai cabaran dan pengalaman telah saya lalui dari mengembara secara solo, dengan kawan-kawan, berdua dengan isteri dan juga dengan anak.

Berbekalkan sedikit pengalaman yang ada, saya kongsikan beberapa tip penting yang boleh anda gunakan jika merancang untuk mengembara ke Eropah :

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

1. Jika di London

Guna Oystercard lebih jimat.

2. Elakkan travel musim panas

Jun hingga september merupakan musim paling ramai pelancong ke Eropah, jika bajet kewangan anda terhad dan mempunyai pilihan cuti pada bulan lain, elakkan pergi ke eropah pada musim panas, kerana kos melancong ke eropah pada musim panas berkali ganda mahal.

3. Travel berkumpulan

Bukan bermaksud seperti rombongan Cik Kiah, tetapi berdasarkan pengalaman saya, travel berdua lebih baik dari solo dan travel bertiga pula lebih baik dari berdua.

Banyak kelebihan bila travel berkumpulan seperti boleh kongsi sewa bilik, sewa kereta. Nak bergambar melompat pun senang ada kawan boleh tangkapkan gambar. Cuma masing-masing perlu pandai bertolak ansur antara satu sama lain.

4. Guna pengangkutan awam

Di Eropah kemudahan pengangkutan awam sangat sistematik dan baik, terutamanya di bandar-bandar besar.

Untuk menjimatkan kos, beli pas 24 jam, 3 hari atau seminggu, kerana ia lebih murah berbanding beli tiket sehala.

tip-travel-ke-eropah-1

5. Naik keretapi

Salah satu pilihan terbaik untuk travel di Eropah ialah dengan menggunakan keretapi. Jika jarak destinasi jauh boleh naik keretapi pada waktu malam, dapat jimat kos hotel.

Mungkin kos keretapi agak mahal, tetapi perjalanan dengan keretapi sangat berbaloi kerana anda akan dapat melihat pemandangan cantik di kawasan pedalaman.

Boleh semak harga tiket melalui laman web bahn.de dan raileurope.com

6. Beli tiket second class

Seat second class sudah cukup selesa jika anda mengembara di eropah dengan keretapi, tidak jauh beza tahap kualiti dengan first class, yang membezakan hanya harga sahaja.

7. Naik bas Eurolines

Selain dari menaiki keretapi, perkhidmatan bas juga pilihan yang baik, walaupun perjalanannya perlahan, tetapi tambangnya lebih murah, contoh Paris ke London anda boleh dapat tambang tiket bas serendah 12 euro sahaja. Boleh semak destinasi dan tambang di laman web eurolines.com.

8. Penerbangan tambang murah

Jangan abaikan kapal terbang, Easyjet, RyanAir, Wizzair dan banyak lagi pilihan tambang murah terbaik di Eropah. Rajin-rajin tengok promosi terkini di laman web mereka. Saya pernah beli tiket penerbangan RyanAir dari Dublin ke Manchester dengan harga 5 Euro sahaja.

9. Berkongsi kereta

Antara pilihan yang menarik dan sangat popular di Eropah, terutamanya untuk destinasi jarak jauh, anda boleh berkongsi kereta dengan orang tempatan. Boleh lihat maklumat lebih lanjut di laman web blablacar.com

10. Sewa kereta pandu sendiri

Jika anda travel bertiga dengan kawan-kawan, berdua dengan isteri ataupun bersama keluarga, sewa kereta pandu sendiri juga satu pilihan menarik. 4 orang sama-sama kongsi sewa memang murah.

Anda boleh merancang sendiri lokasi yang ingin dituju dan tidak terikat dengan jadual. Anda boleh sewa kereta di Paris dan pulangkan semula kereta di Rome.

Benda penting yang perlu anda sediakan ialah : lesen memandu antarabangsa, kad kredit dan carseat atau booster seat jika anda travel dengan anak kecil.

11. Cari bilik di kawasan tumpuan

Walaupun kadar sewa bilik di tengah pusat bandar sedikit mahal, tetapi sangat berbaloi sekiranya anda mempunyai masa cuti yang terhad, kerana kebanyakkan tempat-tempat utama lawatan berada dalam lingkungan berjalan kaki.

12. Sewa bilik di AirBnb

Kadar sewa bilik di AirBnb selalunya lebih murah dari sewa hostel, kadang bilik yang disediakan pula sama taraf seperti hotel. Yang bagusnya AirBnb ini kita dapat nego sendiri dengan tuan rumah. Boleh ke laman web ini airbnb.com atau hostelworld.com (untuk tempah bilik hostel).

13. Masak sendiri

Salah satu kelebihan sewa bilik di Airbnb dan hostel ialah dapat menggunakan dapur, gunakan sebaiknya kemudahan dapur dengan memasak sendiri yang pastinya lebih menjimatkan belanja terutamanya jika travel bersama keluarga.

