Nota Editor: Kisah menyentuh hati ini telah dikongsikan di Facebook Afyz Yzels, seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti di Irbid, Jordan. Kami kongsikan semula di sini dengan izin daripada penulis.

Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar dan juga penguat semangat terutama bagi mereka yang merasakan hidup ini adalah sukar. Sesungguhnya ada yang hidup lebih malang dan sukar dari kita, tapi insan seperti lelaki Syria ini tidak pernah mengenal putus asa untuk berjuang dan meneruskan hidup.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dari Syria, datang ke Jordan. Dari Jordan, bakal berhijrah pula ke Sweden.

Insan ini kami kenali 2 tahun lepas ketika ziarah projek agihan bantuan untuk pelarian syria. Lokasi nya di Kitim, 20 minit dari bandar Irbid tempat kediaman kami. Lebih dinilai selaku keluarga angkat kami selama hampir 2 tahun.

Orangnya cukup baik. Keluarganya Muhtaram, anak-anak yang baik, soleh solehah. Bersamanya 6 orang anak yang tinggal di bawah satu kediaman 3 bilik.

Sejak mula bertemu kami, beliau gunakan peluang mengenali kami untuk mencari ruang menyara hidup keluarga dengan bekerja. Pantang ada ruang untuk sebarang pekerjaan, pasti diambil peluang itu tanpa berfikir panjang.

abu-usamah-1

Gambar di atas ketika “Agihan Berbuka Puasa Untuk Pelarian Syria” yang kami laksanakan 2 tahun lepas. Medium ini kami gunakan untuk membantu keluarga. Memasak dan mengagihkan, sambil kami memberi pendapatan kepada mereka sekeluarga.

Beberapa bulan lepas, insan ini mula berkata-kata soal Hijrah, Hijrah. Katanya “aku perlu keluar dari sini (Jordan). Aku tak boleh bekerja di sini (dilarang), sedangkan aku perlu menyara keluarga aku. Aku ada pendidikan, aku seorang pengajar. Aku kena bekerja”.

Ya. Beliau memiliki sijil pendidikan peringkat Master dalam bidang Bahasa Arab. Dahulunya di Syria, merupakan seorang pengajar (lecturer). Pernah merantau ke Lubnan dan Madinah ketika zamannya menuntut ilmu.

Namun sebaik terjadi perang di Syria, segalanya tinggal kenangan. Kini masanya sudah sampai untuk beliau berjuang kembali. Namun agak terkejut apabila disebut negara yang beliau sasarkan.

Sweden.

Katanya di sana warga Syria (foreigner) dibantu. Aku pun dah ada passport aku, dah boleh kerja. Aku nak cari kerja, nak cari hidup baru. Aku perlu pergi sana dahulu untuk 2-4 bulan, dah dapat rumah, aku akan bawa keluarga aku ke sana.

Sekolah untuk anak-anak aku kat sana pun free. Tak macam sini, pergi sekolah pun pembelajaran tak setaraf apa kami ajarkan di Syria. Anak-anak kami (Syria) pula selalu kena buli, kena ejek. Aku tak nak anak-anak kena macam tu lagi.

Pagi esok selasa, jam 6 pagi beliau akan menaiki kapal terbang ke Turki. Seterusnya dari Turki akan melalui jalan darat untuk ke Sweden. Ya, jalan darat! Yang bakal memakan tempoh lebih seminggu lamanya untk sampai ke Sweden.

Beliau akui kewangan yang diperlukan banyak, hampir JD1500, kami juga tidak mampu untk menghulurkan bantuan dengan kadar yang banyak. Sekadar termampu.

Katanya “Aku pinjam duit keluarga, saudara mara aku, kawan-kawan aku untuk berhijrah ni. Tapi aku takde pilihan, ini jalan terakhir. Aku takleh tunggu masa depan anak-anak dan keluarga aku hancur kerana menunggu di sini”.

Saudara mara adik beradiknya sudah ramai yang terbunuh kerana perang di Syria. Kami faham jika semangatnya terlampau memandangkan beliaulah pewaris keluarga, wakil keluarga yang masih tinggal dan mampu bertahan.

Semoga dipermudahkan segala urusan engkau Abu Usamah. Semoga Allah melindungi engkau, dipermudahkan urusan disana. Aku yakin, Allah takkan melupakan hamba-hambaNya yang berusaha.

Mintak maaf tak banyak yang kami dapat tolong, gunakanlah wang pemberian kami itu sebaiknya. InshaAllah, keluarga engkau di sini akan kami jaga dan bantu sebaik mungkin.

