Semua orang ada 1 nyawa sahaja. Jadi, kena jaga baik-baik. Bab soal keselamatan ni mesti ambil berat, terutama semasa travel. Bukan fikir seronok sahaja sebab travel ni kadang banyak perkara yang tak best daripada yang best, tapi itulah yang buat travel tu jadi best. Hahaha.

Nak kata pandai sangat pun tak, tapi apa yang saya kongsikan di sini adalah berdasarkan pengalaman sendiri. Secara personal, kalau nak cakap pasal ‘keselamatan semasa travel’ ini pun sebenarnya subjektif. Mana-mana tip semua boleh guna kalau rasa sesuai dengan diri. Bergantung kepada cara anda aplikasikan tip tu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Untuk tip keselamatan ketika travel, saya agak rojak sebenarnya. Banyak tip yang saya guna bergantung kepada keadaan dan situasi. Di sini saya kongsikan 5 antara tip keselamatan semasa travel yang saya amalkan. Benda ni semua ada yang saya belajar melalui pengalaman sendiri, perkongsian dari orang-orang berpengalaman dan paling banyak, saya belajar dari abang sendiri.

Baik, sebelum saya mulakan perkongsian ingin saya tegaskan semua tip ini adalah sebagai rujukan sahaja. Yang mana anda rasa boleh guna, silakan. Kalau ada yang bercanggah atau anda ingin kongsikan tip anda jangan segan untuk pm saya di Facebook atau emailkan sahaja ke bukhari[@]thevocket.com.

1. Jangan abaikan 3 benda ini

Passport, telefon, duit/kad kredit. Nak pergi mana-mana jangan tinggalkan 3 kawan baik ini, walaupun pergi kedai depan hotel je. Passport semua orang tahu memang penting, telefon walaupun tak ada line internet anda boleh isi banyak maklumat penting awal-awal. Nanti, kalau ada apa-apa hal boleh buat rujukan.

Satu lagi duit cash kena sedia juga. Ada kecemasan banyak membantu. Urusan pakai tunai lebih mudah dari guna kad, sedia dua-dua sekali pun lagi elok.

2. Perhati tempat keluar

Sentiasa berwaspada tak kira di mana. Perkara paling penting setiap kali pergi ke satu-satu tempat, perhatikan seberapa banyak jalan keluar dan hafal sebanyak yang boleh. Tak semestinya ada papan tanda ‘exit‘, yang mana jalan ada rasa boleh keluar kira itu exit untuk anda.

Supaya nanti kalau ada apa-apa hal yang tak diingini terjadi, anda dah tahu nak lari ke mana. Nampak macam remeh, tapi percayalah ianya sangat penting.

3. Tengok reaksi orang sekeliling

Perhatikan orang sekeliling, terutama bila berada dalam kereta api. Elak main telefon sebab kita tak tahu dekat mana ada orang jahat. Kalau rasa ada gerak-geri yang mencurigakan, segeralah berganjak ke tempat yang ada rasa lebih selamat. Bukan bersangka buruk, cuma ambil langkah selamat.

4. Yakin dan percaya diri

Bila rasa diekori oleh orang yang mencurigakan, jangan takut dan yakinlah pada diri. Elak jalan laju sambil tunduk sebab ia buat kita nampak takut. Sebaliknya, pusing dan tatap balik. Self confidence tu penting, orang bukan tahu pun. Kalau rasa boleh pukul, pukul. Lepas tu lari laju-laju. Hahahaha. Sebab tu tip no 2 tu penting.

5. Ikut gerak hati dan sentiasa berwaspada setiap masa

Yang terakhir sekali, kalau rasa was-was ikutlah gerak hati. Gerak hati ni power istimewa yang semua orang ada. Dan banyakkanlah berdoa agar kita dihindari dan dilindungi dari syaitan-syaitan bertopengkan manusia.

Berwaspada setiap masa, kadang tragedi ngeri ni boleh berlaku dalam satu saat saja. Lalai sikit saja memang kena. Contohnya saya pernah kena ragut masa travel di Afghanistan. Memang tak dijangka, padahal masa tu duduk dalam kereta dah. Mungkin ada banyak perkara kena belajar lagi.

Betul orang tua kata, nak hidup kena banyak ilmu. Membaca itu juga jambatan ilmu. Jangan jadi seperti dinasour yang tidak suka membaca, akhirnya mereka pupus.