Hari ini aku bukan ingin berkongsi cerita kembara, tapi ingin berkongsi kisah inspirasi mengembalikan Bahasa Melayu di Scotland.

Aku ingin kongsikan pengalaman bersama segelintir rakyat Malaysia berhati mulia yang melaksanakan sekolah medium bahasa Melayu di sini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Di UK, Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam sistem pendididkan. Bahasa utama lain seperti Bahasa Perancis, Jerman dan Spanish pula adalah bahasa pilihan ke 2.

Bahasa lain sekadar cukup tahu. Bahasa Melayu? Mimpi untuk berada dalam silibus sekolah.

Di mana agaknya letaknya bahasa ini di tanah Inggeris ini? Tiada siapa yang peduli kecuali segelintir rakyat dan mahasiswa prihatin di bumi Glasgow.

Di sini aku mendekati Sekolah Malaysia Glasgow. Sekolah komplementari rakyat Malaysia di Scotland.

Sekolah yang dimulakan pada 2007 ini, tertubuh atas kesedaran dan rasa tanggungjawab pelajar dan komuniti Malaysia di Scotland yang melihat anak-anak Malaysia yang tidak berpeluang untuk membesar dalam persekitaran dan budaya Malaysia.

bahasa-melayu-di-scotland-2

Ini bukan cerita baru. Contohnya seperti Adik Hadeef, berumur tujuh tahun ini. Tahun ini sudah genap 3 tahun dia mengikuti bapanya ke Scotland.

Sejak bersekolah, dia tidak berpeluang untuk bertutur dan berkomunikasi sesama rakan sebaya dalam bahasa Melayu seperti di sekolah biasa kerana sejak tadika sehingga ke tahun di kelas Primary 1, persekitaran sekolah cuma berbahasa Inggeris.

Sedangkan dalam masa beberapa bulan lagi, bapanya akan tamat pengajian PhD. Hadeef bakal mengalami kejutan bahasa dan budaya sekembalinya ke Malaysia nanti. Bahasa Melayu tidak lebih dari menjadi bahasa di rumah sahaja.

Atas sebab itu, dengan sokongan dan inisiatif Komuniti Malaysia Glasgow (KMG), maka tertubuhlah Sekolah Malaysia Glasgow (SMG) sejak tahun 2007.

Kini wujudlah tempat dan platform bagi ibubapa yang ingin mempelbagaikan kandungan pembelajaran serta bahasa penyampaian dalam Bahasa Melayu.

Sekolah ini menyediakan kelas Bahasa Melayu dan Agama Islam. Manakala tenaga pengajar pula terdiri daripada sukarelawan-sukarelawan mahasiswa Malaysia di Glasgow dengan turut dibantu oleh individu yang sudah lama menetap di sini.

bahasa-melayu-di-scotland-3
Anak-anak SMG didedahkan dengan cara dan adab belajar seperti di Malaysia. Dimulakan dengan bacaan doa dan senaman sebelum memulakan kelas. Makanan ringan dan minuman juga disediakan dan anak-anak bebas melakukan sebarang aktiviti.

Sekolah ini turut menawarkan perkhidmatan komuniti sepenuhnya.

Memandangkan komuniti Malaysia di sini tidak ramai dan bagi menggalakkan penyertaan, yuran yang dikenakan sangat minima iaitu £10 (RM60) bagi setiap anak.

Yuran itu bukan bayaran bulanan tetapi yuran tahunan! Dengan yuran serendah itu diharapkan ibubapa tidak terbeban untuk menghantar anak masing-masing ke SMG.

bahasa-melayu-di-scotland-4
Bahan permainan disediakan dan dipinjamkan oleh pihak masjid.

Meskipun berdepan dengan berbagai kekurangan,  kelas komuniti ini dapat dijalankan hasil sokongan dan usaha murni segelintir individu di Glasgow beserta para ibubapa.

Semua buku, kertas, warna dan keperluan sekolah dibeli dari baki duit yang disimpan sejak tahun lalu. Makanan dan minuman pula adalah daripada sumbangan.

Untuk ruang kelas pula, pihak Masjid Al-Farouq telah memberikan kebenaran untuk menggunakan ruang di belakang masjid. Sokongan pihak masjid secara langsung sangat memberi makna buat SMG.

Baca: Kerana Jatuh Cinta Dengan Malaysia, Mat Salleh Ini Belajar Kuasai Bahasa Melayu

bahasa-melayu-di-scotland-5
Jurang umur anak-anak SMG antara 6-12 tahun memerlukan bahan pembelajaran yang berbeza.

