Filem Anwar: The Untold Story  dilaporkan berjaya mencatat jumlah kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya. Filem ini dilihat menarik ramai peminat tempatan kerana memaparkan kisah jatuh bangun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan filem itu.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Borneo Post Online

“Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa. Lebih menggembirakan rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding filem antarabangsa.

“Filem ini menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pula pada masa depan. Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap filem biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup,” katanya.

Sumber Gambar: Bernama

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem ini, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa yang diterima.

Bahkan, hasil tinjauan mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang untuk menonton filem tersebut. Beliau juga berharap sambutan terhadap filem itu akan berterusan kerana menyasarkan kutipan tinggi untuk filem ini.

Anwar: The Untold Story yang dibintangi Farid Kamil dan Acha Septriasa yang mengisahkan mengenai perjuangan dan pengorbanan Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Filem memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak pelbagai jenis imbuhan dan wang tunai menyebabkan beliau difitnah dalam konspirasi besar hingga dipecat, dipukul secara ganas dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan sehingga beberapa hari lamanya.

Filem biopik dengan latar masa antara tahun 1993 hingga 1998 berdurasi 108 minit itu ditayangkan di lebih 1,000 skrin membabitkan 120 pawagam di seluruh Malaysia.

Sumber