Saiful Nizam Abdul Wahab semalam mengesahkan bahawa dia dan anaknya Ain Husniza telah menerima writ saman dan pernyataan tuntutan daripada guru yang didakwa membuat lawak rogol di dalam kelas. Dalam ciapannya di laman Twitter, lelaki bernama Khairul Nizam Sanuddin yang sebelum ini mengajar pendidikan jasmani di SMK Puncak Alam telah memfailkan saman di mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 November lalu.

Saiful dan anaknya yang dinamakan sebagai defendan di dalam saman dan pernyataan tuntutan itu turut mengesahkan kepada Malay Mail bahawa ini adalah pertama kali nama guru yang didakwa membuat lawak rogol diumumkan secara terbuka. Sebelum ini Ain dan bapanya tidak pernah mendedahkan identiti guru tersebut di mana-mana platform media sosial.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut penyataan tuntutan dan laporan daripada Utusan Malaysia, Khairul Nizam menafikan bahawa beliau membuat jenaka lucah, lawak berkenaan rogol atau galakan kepada rogol sepanjang sesi pembelajaran terbabit. Baginya, sub-topik yang disentuh olehnya pada waktu tersebut iaitu “Amang Seksual dan Tingkah Laku Amang Seksual, Katakan Tidak Kepada Amang Seksual, Kesan dan Akibat Amang Seksual” yang terkandung di bawah tajuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) adalah komunikasi dalam konteks pembelajaran semata-mata untuk pemahaman dan pengajaran.

Beliau selaku plaintif mendakwa Ain Husniza (defendan pertama) telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di akaun TikTok, Twitter dan mengulangi penyataan-penyataan fitnah terhadap dirinya dalam beberapa siri wawancara termasuk di Utusan Online dan Wanita Hari Ini (WHI). Manakala bapanya Saiful Nizam (defendan kedua) turut didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di beberapa platform media sosial dan mengulangi penyataan terbabit di beberapa wawancara bersama dengan media tempatan.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun namanya tidak disebut oleh pihak-pihak terbabit, namun reputasinya tetap terjejas dan dia dipandang serong kerana masyarakat khususnya warga sekolah SMKPA, komuniti Puncak Alam dan warga maya bahawa individu yang dimaksudkan adalah dirinya kerana Khairul Nizam merupakan satu-satunya guru disiplin yang mengajar PJK di sekolah terbabit.

Akibat daripada tuduhan dan kesan yang dialami olehnya beliau memohon satu perintah mahkamah agar kedua-dua defendan memadam kesemua kenyataan berbaur fitnah terhadapnya di semua laman sosial milik mereka dan pihak ketiga, injunksi bagi menghalang Ain dan bapanya daripada terus mengeluarkan apa jua kenyataan berkenaan plaintif yang berbaur fitnah, permohonan maaf daripada pihak-pihak terlibat yang akan diterbitkan di semua laman sosial milik mereka dan ganti rugi am termasuk ganti rugi akibat kehilangan reputasi dan kredibiliti, ganti rugi melampau serta teladan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Ain menjadi tumpuan rakyat Malaysia pada awal tahun ini apabila membuat pendedahan mengenai jenaka rogol yang datang daripada guru yang tidak pernah dinamakan. Ia sekaligus mencetuskan perkongsian daripada orang ramai yang melalui pengalaman yang sama. Ia juga membuatkan orang ramai mempersoalkan tahap pendidikan seks di sekolah sehingga terlahirnya tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace.

Pendedahan Ain telah menyebabkan beliau diserang oleh orang ramai termasuk pengetua SMK Puncak Alam Sarimah Mohamed Nor di Facebook (Aimanaizah Sarimahmohamednor) yang melabel Ain dengan pelbagai kata cacian. Selain itu, Ain juga pernah membuat laporan polis terhadap rakan sekolah kerana mengugutnya dengan rogol. Namun laporan itu ditarik balik selepas pelajar dan keluarga mereka meminta maaf.

Guru yang didakwa membuat jenaka rogol dan tidak dinamakan pada waktu itu kemudiannya dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Selangor sementara menunggu siasatan polis. Bagaimanapun timbalan pendakwa raya kemudian memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap guru tersebut.

Pada Ogos lalu, guru yang sama telah menghantar surat tuntutan kepada Ain meminta RM1 juta sebagai pampasan atas dakwaan memfitnah. Peguam Ain, Datuk David Sankara Nair yang mewakili Saiful dan Ain telah menyaman balas cikgu itu dengan bayaran tuntutan sebanyak RM5 juta kerana mengalami tekanan perasaan.

Lantang suarakan isu jenaka rogol di sekolah, pelajar ini terima ancaman dibuang sekolah. Untuk bacaan lanjut, klik pautan di bawah.

Lantang Suarakan Isu Jenaka Rogol Di Sekolah, Pelajar Ini Terima Ancaman Dibuang Sekolah

Guru Tuntut RM1 Juta Daripada Ain Husniza, Dakwa Tuduhan Jenaka Rogol Sebagai Fitnah

Facebook Tutup ‘Group Koleksi Mak Buyung’, Tempat Lelaki Malaysia Kongsi Gambar Wanita Hamil