Impian gadis ini mahu travel solo dengan cara berbasikal bermula pada tahun 2005, iaitu sewaktu masih belajar. Namun menurut Siti Hajar binti Mohamad Taher atau lebih mesra di panggil Jaja, faktor kekurangan sumber di waktu itu menjadi penghalang untuk beliau menyempurnakan impian ini.

Hinggalah 2 bulan lepas, pengembaraan solo Jaja dengan basikal akhirnya berjaya dilaksanakan. Trip ini berlangsung dari penghujung bulan Mac hingga penghujung Mei 2015. Sebelum bercerita lebih lanjut, mari kita berkenalan dulu dengan Jaja.

S10
HYPE
Rakam Video Dan Terus Sunting, Ini Kelebihan Samsung Galaxy Note10 Untuk Anda Yang ‘On The Go’
Baca lagi →

Latar belakang

Gadis berusia 30 tahun dan masih single ini merupakan seorang yang gemarkan aktiviti lasak. Selain daripada travel, Jaja juga gemar mendaki gunung.

Terinsiprasi dengan apa yang pernah beliau lihat sewaktu travel, Jaja mengusakan sebuah rumah tamu iaitiu Gopeng Guesthouse and Cafe yang terletak di Gopeng, Perak.

Antara yang disediakan di rumah tamu ini adalah cafe dengan hidangan tempatan dan barat, bilik penginapan dan aktiviti lasak (outdoor) termasuk berakit di sungai (white water rafting).

Jaja juga menguahakan satu projek komuniti bernama MyKampong sebagai salah satu usaha beliau untuk ‘memberi kembali’ kepada masyarakat di sekeliling. Aktiviti yang dijalankan di MyKampong adalah kelas percuma bahasa Inggeris, kelas seni dan melukis, program kitar semula serta kelas aktiviti luar untuk kanak-kanak di Gopeng.

Berbasikal solo di Korea Selatan

Trip berbasikal solo yang telah lama ingin dilakukan ini merupakan hadiah harijadi Jaja kepada diri sendiri.

Kos perbelanjaan sewaktu di Korea adalah sekitar RM1000. Total kos kseluruhan selama 2 bulan adalah RM3000 termasuk tiket penerbangan pergi dan balik.

“Saya beli tiket balik sehari sebelum tarikh penerbangan, jadi harganya mahal. Saya rasa perbelanjaan ini sebenarnya boleh dikurangkan kalau beli tiket awal,” Jaja.

Berkhemah dan Couchsurfing sepanjang di Korea

Untuk trip kali ini Jaja banyak memilih untuk berkhemah di samping menginap di rumah penduduk tempatan yang beliau cari melalui Couchsurfing.com.

“Kesemua tuan rumah ialah orang Korea. Kebanyakan yang saya jumpa adalah tidak sengaja. Saya bertanya jalan, kemudian mereka ajak ke rumah. Ada juga antara mereka saudara mara kepada kawan saya. Lain-lain merupakan kawan lama yang saya jumpa masa travel dahulu. Jadi mudahlah nak bawa diri,” Jaja.

Jaja juga akan bangun awal setiap kali tinggal di rumah orang tempatan dan tolong memasak di dapur.

“Oleh kerana kawasan yang saya pergi kebanyakannya the less traveled routes, di mana orang tempatan yang saya jumpa kebanyakannya sangat sopan dan baik hati.

Bagi membalas budi, saya akan masak masakan ala-ala Malaysia dan akan tunjuk gambar lokasi menarik dan makanan Malaysia kepada mereka di samping menjemput mereka datang ke Malaysia. Saya juga menolong tuan rumah untuk bersihkan rumah, berkebun, dan apa-apa pekerjaan yang tuan rumah buat,” Jaja.

Pengalaman manis

Sepanjang trip ini, saya dapat ramai kenalan yang baik-baik. Jadi kalau saya nak ke Korea lagi, tak perlu risau tentang tempat tinggal.

