Ramai yang mesej saya dan bertanya tentang bagaimana ingin menjadi sukarelawan di dapur Kitchen In Calais, Kem Pelarian Calais.

Satu soalan yang menarik dari beberapa orang yang bertanya, berkenaan “apa kriteria yang perlu ada?”

Sebenarnya, sesiapa pun boleh jadi sukarelawan di kem pelarian tersebut. Saya pernah bertanya pada Puan Sofinee tentang soalan ini, beliau jawab, kalau boleh yang sudah biasa buat kerja-kerja khidmat dan biasa merantau.

Beliau juga menyebut kepada saya bahawa pilihannya bukan sekadar boleh buat kerja, tapi berdasarkan pengalaman sebelum-sebelum ini dalam memilih orang dan atas kepercayaan.

Saya juga bersetuju, beliau sudah sangat berpengalaman dalam memilih sukarelawan yang sesuai bekerja di sana. Biasa merantau adalah supaya mudah untuk mereka sampai sendiri ke kem tersebut.

Dan biasa berkhidmat penting juga kerana kerja di sini sangat mencabar. 12 hingga 14 jam sehari. Perlu kuat fizikal, mental, emosi dan rohani.

Walaubagaimanapun, mengikut pengalaman saya bekerja di sana, saya gariskan tiga (3) kriteria utama untuk jadi sukarelawan. Bukan sahaja untuk di kem pelarian, tetapi untuk jadi sukarelawan di mana-mana sahaja.

Pertama : Berbakti.

Hal ini sebenarnya tidak menjadi masalah bagi sesiapa yang bertanya. Kerana biasanya, bagi yang bertanya pasti sahaja sudah berminat dan bersedia untuk melakukan kerja-kerja khidmat dan menyumbang bakti. Tenaga, masa dan wang ringgit.

Walaubagaimanapun jika sudah ada pengalaman berkhidmat di mana-mana program kebajikan adalah kelebihan yang baik kerana tidaklah menyukarkan bagi pengurus untuk mengajar satu persatu dari perkara besar hinggalah sekecil-kecil perkara tentang kerja yang perlu dibuat.

Kerana perlu fokus juga untuk menyesuaikan diri dengan bahasa, tempat dan keadaaan.

tip-jadi-sukarelawan-2

Kedua : Berakhlak.

Berakhlak dengan akhlak yang baik adalah keperluan yang penting bagi seseorang sukarelawan. Akhlak yang baik dari segi kelakuan, percakapan dan juga sifat.

Kelakuan yang baik seperti rajin bekerja, menjaga solat, menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan. Percakapan yang baik pula tidaklah suka carut-mencarut, maki-hamun, mengumpat orang lain. Sifat dan sikap yang baik pula seperti berpakaian kemas, kelakuan yang sopan dan aqal yang normal.

Ketiga : Mendidik.

Kenapa perlu berakhlak baik tadi? Kerana antara tugas yang penting adalah mampu memberi didikan kepada orang yang kita hendak beri bantuan.

Kerana, mereka ini bukan sahaja tidak cukup dari segi makanan perut sahaja, malah juga tidak cukup dengan makanan hati dan juga makanan aqal iaitu ilmu.

Apabila kita sudah menunjukkan sikap yang baik, maka mudahlah untuk didikan kita diterima dengan baik.

Sebagai contoh, pada awal saya datang ke kem tersebut, Puan Sofinee menyebut bahawa ada beberapa orang pelarian yang bantu di dapur ini semakin malas solat. Jadi Puan Sofinee sering peringatkan pada mereka. Tetapi masalah lainnya adalah tempat untuk solat.

Apabila saya dan kawan saya, Ahmad Hussein datang, di dalam bilik kami sediakan ruang khas untuk solat. Setelah beberapa kali mereka masuk ke bilik kami dan terlihat kami solat, akhirnya mereka kembali berdisiplin dengan solat.

Di situlah perlunya dakwah berupa nasihat, contoh dan suasana yang baik (menyediakan tempat).

Berakhlak baik juga adalah penting untuk berdakwah kepada sukarelawan bukan Islam. Mereka sangat teruja dengan keadaan tiba sahaja waktu solat dan azan berkumandang, semua lelaki akan pergi ke masjid.

Mereka dapat rasakan perbezaan muslim yang disiplin dengan solat dan muslim yang tidak solat.

tip-jadi-sukarelawan-4

Jadi begitulah ciri yang perlu ada bagi siapa-siapa yang bersedia untuk jadi sukarelawan. Banyak lagi tips yang boleh anda rujuk. Tetapi saya ambil tiga point ini supaya mudah untuk jadikan rujukan.

Tiga (3) perkara ini saya ambil dari motto persatuan HALUAN, “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.”

Sekian jawapan daripada saya. Terima kasih.

Baca kisah dan pengalaman saya Travel Ke Kem Pelarian Di Perancis Demi Satu Impian