Kita sudah biasa mendengar tentang peranti Apple yang berjaya ditemui di kawasan darat menggunakan aplikasi FindMy. Tapi tahukah anda bahawa peranti Apple sebenarnya masih boleh dijejaki walaupun berada di dalam air?

Perkara ini dialami sendiri oleh seorang pengguna bernama Jefferson Rocha yang mana kehilangan jam Apple Watch di laut Rio De Janeiro, Brazil semasa menaiki kapal layar.

Baca Juga:

apple watch hilang
Sumber Gambar: 9to5mac

Menurut beliau, jam tangan yang dipakai telah tertanggal dari pergelangan tangannya ketika sedang berenang dalam air. Rocha cuba mendapatkan semula Apple Watch miliknya tetapi gagal.

Susulan itu, beliau kembali ke kapal layarnya semula dan agak mengejutkan apabila Apple Watch tersebut masih dapat dijejak oleh aplikasi Find My walaupun berada di dalam dasar laut.

Apple Watch tersebut bagaimanapun mati selepas itu namun keesokan harinya telah menerima notifkasi daripada FindMy yang mengatakan Apple Watch telah dihidupkan. Beliau lalu menghidupkan Lost Mode dan memasukkan beberapa maklumat peribadinya supaya sesiapa yang menjumpai jam tangan itu boleh menghubunginya.

Akhirnya, seorang remaja berusia 16 tahun menghantar mesej kepada Rocha di Instagram mengatakan bahawa beliau bersama bapanya telah menemui Apple Watch tersebut.

Difahamkan jam tangan itu berjaya ditemui oleh Benoni Antonio Filho, seorang penyelam berusia 50 tahun yang menjaga taman karang dan sentiasa mengumpul barangan hilang untuk dikembalikan kepada pemilik asal. Selepas Apple Watch itu ditemui, Filho mengecaj peranti tersebut dan tunggu sehingga terpapar mesej dari aplikasi Find My.

Filho kemudian meminta anaknya untuk menguruskan proses pemulangan kepada pemilik asal. Difahamkan jam Apple Watch itu telah pun berjaya dipulangkan kepada Rocha dan masih berfungsi seperti biasa.

Untuk makluman, setiap model Apple Watch adalah kalis air sepenuhnya  bermula dari Apple Watch Series 2. Menurut Apple, peranti itu telah diuji untuk berfungsi sehingga 50 meter di bawah air. Untuk Apple Watch Ultra pula, tahap rintangan meningkat kepada 100 meter dalam.

Perlu diingat, Apple tidak melindungi kerosakan impak daripada air meskipun peranti tersebut boleh digunakan sewaktu berenang, menyelam atau mandi. Boleh lawati laman rasmi Apple untuk mengetahui lebih lanjut tentang rintangan air Apple Watch dan perkara yang perlu dilakukan apabila ia basah.

Sumber