Saya juga bertemu dengan band reggae paling popular di Korea dan beberapa negara lagi. Selain dapat mempelajari resipi masakan, saya dapat lihat dan alami sendiri kehidupan di kampung.

Saya juga berpeluang melihat banyak tempat cantik yang tidak terdapat dalam brochure pelancongan. Disebabkan saya travel tanpa perancangan, banyak kejutan yang saya dapat dan semuanya menarik.

Ramai orang Korea yang bagi makanan, gajet dan juga duit pada saya. Ada yang membayar penginapan, belanja makan di restoran dan ada tuanpunya guesthouse yang bagi saya menginap percuma.

Ada suatu hari, seseorang belanja saya tempat rehat dan makan di restoran. Saya mahu berkhemah, katanya tak perlu. Saya boleh berehat di suatu tempat ini. Katanya di tempat rehat ini saya boleh mandi dan tidur. Beliau membayar segala perbelanjaan walaupun saya tak mahu.

Sampai saja di tempat tersebut, terkejut saya. Rupanya Jimjil bang iaitu tempat mandi awam di mana semua orang berbogel dan berendam. Saya terus ke tandas, ukar baju dalam tandas dan terus tidur.

Di Jeju, saya menumpang tidur di rumah kawan saya iaitu seorang hippies yang hidup terlalu naturalist dan agak kotor. Contohnya najis berak dibuat baja dan selebihnya dibuang depan rumah.

Sewaktu kami membersihkan kawasan rumah, saya dan rakan kembara lain yang juga menginap di situ terpegang najis beliau.

Waktu malam itu, tempat beliau buang najis diletakkan periuk dan masak noodles untuk rakan-rakan yang lain. Mereka juga kencing di merata-rata kawasan rumah, depan orang lain tanpa segan silu termasuklah kawan perempuan saya.

Saya tumpang tidur 1 malam, dan terjaga bila anjing beliau yang baru dicukur bulu tidur dengan saya.

Di Asan, tuan rumah buat makan-makan dan ajak pastor datang untuk tolong sembahyangkan saya supaya selamat dari perkara yang tak elok. Keluarga ini juga merupakan sukarelawan di sebuah gereja.

Disebabkan masalah komunikasi, saya ingatkan mereka buat kerja sukarela di rumah orang tua, jadi saya bersetuju untuk ikut serta.  Rupa-rupanya sukarelawan di gereja.

Pengalaman pahit

Jatuh basikal dan terbaring atas jalan. Saya juga selalu tersesat. Tersesat masuk ke highway paling menakutkan sebab lori besar dan laju. Ada banyak lagi pengalaman pahit lain, tapi saya kira ini semualah yang mengajar saya agar lebih cekal dan tabah.

Trip tanpa peralatan lengkap

Tahun 2011/ 2012 saya beli basikal tua dari kawan. Cuma tahun ni baru dapat travel. Basikal dan peralatan saya bukanlah canggih dan lengkap. Saya mula dengan apa yang ada.

Dan dari trip ni juga lah, saya rasa kita patut travel dengan cara kita sendiri tanpa perlu ambil tahu apa yang orang kata – yang kita tidak cukup itu ini. Sebab kalau kita nak tunggu cukup semua, kita tak akan travel sampai bila-bila.

Saya bernasib baik bila ada peralatan lain seperti khemah, set memasak dan skill outdoor yang lain kerana kehidupan saya yang banyak terlibat dengan aktiviti outdoor dan kerap menggunakan peralatan seperti ini.

Semasa trip ni, saya juga banyak berkhemah. Berkhemah berseorangan dan out of nowhere mengajar saya lebih berani, dan lebih yakin dengan diri sendiri.

Saya juga buat route sendiri dan tidak tetapkan destinasi mana yang saya harus pergi, jadi perjalanan lebih menarik walapun tidak ikut bike path yang disediakan.

Pesanan kepada pembaca

“Pesanan saya, mula travel dengan apa yang anda ada. Walaupun basikal tidak canggih, itu bukan penghalang. Kayuh dan berhenti bila-bila masa kita nak.

Saya juga tidak letak target berapa jauh nak kena kayuh setiap hari, tidak set meter pada basikal sebab saya cuma nak enjoy the journey. Pedulikan apa yang orang kata. Dengan BMX pun kita boleh buat.

Elakkan dari travel ke tempat touristic, cuba teroka kawasan yang off the beaten path dan banyakkan bergaul dengan orang tempatan. Make friends with them.

Jangan takut bila berseorangan, juga jangan takut nak camping solo. Keluar dari kepompong ketakutan tu. Selepas dah keluar tu, dah tak rasa takut lagi. Saya juga berharap lebih ramai wanita Malaysia akan teavel dengan cara begini dan jadi berani seperti wanita dari negara lain,” Jaja.

Jaja juga sempat berpesan, jika anda mahu travel ke Korea Selatan seperti beliau, sebaiknya belajar beberapa perkataan asas dalam bahasa Korea. Masalah komunikasi paling banyak timbul bila anda ke kawasan luar bandar hingga tanya tandas di mana pun orang tak tahu.

Panduan travel dengan basikal di Korea Selatan

Berikut pecahan kos keseluruhan dan tips bagaimana Jaja berjaya lakukan pengembaraan beliau ini.

1. Kos penerbangan:

a. KL ke Seoul, AirAsia RM440
b. Sport equipment (basikal) RM85
c. Kotak basikal: Free dari kedai basikal di Ipoh

2. Kos pengangkutan dari Mokpo ke Jeju-do
a. Feri dari Mokpo ke Jeju KRW35,000 + basikal KRW3000
b. Penerbangan Jeju (Jeju Air) ke Gimpo Airport, Seoul KRW26,000
c. Kotak basikal (ada di airport) KRW20,000
d. Tambah KRW10,000 untuk bawa basikal ke dalam kapalterbang
e. Airport Gimpo ke Incheon Airport (transfer basikal) KRW7500
f. Simpan basikal di Incheon KRW20000

3. Tiket penerbangan Incheon, Seoul ke KL
a. AirAsia KRW269000, mahal sebab beli sehari sebelum balik.
b. Sports equipment (basikal) 20kg KRW42300

Total kos pengangkutan : RM525 + KRW432 800 (RM1651) = RM2,176

4. Penginapan:  Kebanyakan tinggal dengan orang tempatan dan berkhemah + hostel di Seoul.

5. Makanan: Masak sendiri, makan di restoran bila di Seoul, kebanyakkannya orang belanja.

6. Lokasi menarik: Kebanyakan bukan lokasi tarikan pelancong, free entry, atau orang belanja

7. Perbelanjaan lain: Beli bahan makanan untuk tuan rumah, dan lain-lain keperluan

Kos berbelanja di Korea: Sekitar RM1000

Kos keseluruhan termasuk pengangkutan:  +- RM 3176

Routes: Off the beaten paths, the less traveled routes.

Tips dan tricks

1. Download Naver Map untuk lihat gambaran route. Google tak membantu sangat. Hanya perlu tahu beberapa fungsi butang sahaja. Kuat guna internet.

2. Download Maps.me. Berfungsi bila offline walaupun sedikit lembab.

3. Route boleh ikut laluan basikal yang disediakan. Tapi saya tak ikut bike route.

4. Explore off the beaten paths. Elakkan kawasan tumpuan pelancong. Bosan.

5. Bawak khemah, pasang je di mana-mana yang berdekatan sumber air. Percuma.

6. Masak sendiri. Jimat banyak. Ikan bilis, ikan masin, telur senang dapat.

7. Bawa belacan, serbuk kari, Cukup Rasa, Kiub Ayam dan Ikan Bilis Maggi.

8. Tak perlu risau jika ada pengetahuan sikit saja pasal basikal. Yang penting tahu terutama bahagian nak tukar dan tampal tayar.

9. Tak perlu tunggu cukup semua barang atau ada basikal canggih baru nak mula.

10. Banyakkan bergaul dengan orang tempatan.

11. Kalau tinggal dengan orang tempatan, jangan malas atau kedekut. Apa salahnya belanja sedikit duit beli hadiah atau barang untuk mereka. Atau masak sesuatu untuk mereka.

12. Download Kakaotalk bila nak berkomunikasi dengan orang Korea. Fungsinya sama macam Whatsapp atau Wechat.

13. Download Google Translate. Walaupun tak tepat, tapi agak membantu. Juga membantu untuk alih bahasa label kandungan dalam makanan.

14. Pack light. Jangan bawa banyak baju. Bawa yang penting sahaja. Stokin dan baju tebal penting.

15. Bawak sekurang-kurangnya dua botol air.

16. Letak makanan di bahagian paling senang nak capai di basikal.

17. Sebelum kayuh, cek angin tayar dan brek.

18. Jangan lupa bawak selfie stick. Saya tak ada ni, gambar sendiri tak banyak.

19. Bawa sleeping bag, khemah paling ringan, headlamp, set memasak yang paling ringkas. First Aid paling penting. Semua boleh dapat di kedai outdoor.

20. Bawa sedikit keberanian terutama nak berkhemah sorang-sorang.

21. Tips nak set up khemah boleh baca di sini.

22. Pedulikan cakap orang yang anda tak cukup alat itu ini, basikal tak ada itu ini. Just do it. Always remember, it’s you who ride the bicycle, not them. Create your own journey.

Jaja juga sempat berkongsi sebahagian daripada gambar di sepanjang pengembaraan beliau ini.

Saya dan basikal. Basikal hanyalah basikal lama yang belum complete sebagai touring bike. Plan around 1 minggu sebelum fly. Packing pun last minute. Lepas packing basikal, terus gerak ke airport. Always no plan is the best plan.

Paling best berkhemah di sini. Bangun, tengok bunga kuning. Kutip raspberry untuk sarapan. Malam tengok bintang sebab ni kawasan lapang. Dengar burung berbunyi dan burung besar yang mengepak sayap waktu malam. Belakang khemah ada kubur lama. Alhamdulillah, beberapa malam camping tiada gangguan di sini.

Bunga Canola. Banyak sangat. Digunakan untuk buat minyak.

Biasas di sebuah istana.

Jalan yang dipenuhi bunga pada musim bunga.

Rumah lama yang dibina pada tahun 1567.

Donggang River di Yeongwol. Famous for rafting. Route rileks je, grade I camtu je. Asyik rafting di Sngai Kampar, skali sekala rafting kat sini pula. Sempat saya berborak dengan river guide di sini mengenai kehidupan mereka. Sedikit berbeza dengan kami di Gopeng. Beliau sempat bergurau mengajak saya kerja di sini. Eh, gurau ke betul ni?

Perkampungan Hahoe yang kebanyakannya dihuni oleh orang-orang tua.

Peony. Wangi. Saya suka.

Petani tua. Kebanyakan kawasan kampung ada kebun.

Tulips.

Pokok pine yang berusia beratus tahun. Jumlah semua pokok pine ada 3 000 di sini.

Hutan buluh. Kisahnya zaman dulu hanya rebung yang boleh mengubati penyakit ibu kepda seorang pemuda. Malangnya ketika itu musim sejuk, jadi tiada rebung. Pemuda tu pun menangis hinggalah rebung tumbuh. Kalau saya menangis, tak tau lah apa yang tumbuh.

Rumah yang saya tumpang. Pak cik dan mak cik ni dah umur 69 tahun. Suatu hari mereka bawa saya hiking. Mereka rileks, saya macam minta nyawa minta nyawa.

Saya tolong tuan rumah pungut kobis nak buat kimchi.

Barli.

Ladang barli. Ada juga ditanam bunga matahari. Mesti cantik. Masa saya pergi tak ada bunga matahari. Matahari ada la. Sebab tu rentung sikit bila balik sini.

