Beberapa orang anak muda dilihat masuk ke dalam Starbucks dan membuat pesanan minuman di kaunter bayaran. Kelihatan juga barista yang walaupun sibuk, pantas menyediakan ‘caramel macchiato’ dan ‘caffè latte’ kepada pelanggan sebelumnya.

Harga bukanlah satu isu. Apa yang penting bagi pelanggan, mereka dapat bertemu di tempat selesa dan bersantai lama walaupun hanya dengan secawan ‘Cappuccino’ saja. Ditambah pula dengan alunan lembut muzik latar dan WIFI percuma.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pelanggan mungkin tidak kenal dan tidak kisah siapa individu penting di sebalik jenama terkenal ini yang boleh dijadikan sumber inspirasi kepada mereka. Beliau ialah Howard Schultz, CEO kepada Starbucks Coffee Company yang merupakan rangkaian kedai kopi terbesar di dunia.

Howard yang lahir pada 19 Julai 1953 di Broklyn New York datang daripada keluarga miskin, anak kepada bekas tentera US dan pemandu trak yang bernama Fred Schultz dan ibunya Elaine. Mereka sendiri tidak pernah menyangka Howard bakal menjadi salah seorang usahawan terkaya di Amerika Syarikat (AS).

Howard mendapat pekerjaan pertama ketika beliau berusia 12 tahun, dengan menjual surat khabar dan bekerja di kafe. Sebagai seorang pelajar yang rajin, Howard juga cemerlang dalam sukan dan dianugerahkan biasiswa atlet untuk menyambung pelajaran ke Universiti Northen Michigan. Beliau menamatkan pengajian dalam Ijazah Komunikasi pada tahun 1975.

Sejurus tamat pengajian, beliau telah diterima bekerja serta dilantik sebagai pengurus jualan di Xerox selama 3 tahun. Kemudian, Howard bertukar kerja ke syarikat dari Sweden yang bernama Hamamaplast di mana beliau menjual perkakasan rumah termasuklah mesin ‘coffee grinder’ kepada sebuah syarikat kecil yang bernama Starbucks.

Apabila Howard melihat syarikat kecil ini kerap membeli mesin kopi daripada syarikatnya berbanding kedai kopi lain, beliau melihat peluang dan membuat keputusan untuk berjumpa sendiri pemiliknya di Seattle, Washington.

Pemilik/Pengasas awal Starbucks Corporation merupakan 3 orang rakan kolej iaitu Jerry Baldwin seorang guru Bahasa Inggeris, Zev Siegl seorang guru sejarah dan Gordon Bowker seorang penulis. Ketiga-tiga rakan ini sangat meminati kopi dan membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai kopi secara bersama.

Kedai kopi mereka dibuka pada penghujung tahun 60an. Pada waktu itu majoriti penduduknya hanya minum kopi segera dan tidak tahu kewujudan jenis kopi yang lain, jadi ia menjadi satu cabaran besar buat mereka.

Berbalik kepada cerita Howard, setelah beliau tiba di Seattle dan mencuba kopi di Starbucks beliau dapat merasai keistimewaan kopi mereka. Malah rasa dan aromanya adalah lebih baik daripada kopi-kopi yang pernah beliau minum. Beliau akhirnya nekad untuk jadi sebahagian daripada mereka.

Howard yang pada ketika itu berusia 29 tahun merayu untuk bekerja di Starbucks dan cuba memujuk Jerry Baldwin, salah seorang pengasas Starbucks walaupun Baldwin kurang bersetuju dengan idea Howard untuk membuka lebih banyak ‘outlet’ Starbucks yang serupa.

Hari berikutnya, Howard telah ditawarkan jawatan pengarah pemasaran di Starbucks dengan gaji yang jauh lebih rendah daripada Hamamaplast. Howard masih dapat melihat potensi yang besar terhadap bisnes tersebut dan beliau bersetuju untuk menyertai Starbucks dan berpindah ke Seattle pada tahun 1982.

Pada tahun 1983, Howard telah ke Milan dan membawa pulang resipi ‘latte’ serta ‘cappuccino’ yang melonjakkan jualan Starbucks pada tahun berikutnya. Namun apa yang membuatkan Howard tertarik sewaktu di Milan adalah konsep ‘Italian cafĂ©’nya yang menyediakan pelanggan tempat untuk bersosial dan bersantai.

Howard menghabiskan banyak masa memikirkan keseluruhan konsep baru pada tahun 1985 bagi cadangan pembukaan rangkaian kedai kopi Starbucks. Walau bagaimanapun idea beliau ditolak oleh ketiga-tiga pengasas Starbucks kerana mereka ingin kekalkan konsep tradisional yang memfokuskan ‘outlet’ Starbucks sedia ada.

Akhirnya Howard meletakkan jawatan daripada Starbucks dan membuka perniagaanya sendiri. Untuk memulakan perniagaan, beliau bernasib baik kerana pengasas Starbucks masih bersedia memberikan pinjaman sebahagian daripada jumlah keseluruhan yang diperlukan sebanyak USD1.7 juta. Selebihnya pula dipinjam daripada bank.

Pada bulan April 1986, Howard telah membuka kedai kopinya sendiri di Seattle yang dinamakan ‘II Gionale’. Ia merupakan kejayaan besar buat Howard apabila 300 orang pelanggan telah berkunjung ke kedainya pada hari pertama pembukaan.

Setahun kemudian, Howard mendapat berita bahawa pengasas Starbucks ingin melepaskan perniagaan mereka dengan harga USD4 juta termasuklah kilang memproses dan juga jenama Starbucks sendiri kerana ketidakupayaan mereka menguruskan syarikat yang semakin membesar.

Howard akhirnya menjadi pemilik utama Starbucks setelah berjaya mendapatkan pinjaman dan pelabur untuk mengambil-alih Starbucks daripada 3 pengasas asal. Kedai-kedai kopi ‘II Gionale’ beliau juga ditukar nama kepada Starbucks. Satu info menarik, Bill Gates juga merupakan salah seorang pelabur pada ketika itu.

Howard berjanji kepada pihak bank dan para pelabur bahawa dalam tempoh 5 tahun beliau akan membuka sebanyak 125 ‘outlet’ Starbucks di AS. Walau bagaimanapun pada tahun 1992 itu juga beliau telah berjaya membuka lebih banyak ‘outlet’ berbanding sasaran awal. Beliau turut menggunakan sistem francais McDonalds sebagai rujukan bagi membangunkan syarikat.

Pada tahun yang sama, Howard telah meletakkan Starbucks sebagai syarikat awam dan menawarkan unit-unit saham di New York Stock Exchange (NYSE) dengan harga USD14/saham. Dalam tempoh sehari saja harganya melonjak ke USD33.

Pada tahun 1996, Starbucks telah mengembangkan perniagaannya ke luar Amerika Syarikat. Starbucks yang pertama dibuka di luar AS ialah di Jepun, kemudiannya di Singapura, Korea, Taiwan, UK, Belanda, Sweden dan Israel. Pada tahun 2000 jumlah Starbucks di AS adalah melebihi 2,400 ‘outlet’ dan 350 ‘outlet’ di Eropah, Asia, Timur Tengah dan Kanada.

Pada tahun 2017, nilai kekayaan Howard Schultz ialah sebanyak USD3.4 billion dan setakat bulan Jun 2016, sebanyak 24,464 ‘outlet’ Starbucks telah beroperasi di 72 negara dengan pekerja seramai 238,000 orang.

Berkuatkuasa pada bulan April 2017, Howard telah melantik Presiden dan COO beliau, Kevin Johnson sebagai CEO dan Howard pula bertindak sebagai Pengerusi Eksekutif.

“Everyone has inside of him a piece of good news. The good news is that you don’t know how great you can be! How much you can love! What you can accomplish! And what your potential is!”-Anne Frank

Sumber rujukan: Pakcik ‘Google’

Baca lagi: 2 Kisah Gagal Di Sebalik Kejayaan Pengasas GoPro Dan Under Armour