“The French protect their language like the British protect their currency” -Andrew Gallix, The Guardian. (Perancis melindungi bahasanya seperti British melindungi matawangnya).

Coretan bersahaja ini adalah refleksi merdeka buat diri saya, anak Malaysia di Perancis.

Walaupun tulisan ini terbit beberapa hari selepas tarikh penting itu. Namun apa yang saya coretkan ini bersifat sentiasa segar semangatnya.

Suatu masa dulu saya pernah berasa jengkel apabila menggunakan sesuatu peralatan elektronik dalam bahasa sendiri.

Saya berfikir kenapa janggal sangat terma-terma teknologi bila digunakan dalam bahasa ibunda sendiri.

Saya waktu itu seperti hilang jati diri dan terputus akar.

Di Perancis saya memerhati. Apabila mereka gah menggunakan frasa ‘L’infomatique en nuage’ berbanding ‘cloud computing’. Frasa berbeza memberi gambaran bahawa pandangan alam (worldview) juga berbeza.

Mereka berbangga dengan frasa-frasa teknologi semasa dengan bahasa sendiri. Mungkin kadang-kadang frasa-frasa tersebut mereka tak selesa pada awalnya, tetapi untuk mereka berasa janggal jauh sekali.

Di Perancis, kalau kita menggunakan komputer, jarang sekali untuk kita temui butang ‘START’. Kita mungkin akan jumpa butang ‘DEMARRER’.

Kenapa ini berlaku?
Kenapa mereka begini?
Kenapa kita tidak?
Kenapa mereka tega menggunakan istilah sendiri walaupun kadang-kadang janggal dalam terma teknologi tertentu?

Apa lebih mereka berbanding kita?
Apa yang mereka ‘ADA’ tetapi kita ‘TIADA’?

Suatu jawapan ringkas yang boleh saya sebut adalah,

Mereka kuat JATIDIRI .

Bilamana ada frasa teknologi baru muncul dari luar ke dalam dunia mereka. Mereka cepat-cepat adaptasi dan hasilkan istilah sendiri dengan ruh bahasa mereka sendiri.

Pedulikan soal janggal pada awalnya, yang penting semua rakyat majoriti tanpa mengira kelas menjadi sama-sama pandai.

Bagaimana pula kita?

Sebahagian kita hanya memperlekeh bahasa sendiri kerana janggal untuk digunakan dalam teknologi semasa.

Kita senang dengan bahasa orang, hakikatnya kita sedang menghakis jiwa dan nilai ruh bangsa kita sendiri secara halus tanpa kita sedar.

Janggal itu bukan salah bahasa kita.
Tetapi salah kita yang terlalu naif.

Kita-kita yang mungkin dah berasa pandai sebab belajar tinggi dan sentiasa selesa dengan terma-terma bahasa luar.

Mungkin kerana kita telah fasih dalam bahasa Inggeris yang menjadi bahasa teknologi, bahasa informasi, dan bahasa ilmu tetapi harus ingat akan suatu persoalan ini; “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Baca: Bagaimana Komuniti Malaysia Cuba Pertahankan Bahasa Melayu di Scotland

bagaimana-perancis-lindungi-bahasa-2

Sindrom Tuding Orang

Bilamana kita terus membiarkan bahasa kita terus terpinggir dari menjadi bahasa ilmu dan bahasa teknologi dan kita sendiri terus berasa selesa dengan hanya membiarkan bahasa kita cukup sekadar bahasa pertuturan harian dan tidak lebih dari itu.

Maka, sedarlah bahawa kita adalah sekadar menjadi generasi yang mengikis ruh, jiwa dan kebolehbangkitan kita dalam mendepani cabaran zaman.

Bilamana kita berwacana, kita kerap mengeluh kenapa orang kita yang majoritinya diluar bandar sukar berubah.

Kita selesa mencari salah orang lain berbanding meninjau jauh ke dalam diri kita sendiri.

Kita lupa bahawa kita sendiri juga yang menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada sindrom-sindrom yang melemahkan daya fikir dan daya ubah majoriti orang kita.

Kita yang kononnya pandai dan belajar tinggi ini tanpa segan silu memperlekeh bahasa sendiri.

Kita lupa bahawa bahasa kita telah menjadi janggal dalam pelbagai bidang ilmu kerana kita yang membiarkan bahasa kita terus jadi begitu.

Kita lupa bahawa tanggungjawab untuk membentuk nilai baru dan segar pada bahasa kita itu terletak di tangan kita.

Belakang Periuk Lagikan Berkilat

Kita kagum dengan kehebatan bahasa orang lain. Namun kita tidak benar-benar mengkaji rahsianya akan bagaimana bahasa orang lain menjadi hebat.

Jawapannya adalah tetap sama. Ia tetap soal JATIDIRI.

Bahasa lain hebat bukan kerana secara tabiinya bahasa itu lahir terus jadi hebat. Namun hebatnya bahasa itu setelah digilap oleh bangsanya sendiri yang mempunyai jatidiri yang hebat.

Jatidiri yang hebat bukan pada masyarakat yang mindanya ditawan atau tertawan oleh serangan ‘imperialisme’ bahasa yang telah ditanam secara halus terhadap bangsa yang pernah dijajah seperti kita.

Hari ini kita telah merdeka dari penjajahan kuasa politik luar lebih 59 tahun. Namun bagaimana pula dengan kemerdekaan kita dari sudut pemikiran.

Bahasa jiwa bangsa. Jika kita terus selesa dengan kedudukan kelas kedua pada bahasa kita kini, lambat laun keindahan-keindahan yang masih berbaki pada bahasa kita akan hilang terus dan pupus dari jiwa bangsa kita.

Dalam kesibukan kita mengejar kebendaan dan keperluan yang asas demi kelangsungan hidup justeru kita pandang remeh soal kelestarian bahasa kita.

bagaimana-perancis-lindungi-bahasa-3

Jangan potong akar

Saya tutup coretan ini dengan mengungkap suatu dialog di kedai kopi bersama sahabat Perancis saya yang fasih berbahasa Malaysia.

Apabila saya bertanya beliau apa yang menyebabkan bangsa Perancis agak kuat mendepani serangan ‘globalisasi’ .

Beliau menjawab secara bersahaja, “Kerana kami tidak memotong akar-akar kami.”

Saya memahami benar akan maksud jawapan beliau tersebut. Salah satu akar penting yang dimaksudkan adalah bahasa.

Inilah juga jawapan kenapa Perancis sangat-sangat melindungi bahasanya.
Pokok manakah yang kokoh bertahan jika akar-akarnya satu demi satu dicantas atau tercantas. Alangkah malangnya jika kitalah yang ejen yang menyebabkan akar-akar itu tercantas.

Harapan anak Malaysia

Saya yakin #anakanakMalaysia walaupun dimana sahaja berada takkan membiarkan akar-akar yang yang masih berbaki terus dicantas. Bahkan anak-anak Malaysia akan terus berusaha memugar kembali akar yang telah tercantas. Perubahan bermula dengan bibit-bibit kesedaran hari ini. Kalau kita tak mampu buat semua , jangan tinggal semua.

Zick Le Voyageur,
Nancy, France
Hari-hari sambut Merdeka

Baca lagi: Saya Bangga Berbahasa Inggeris Dengan Slanga Melayu Kerana Satu Perkara Ini