Kuil. Atas bukit. Mintak nyawa mintak nyawa

Posmen datang rumah kasi surat. Ini lah rumah yang saya tumpang selama 3 hari. Rumah traditional. Keliling kawasan rumah ada taman. Ada pokok pear, plum, bawang putih, bawang holland, cili, strawberi, dan macam-macam lagi.

Ngeri. Dari Mokpo ambil feri ke Jeju. Basikal parking bersama trailer.

Persisiran laut di Jeju.

Berhenti masak di tepi laut. View sangat superb!

Ladang barli Jeju.

Tengok lembu. Kot-kot nanti ada ladang sendiri bela lembu.

Ini rumah lembu. Dibina ratus tahun yang lalu oleh paderi. Senibina dari Baghdad.

Oreum. Tengah-tengah tu bekas lava meletus. Tanah di sini subur. Kadang-kadang ada orang kampung yang kutip sayur-sayuran yang tumbuh liat dan ada rusa liar. Puncak hujung tu Halla Mountain. Kat sini ada juga operator yang buat paragliding. Sebab boleh nampak pemandangan hampir seluruh pulau.

Tolong kawan saya di ladang Mandarin organik milik beliau. Sekarang musim untuk membersihkan pokok-pokok yang merayap di bahagian bawah pokok Mandarin seperti ular strawberi.

Tepi laut.

Sungai yang sangat jernih, mengalir ke laut. Bestnye terjun. Awal pagi kelihatan ikan melompat-lompat. Gambar terjun tak ada. Sebab tak terjun pun. Lutut sakit, kemalangan.

Padang bunga yang saya jumpa sebelum pasang khemah. Belakang tu sayup kelihatan Hallasan.

Sungai jernih, ada banyak ikan. Saya berhenti untuk makan tengahari. Ada sorang pakcik tengah memancing.

Jalan-jalan di kampung waktu petang.

Tolong kawan berniaga di DIY market. Seminggu kerja dua kali. Waktu kerja 2-4 jam. Sekali niaga untung 1000usd. Untung laaaa. Anjing depan tu nama Namoo, baru lepas kena cukur. Kata kawan saya, dah dekat nak musim panas, Namoo panas.

Rumah kawan saya yang dibuat dari Mongolian yurt. Hidup secara hippies. Tanam ganja. Ada taman yang guna baja dari tahi sendiri.

Kandang kambing beliau.

Dapur beliau. Dibuat dari tanah liat.

Tayar pancit sebab kena benda tajam masa sesat masuk highway.

Selalunya rumah orang tua dan mak-mak ada tempayan ni. Bukan simpan mayat. Tapi buat gochujang (chilli paste), doenjang (sou bean paste) dan ganjang (kicap).

Kawasan pantai yang banyak camar laut. Seberang sana ada tempat buat garam.

Basikal saya. Memang saya berimpian nak travel dengan basikal, sejak 10 tahun lepas. Masa belajar, dalam tahun 2005 pernah plan nak travel pusing Malaysia naik BMX dengan kawan saya, Jijal. Tapi tak jadi sebab asyik naik gunung je.

Trip ni pun tak dirancang. Last minute. Nak tukar tayar, kedai tak ada stok. Helmet dan pum pun terlupa bawa sebab packing last minute. Nasib baik dapat pinjam.

Nak bagitahu, kita tak payah tunggu nak ada barang dan alatan yang cukup atau ilmu yang power bila nak mula travel macam ni. Biar orang berkata apa. Take it positively. I just want to enjoy my trip.

Semua orang mampu  melakukannya. Bila berseorangan, macam-macam survival skills akan keluar. Secara automatik kita akan jadi lebih berani dan yakin – Jaja.

Baca lagi: 9 Pengembara Wanita Malaysia Yang Best Dan Boleh Dijadikan Inspirasi Di Instagram

Anda Mungkin Suka