14. Couchsurfing dan Housesitting

Dua pilihan terbaik untuk mendapat penginapan percuma. Dalam masa yang sama dapat berkenalan dengan orang tempatan dan merupakan medium yang bagus untuk mengenali budaya hidup setempat. Laman web  untuk trustedhousesitters.com dan couchsurfing.org

tip-travel-ke-eropah-3

15. Belajar bahasa tempatan

Orang tempatan sangat menghormati jika ada orang luar cuba untuk bercakap bahasa mereka. Jika anda merancang untuk ke Sepanyol, hafal beberapa soalan penting dalam bahasa mereka. Saya pasti layanan mereka akan lebih mesra sebaik mendengar anda bertanya dalam bahasa Sepanyol.

16. Sediakan pakaian yang sesuai

Terutama pada musim sejuk kemuncaknya pada bulan Disember, Januari dan Februari. Suhu sesetengah tempat pada bulan tersebut boleh mencecah bawah paras beku -15°c. Pakaian dan kelengkapan musim sejuk sangat penting. Jaket tebal, baju thermal, sarung tangan, kasut bertutup dan penutup kepala.

17. Cari tempat lawatan percuma

Bajet anda terhad? Jangan risau, masih ada pilihan tempat untuk dilawati, antaranya melawat muzium. Di London sahaja terdapat lebih dari 20 buah muzium yang tidak dikenakan sebarang bayaran.

Di Paris pula pada hari ahad pertama setiap bulan kebanyakkan muzium utama tidak mengenakan bayaran masuk.

Begitu juga dengan di Brussel, Madrid, Roma dan lain-lain destinasi. Kena rajin buat carian di Google.

18. Join free walking tour

Di kebanyakkan bandar besar di Eropah selalunya ada disediakan lawatan berjalan kaki secara percuma oleh pemandu pelancong tempatan, jangan lepaskan peluang, rajin buat carian di google.

Sangat seronok, jalan-jalan sambil dapat mendengar penerangan setiap tempat yang dilawati. Dapat tambah ilmu sekali.

19. Semak terma hotel penginapan

Di Eropah peraturan bilangan orang dan katil sangat ketat, jika anda travel berempat bersama keluarga dan bilik tersebut hanya mempunyai tiga buah katil, anda perlu menyewa bilik tambahan kecuali jika dalam terma hotel ada menyediakan kemudahan sewa katil tambahan.

20. Sarajevo, Bosnia

Jika anda mengembara ke Eropah pada musim panas dengan bajet yang terhad, Sarajevo merupakan antara destinasi terbaik dan murah berbanding destinasi lain di eropah. Masukkan sekali Sarajevo dalam jadual perjalanan anda.

21. Hati-hati dengan Scammer

Walaupun negara eropah maju, kegiatan scammer juga sangat maju dan laju. Jangan mudah terpedaya dengan orang disekeliling, sentiasa berhati-hati, kadang kala buat tidak tahu itu lebih baik dari melayan orang tidak dikenali di tepi jalan.

22. Bawa sekali barang berharga ke tandas

Orang kata sediakan payung sebelum hujan, bila travel solo dan sewa bilik hostel pastinya akan berkongsi bilik dengan orang luar yang tidak dikenali, sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik sediakan beg kalis air sebelum dikebas orang.

Jika ke tandas untuk mandi, masukkan barang berharga anda ke dalam beg kecil dan bawa sekali ketika mandi, biarkan apa orang nak kata, asal tidak merana jika berlaku kecurian.

23. Kad Debit HSBC

Mengembara ke Eropah terutamanya ke United Kingdom kadang-kadang akan disoal siasat dengan pegawai imigresen. Antara soalan popular yang biasa ditanya ialah tentang duit belanja yang kita bawa.

Saya sendiri pernah ditanya ketika mengembara bersama isteri dan anak. Dalam dompet hanya bawa tunai tidak sampai 300 pound, rancang nak duduk tiga minggu.

Masa itu tidak mempunyai kad kredit, nasib saya baik kerana bawa kad debit HSBC. Jika tidak mungkin saya dan keluarga tidak dibenarkan masuk ke United Kingdom kerana disyaki untuk datang bekerja.

Kenapa kad HSBC? Kerana bank HSBC merupakan bank terkemuka dunia, seolah-olah siapa yang mempunyai akaun HSBC seperti orang berduit. Jadi bagi siapa yang tidak mempunyai kad kredit mungkin boleh buka akaun bank HSBC sebagai backup plan.

Semoga bermanfaat.

Catatan dari seorang pengembara jalanan.
Zaid Traveler.

Baca lagi: Travel Di 62 Bandar Di Eropah Selama 70 Hari, Ini 15 Tip Daripada Saya