Aku tahu perjalanan yang bakal memakan tempoh lebih seminggu ini bakal menduga engkau banyak perkara, namun kami yakin engkau cukup kuat dan tabah untuk melaluinya. InshaAllah. Tinggalkan lagi keluarga di sini, jauh daripada anak-anak tersayang. Pasti kuat dugannya. Namun kami yakin, engkau cukup kuat.

Sentiasa menitiskan air mata teringat nasib yang menimpa warga Syria. Betapa hebat, bertahun lamanya mereka masih mampu bertahan.

Baca: Kisah Menyentuh Hati Di Sebalik Sekolah Anak Pelarian Syria Diasaskan Oleh Pelajar Malaysia

abu-usamah-2

Dalam tak sedar, air mata mengalir. Saat yang tak pernah ku duga. Aku selalu cakap;

“nanti kalau aku dah balik Malaysia, bila korang dah balik Syria, telefon tau. Aku nak pergi Syria, ziarah korang”.

Jam 1.50 pagi tadi, kami bertolak membawa Abu Usamah (lelaki Arab warga pelarian Syria seperti dalam gambar) ke lapangan terbang. Kucupan dan pelukan terakhir beliau bersama keluarga diiringi dengan tangisan dan teriakan oleh insan sehidup sematinya, isteri tersayang Ummu Usamah. Takkan kami lupa tangisan itu.

Sungguh tak terfikir di akal, bahawa beliau yang akan terlebih dahulu meninggalkan kami. Bukan dekat jarak yang ditinggalkan sebaliknya jauh, Jordan-Sweden. Pemergian yang aku cukup yakin, cukup sukar bagi beliau.

Namun beliau cukup kuat, tanpa berpaling ke belakang, tanpa tangis walau sedetik, tanpa tolehan terakhir. Beliau pergi meninggalkan keluarga disayangi. Tinggallah 6 orang anak kecil beliau bersama ibu tanpa bapa di bumi asing ini bernama Jordan.

Tiba di lapangan terbang, semasa menaiki eskalator untuk ke tingkat atas, jelas kelihatan kudratnya yang tidak seberapa.

Langkahannya bongkok, kakinya lemah. Kerana ketika ini beliau sedang menghadapi penyakit kaki yang sudah berbulan lamanya, namun masih belum dirawat dengan baik kerana kekurangan dana kewangan. Sungguh, langkahnya sudah lama bongkok.

Namun, dengan bongkok itu masih gagahkan diri mengembara berseorangan ke negara asing hanya untuk mencari masa depan yang lebih baik untuk keluarga tersayang.

Ditambah beliau sendiri pertama kali bakal terbang menaiki kapal terbang, tidak tahu banyak perkara hingga terpaksa kami ajarkan langkah yang perlu dibuat, setidaknya pasti perasaan gundah gulana bermain sana sini. Sungguh tabah hati mu.

Aku pasti si bapa lagi sedih bertimpa-timpa untuk meninggalkan isteri dan anak-anaknya dibumi asing ini. Namun segalanya beliau serahkan pada Tuhan.

Aku hanya sempat berpesan pada anak lelaki sulungnya, “jaga emak baik-baik. Ada masalah ada perkara apa-apa bagi tahu aku atau Salleh, jangan tangguh-tangguh”. Berkaca kelopak mata si anak sulung menitiskan air mata.

Pesan itu aku tinggalkan kerana kata-kata Abu Usamah cukup membuat hati ini sebak. Kami bertanya meminta izin “Abu Usamah, engkau tiada, minggu-minggu kami datang sini (rumah beliau) ziarah tak pe ke? Kau izinkan tak?”,

Jawapan beliau; “La kenapa tak bolehnya, datang la. Rumah korang juga, keluarga korang jugak. Datang la. Usamah (anak lelaki sulung) ada, takde masalah pun”.

Tadi buat pertama kali, Abu Usamah sendiri yang minta ambil gambar dengan ketiga-tiga daripada kami. Aku, Salleh dan Ishak. Ini pertama kali, selalunya kami yang minta ambik gambar. Tapi kali ini, beliau sendiri yang minta. Allah. Pasti ada sesuatu bermain di hatinya sehingga beliau sendiri yang meminta.

Semoga Allah memelihara perjalananmu. Semoga terus maju jaya dan diberi kekuatan selayaknya untuk membawa keluarga mu ke arah masa depan yang lebih bersinar.

Selamat tinggal Abu Usamah, semoga Allah memanjangkan umur kami dan umurmu untuk bertemu lagi.

Baca lagi: Keindahan Syria Satu Ketika Dulu Sebelum Perang

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram