Pada ketika ini dunia automotif kenderaan elektrik heboh dengan kemalangan maut yang melibatkan dua orang mangsa yang menaiki Tesla Model S. Kereta tersebut telah merempuh pokok di Carlton Woods sebelum terbakar bersama mangsa yang berada di dalam kereta.

Pihal polis memaklumkan stesen televisyen, KPRC bahawa kereta bernilai AS$80,000 (RM330,490) itu bergerak pada kelajuan tinggi ketika ia gagal membelok setelah mendapati jalan mati, lalu hilang kawalan dan terbabas.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tambah pihak polis lagi, laporan siasatan mendapati tiada sesiapa yang berada di tempat memandu ketika kemalangan tersebut berlaku. Individu pertama duduk di bahagian penumpang hadapan manakala individu kedua pula duduk di bahagian belakang.

Jadi polis telah membuat tanggapan bahawa ketika kejadian tersebut berlaku, pemilik kenderaan telah pun mengaktifkan mod auto-pilot sebelum hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok dan terbakar.

Ekoran dakwaan tersebut, Elon Musk telah menghantar satu ciapan untuk menyangkal dakwaan fungsi auto-pilot menjadi sebab utama kepada kejadian kemalangan maut itu berlaku.

Terang beliau, log data yang telah berjaya diperolehi dari kereta tersebut menunjukkan sistem auto-pilot tidak diaktifkan dan kereta itu tidak memiliki perisian Full Self Driving (FSD).

Untuk makluman semua, setiap pemilik kereta Tesla boleh melanggan perisian FSD pada harga USD10,000 (RM41,130) bagi membolehkan kereta mereka mempunyai fungsi-fungsi ekstra untuk beroperasi dengan sendirinya.

Tambah Elon Musk lagi, jalan di mana lokasi kejadian kemalangan itu berlaku tidak mempunyai garisan jalan yang diperlukan oleh mod standard autopilot kereta Tesla untuk berfungsi.

Dalam satu ciapan yang lain pula, Elon Musk menegaskan fungsi auto-pilot sepuluh kali lebih rendah untuk mengalami kemalangan berbanding kenderaan lain yang ada di jalan raya.

Tesla juga telah mengeluarkan laporan suku tahun pertama 2021 mengenai keselamatan perisian auto-pilot. Dalam nota tersebut menyatakan setiap 4.19 juta batu (67.4 juta km), hanya ada satu kemalangan yang berlaku akibat penggunaan sistem auto-pilot.

Kini, pegawai keselamatan lalu lintas sedang menyiasat kira-kira 23 kemalangan melibatkan kereta Tesla yang mana dipercayai fungsi auto-pilot diaktifkan.

Syarikat Tesla sentiasa memberikan peringatan kepada pelanggan-pelanggan mereka bahawa fungsi auto-pilot ini bukanlah satu sistem yang membolehkan kereta tersebut beroperasi dengan sendiri sepenuhnya.

Sebaliknya pemandu Tesla perlu sentiasa berwaspada dan bersedia sekiranya perlu mengawal semula kereta mereka.

Pada awal bulan ini, sebuah rakaman video menunjukkan fungsi Auto-Pilot pada kereta Tesla gagal berfungsi kerana kesesakan lalu lintas yang sangat teruk.

Lalu Lintas Terlalu Sesak Di Vietnam, Auto-Pilot Tesla ‘Give Up’ Dan Minta Pemandu Kawal Semula Kereta

Penggunaan Tesla Autopilot Berjaya Menyelamatkan Nyawa Lelaki Ini Daripada Maut

Berang Isu Brek Kereta Tesla, Wanita Ini ‘Protes’ Semasa Acara Automotif Berlangsung