Nota Editor: Saya bertuah kerana dikelilingi oleh rakan-rakan yang sentiasa mahu memajukan diri. Pada kali ini, seorang rakan yang merupakan pelabur atau trader di pasaran Future Crude Palm Oil (fCPO), Mohd Azuri atau lebih dikenali sebagai Tuan Penjejakx, berkongsi dengan Vocket tentang bagaimana beliau menggunakan masa muda beliau, sehingga dapat mencapai tahap sekarang. Semoga bermanfaat.

Jangan takut dikata orang. Hanya kita yang tahu kekuatan sendiri, sama ada dalam aspek kewangan atau sosial.

Everybody have to start somewhere.

Semasa saya bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dahulu, sayalah satu-satunya pegawai yang menggunakan kereta kancil 850 GX di Kementerian, di kala rakan-rakan sejawatan sudah bergaya dengan Proton Gen-2, Honda City serta Toyota Vios.

Sebabnya ialah saya tidak mahu komitmen bulanan yang tinggi serta akan menggangu kelancaran proses untuk membuat pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi.

Saya sudah kalis dengan teguran rakan-rakan agar menukar kereta untuk jaga standard pegawai. Malah sudah banyak kali juga saya kena tahan oleh Polis Bantuan di pintu masuk utama Parlimen (semasa giliran bertugas wakil Kementerian), kerana Kancil saya mengeluarkan bunyi bising dari “blow-off valve” (enjin turbo L502).

Kereta tersebut itulah yang saya gunakan untuk runner ke kedai telefon Wartel (Warung Telefon) Seksyen 4 Bangi setiap malam dan ulang-alik kerja. Malah ia membolehkan saya balik kampung yang sejauh hampir 500 km dengan kerap untuk melawat ibubapa.

Selain menjalankan bisnes Wartel, saya juga ada memajakkan 2 buah kereta kepada kawan untuk disewakan dan kadang-kala terpaksa hantar kereta ke sekitar Pantai Dalam, Petaling Jaya dan Universiti Malaya. Masa bujang saya tidak seperti rakan-rakan serumah yang lain. Kebanyakkannya adalah “typical government officer”, jam 10.30 malam sudah masuk tidur. Sedangkan rutin saya ialah bedtime selepas pukul 1.00 pagi dan bangun semula jam 5.30 pagi.

Hujung minggu pula adalah masa untuk meneroka jalan-jalan kampung dan bukit dengan menggunakan sebuah Suzuki Jimny, kereta pejabat rakan serumah, seorang Jurutera Sivil yang perlu buat lawatan ke tapak projek seliaannya. Oleh sebab kuota minyak tertentu perlu dihabiskan dalam masa sebulan, maka saya dan rakan-rakan lainlah yang “membantu” beliau mencapai kuota tersebut.

Hasil berjimat-cermat, saya mampu membuka perniagaan kedai tayar terpakai atau “re-thread tyre” di Cherang, Kelantan. Namun bisnes tersebut hanya bertahan 4 bulan sahaja kerana partner lepas tangan dan masalah pengurusan yang agak sukar dari jauh. Satu tamparan hebat kepada saya kerana modal yang dilaburkan adalah tinggi. Pada masa tersebut, ilmu masih mentah tetapi semangat untuk mencuba sangat tinggi.

Dengan kitaran masa saya yang agak sibuk dengan kerja hakiki di pejabat, menguruskan bisnes di waktu malam dan pencarian ilmu di hujung minggu, saya telah “kehilangan” orang tersayang… kerana salah-sangka dan tuntutan hidup seorang lelaki yang mahu membuat persediaan rapi sebelum menyunting bunga di taman. Tetapi bukan episod tersebut yang saya mahu kongsikan disini. Mungkin pada masa lain jika ada yang sudi mendengar.

Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah:

  • Abaikan kata-nista orang terhadap kita. Bukan mereka yang akan membantu di saat kita susah. Pada peringkat awal kehidupan, bukanlah tugas kita untuk impress orang dengan kereta apa yang kita pakai atau di mana kita makan. Fasa permulaan bekerja adalah masa untuk menyimpan, mencari ilmu dan membina pengalaman.

“Don’t bother to buy things that you do not need just to impress people that you do not know.”

  • Berdamping dengan orang-orang yang berjaya atau pro aktif dalam kehidupan. Jadikan mereka sebagai mentor sama ada secara langsung atau tidak langsung. Saya cukup bertuah pada suatu ketika dahulu sudah berkenalan dengan cycle of friends yang celik kewangan dan aktif manipulasi tools kewangan dan pelaburan. Antaranya ialah Zaidi Ismail, Shafie Bustan, Tuanbri Pakar Hartanah, Hafizal Ahlan, Pokli Pwm dan beberapa nama lagi yang mungkin saya terlepas pandang.
  • Jangan terlalu taksub bercerita tentang kesusahan kita kepada orang sembarangan. Sifat manusia suka berkawan dengan orang yang berjaya sahaja. Cerita susah-payah menempuh onak duri tersebut biarlah kita simpan sendiri. Hanya keluarkan cerita tersebut apabila sudah berada di puncak sebagai teladan.
  • Manusia akan melalui fasa-fasa tertentu dalam kehidupan. Masa-masa muda anda akan merencanakan perjalanan anda seterusnya. Penuhkan ilmu di dada dan jangan takut mencuba dengan “calculated risk”.

Mungkin pada masa hadapan saya akan sentuh tentang cabaran pencarian tambahan pendapatan dalam Passive Income dan Portfolio Income selain mengekalkan Active Income yang sedia ada.

Bagaimana saya mula berkenalan dengan dunia trading dan kenapa akhirnya saya membuat keputusan untuk berhenti kerja dalam sektor kerajaan menjadi full time trader.

Hidup kita adalah sebuah pengembaraan. Jika ada perancangan serta persediaan yang dibuat teliti, maka lancarlah perjalanan kita. Namun, andai kata ada sesuatu yang terlepas semasa pengembaraan tersebut, maka anggaaplah ia sebagai satu suratan takdir. Kita tahu sebagai manusia biasa kita tidak sempurna, namun sekurang-kurangnya kita telah mencuba dengan sebaik mungkin.

Salam hormat.

BACA: Lelaki Ini Menerangkan Fungsi Sebenar Belanja Bulanan Dalam Komponen Formula Kewangan

BACA Lagi: 11 Cara Bebas Daripada Status Muflis Gaya David Cheang

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group