Atas prinsip kesukarelaan, upah cikgunya pula cuma £16 sebulan. Mereka datang dengan perbelanjaan sendiri tanpa mengharapkan balasan. Disebabkan pelbagai kekangan, telah beberapa kali berlaku pertukaran guru. Sehingga kini masih ada 4 orang cikgu yang baik budi yang masih bersama SMG.

bahasa-melayu-di-scotland-6
Dari kiri ke kanan : Saudari Nur Aqilah, Puan June, Saudari Sharifah Zahra dan Saudari Mizan.

Puan June, yang juga bekas peguam di Malaysia yang mengikuti suaminya ke sini pernah berkata, bagi beliau ini bukan soal duit tetapi soal hidup matinya Bahasa Melayu di kalangan anak-anak disini.

Tanpa memikirkan halangan yang perlu ditempuh, beliau memfokuskan usaha bagi menguruskan kelas yang dianjurkan 2 minggu sekali.

Turut mengajar di sini adalah Saudari Sharifah Zahra yang merupakan pelajar tahun ketiga bidang Fizik dan Astrofizik dan Saudari Nur Aqilah pengajian Kimia di University of Glasgow.

Saudari Mizan pula merupakan pelajar perakaunan di University of Strathclyde. Mereka bertiga ini akan bergilir-gilir mengadakan sesi mengaji dan sebarang aktiviti pembelajaran dalam Bahasa Melayu yang menyeronokkan anak-anak.

Di sini, SMG menjadi tempat anak-anak berkomunikasi dalam bahasa Melayu tanpa ada rasa malu atau rendah diri.

Mereka dapat berjumpa dengan rakan yang bertutur dalam bahasa yang sama dari pelbagai tempat di Scotland. Sehingga kini, ada anak-anak yang datang sejauh dari Stirling yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Glasgow.

Baca: Kerana Mahu Kuasai Bahasa Melayu, Gadis Rusia Baca Vocket Setiap Hari

 

bahasa-melayu-di-scotland-10

Dengan adanya SMG, Puan Feera yang menghantar anaknya Fareiz dan Faried sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega.

Ini kerana dia sangat risau jika anaknya menganggap diri mereka ‘mat salleh’ sesudah bermastautin dan menjadi penduduk tetap di UK.

Alhamdulillah, kini mereka ada tempat untuk berkenalan dengan rakyat berbahasa Melayu.

bahasa-melayu-di-scotland-7
Bagi anak yang kecil diberikan aktiviti pelajaran bahasa Melayu dari segi bacaan dan ejaan. Buku dan bahan pembelajaran semua adalah dari sumbangan. Ia dibeli di Malaysia kerana sukar mendapatkan bahan di UK.

Sejak tahun 2008 SMG mendapat sumbangan sekitar £3000 setahun untuk membiayai kos operasi.

Namun sejak tahun 2012, tiada lagi sumbangan sebegitu diterima. Ditambah pula krisis ekonomi yang melanda ketika ini menjadikan lebih sukar untuk memperolehi sumbangan daripada mana-mana individu.

Setelah beberapa tahun, dana untuk SMG semakin menyusut sedangkan kos operasi semakin hari semakin meningkat.

Dianggarkan kos asas sekolah sahaja hampir mencecah £250 (RM1500 sebulan). Daripada kutipan yuran anak-anak murid SMG seramai 15 orang, disitulah satu-satunya sumber kewangan yang ada.

bahasa-melayu-di-scotland-8
Kelas mengaji dan bacaan Al-Quran buat anak-anak.

Memang terlihat jelas, usaha rakyat Malaysia ini bukan kerana ganjaran dunia tetapi hanya meminta balasan yang baik dari Allah swt.

Jelas terpancar harapan dan kegembiraan di wajah anak-anak menjadikanya satu alasan yang kuat mengapa Sekolah Malaysia Glasgow ini wajar dikekalkan. Jika tidak, mungkin usaha mengekalkan Bahasa Melayu di Scotland ini akan terus terkubur.

bahasa-melayu-di-scotland-9

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan sekolah SMG, sila ke Facebook page Sekolah Malaysia Glasgow dan Komuniti Malaysia Glasgow.

Sumbangan tak kira dalam bentuk apa sekalipun sangat dialu-alukan. Anda boleh hubungi mereka di Facebook Page di atas atau Puan June melalui Whatsapp +447762567935.

Baca kisah menarik seorang rakyat Malaysia mengharumkan nama negara di Scotland melalui hasil seninya: Bekerja Sebagai Pencuci Di Scotland, Lelaki Malaysia Ini Menjadi Perhatian Ramai Kerana Lukisannya