Kehadiran tahun baru 2017 masih lagi dirasa meskipun kita sudah hampir sampai ke akhir bulan Januari.

Sebelum berlabuhnya tahun 2016 yang lepas, saya ada berkongsi dengan rakam editor Vocket, Puan Nurulwahida tentang beberapa buku ‘self development and self improvement’ yang pernah saya baca.

Kemudiannya beliau meminta saya berkongsi di Vocket. Pada asalnya rasa seperti tidak perlu pula. Almaklumlah buku-buku ini adalah buku yang sudah lama berada di pasaran. Apatah lagi biasanya bila menulis review tentang satu-satu buku, selalunya adalah tentang buku baru.

Tapi bila difikirkan semula, tidak salah berkongsi buku lama jika buku tersebut masih kekal relevan untuk dibaca. Malahan saya juga kerap membuka semula buku-buku ini bila cuba mengamalkan salah satu daripada isi kandungannya.

Jadi saya kongsikan di sini untuk rujukan anda.

1. Universal Law Of Attraction

Kredit gambar dari Facebook Zuhari Nopiah. Saya cari kat rumah tak jumpa. Mungkin suami saya pula sedang buat ulangkaji.

Buku ditulis oleh 2 orang pengamal NLP (Neuro Linguistic Programming) iaitu Zuhairi Nopiah dan Amin Idris. Semestinya dalam bahasa Melayu.

Bagaimana mahu gunakan minda bawah sedar secara maksimum? Bagaimana jika anda ada impian tapi tak pasti adakah anda mampu mencapainya?

Sebagai manusia normal, sememangnya semangat kita juga umpama iman, ada pasang surutnya. Hari ini berkobar-kobar, silap gaya esok terus menjunam ‘down’. Itulah juga yang selalu saya alami dan buku ini merupakan antara rujukan saya setiap kali diserang rasa ‘down’.

Buku ini memberikan langkah demi langkah bagaimana caranya untuk saya membina impian, dan apakah yang perlu saya lakukan agar ia dapat saya capai, di samping menambah rasa kebergantungan kepada tuhan.

Buku ini boleh anda beli online di PTS Book Cafe. Harganya pun tak mahal.

2. Quranic Law of Attraction

Baca tajuk buku memang rasa macam bahasa Inggeris memanjang. Tapi sebenarnya ini adalah buku yang dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu.

Penulis buku, Rusdin S Rauf adalah seorang penulis dari negara seberang (Indonesia). Buku ini memberikan tatacara dan tips bagaimana mahu jadikan Al Quran sebagai peneman dan penyuluh hidup kita tanpa mengira batas masa dan ketika.

Bayangkan di saat kita keliru, atau bersedih, maka kita selak quran dan tiba-tiba mata terus menangkap satu ayat. Kemudian kita baca terjemahannya dan terus berderai air mata. Seolah tuhan sedang berbicara kepada kita melalui kitabnya.

Atau di waktu yang lain, tiba-tiba terasa sebak, nak baca quran atau paling kurang dengan alunan bacaan quran. Ye itulah yang bakal dilalui jika anda ikut tips yang dianjurkan di dalam buku ini. Bagaikan ada satu magnet menarik diri untuk mendampingi kitab suci ini.

Dan bagi saya buku ini sendiri membawa saya melihat Quran dari perspektif berbeza. Carian saya di PTS Book Cafe menunjukkan buku ni dah habis stok. Mungkin anda boleh cuba cari di kedai buku popular yang lain.

3. Awaken The Giant Within

Sebenarnya inilah buku ‘self improvement’ pertama yang saya beli. Ia umpama pembuka mata buat saya, betapa sebenarnya kita berhak mencorak hidup kita sebagaimana yang kita mahukan.

Setiap daripada kita dianugerahkan dengan kebolehan yang unik dan hebat. Cuma adakala persekitaran, cara kita dibesarkan dan dididik, serta pemikiran yang dicorakkan ke atas diri membuatkan serba serbi terasa ada hadnya.

Buku ini menerangkan bagaimana kita juga mampu jadi hebat, mampu berjaya dan mampu membangunkan gergasi yang sudah lama menghuni dan bersedia bangkit di dalam diri kita.

Buku ini bagaikan menghentak diri saya sekuatnya. Menghentam saya untuk bangun, berubah dan berusaha mencorakkan hidup sebagaimana yang saya mahukan. Seterusnya cuba berlari mengejar impian yang ingin saya genggam.

Dulu masa saya beli, buku ni agak mahal harganya. Beli di Kinokuniya, dalam bahasa Inggeris. Tapi sekarang anda tak perlu bayar mahal macam saya. PTS dah keluarkan buku ni dan telah diterjemah ke bahasa Melayu. Anda boleh klik di link ini untuk buat tempahan online di PTS Book Cafe.

Cukuplah saya kongsikan 3 buku di atas dulu. Jika anda bukan kaki buku, belilah satu buku dahulu. Sebelum beli, belek dan baca beberapa mukasurat. Jika ia kena dengan minat, berjaya menarik anda untuk baca di helaian seterusnya, dan mula mengetuk minda anda, barulah beli.

Dan, tak bermakna anda perlu baca dan habiskan setiap buku sebelum mempraktikkan apa yang telah ditulis. Amalkan saja seawal mungkin daripada apa yang telah atau sedang anda baca.

Sejujurnya jika anda baca hanya 1 buku sahaja dan terus lakukan seperti apa yang dikongsikan di dalam buku tersebut, itu sudah cukup bagus sebagai langkah permulaan.

Atau, jika anda rasakan membaca buku bukanlah sesuatu yang mudah  dipermulaan, apakata anda dengar perkongsian positif di YouTube. Ye, itu juga boleh membantu anda. Bagi saya, ia sangat membantu.

Selalunya saya akan pasang video begini sambil buat kerja. Bukan dengar sangat pun, tapi ini salah satu cara saya mendidik diri untuk melihat, membaca dan mendengar perkara yang dapat membantu membangunkan diri saya.

Sebagai contoh saya akan pasang dan biarkan rakaman ini ‘play’ semasa saya sedang menaip artikel ini. Oh ya. Ada masa saya pun layan juga Justin Bieber terutama jika mahu naikkan mood ceria dan bersemangat bila menulis. Haha. Tetapi selalunya saya pilih lagu yang liriknya memberi motivasi.

 

Untuk berubah kita perlu bermula dengan fasa yang mudah untuk dilakukan, bermula dengan perkara-perkara kecil. Mahu berubah menjadi seorang yang lebih positif juga perlukan latihan berterusan, setiap hari.

Perubahan tak datang dengan hanya satu tindakan, atau dalam 1 malam. Ia adalah proses tanpa henti dan berbeza bagi setiap individu. Yang penting usah berhenti membantu diri anda menjadi seorang yang lebih baik di hari ini berbanding semalam.

Hidup adalah satu proses perubahan yang berlaku setiap hari. Selagi bernafas selagi itulah kita akan sentiasa melalui fasa perubahan sama ada dari segi usia, perubahan fizikal mahupun pemikiran. Jadi alang-alang dah begitu, kenapa tidak kita pilih untuk berubah ke arah yang lebih baik seiring dengan berganjaknya masa?

Akhir kata, saya hanya mampu berkongsi dan tunjukkan kepada anda buku manakah yang telah berjaya mengubah saya. Di akhirnya ia tetap berbalik kepada diri anda. Hanya anda yang mampu ubah diri anda.

Selamat maju jaya.
Ida Latif
Editor, TheVocket.com

Baca lagi: Saya Baru Habis Baca Novel ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ Dan Ini Apa Yang Saya Rasa