Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Siapa sahaja yang tidak mengenali nama Hairul Azreen, seorang pelakon ‘Hero Malaya’ yang sering membintangi filem-filem aksi tempatan iaitu Paskal, Polis Evo 2 dan Wira.

Tidak dinafikan lagi, lakonan aksi yang dipersembahkan oleh Hairul Azreen di layar perak sememangnya begitu hebat sekali sehinggakan lakonan beliau telah berjaya menambat hati salah seorang pengarah filem antarabangsa.

Terbaharu, Hairul Azreen disahkan dan disenaraikan dalam barisan pelakon bagi membintangi sebuah filem aksi bertajuk Berzerker terbitan produksi dari UK. Ini sungguh membanggakan kita semua kerana Hairul Azreen telah membuktikan bahawa bakat lakonan anak Malaysia sudah mula diterima oleh pemain industri filem antarabangsa.

Filem arahan Ranjeet S.Marwa ini sudah pun menjalani proses pra produksi (perbincangan dan persiapan) sejak Mac lalu dan dijangka akan menjalani proses pengambaran bermula pada musim panas ini di Birmingham.

Sedikit sinopsis, dalam filem ini, Hairul akan melakonkan watak sebagai Noble, seorang bekas penjenayah yang ingin membalas dendam terhadap apa yang telah berlaku pada masa silamnya.

Tambah menarik, kata pengarah Ranjeet, filem ini akan menggabungkan elemen yang ada dalam dua filem pecah panggung iaitu filem sains fiksyen Blade Runner dan filem aksi perlawanan Ong Bak. Lakonan lagak aksi filem ini bakal dikoreografi oleh Kiran Pande, pereka lagak aksi dari Manchester.

Difahamkan Ranjeet dan Hairul sudah lama ingin berkolaborasi dalam sebuah projek filem dan Berzerker telah dilihat sebagai satu peluang keemasan untuk menyerlahkan bakat mereka berdua ini.

“Saya sangat teruja kerana diberikan peluang untuk menjadi sebahagian kru produksi di UK bagi filem Berzerker.

“Jalan cerita dan lokasi pengambaran semuanya hebat belaka lebih-lebih lagi ia diarahkan oleh pengarah yang sudah lama saya ingin bekerjasama iaitu Ranjeet S. Marwa.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Ranjeet dan kru penerbitan. Kini, kita secara rasminya akan memulakan proses pengambaran tidak lama lagi,” ujar Hairul Azreen memetik laporan portal Film Combat Syndicate.

Dalam pada itu, pengarah Ranjeet turut berkata bahawa beliau sudah lama meminati lakonan Hairul. Beliau turut menjanjikan kolaborasi Hairul dalam Berzerker kali ini akan menghasilkan satu pengisian filem yang luar biasa untuk hiburan penonton.

Walaupun Berzerker bukan sebuah filem Hollywood, namun ia telah dilihat sebagai satu kejayaan buat Hairul Azreen kerana lakonan beliau telah berjaya mencuri perhatian pembikin filem antarabangsa.

Bukan sahaja seorang pelakon yang hebat, malah Hairul juga telah berjaya menerbitkan filem arahannya sendiri, Ada Hantu yang dijangka akan bersiaran di Disney+ Hostar pada pertengahan Ogos ini.

Poster filem Ada Hantu dikritik netizen, Hairul Azreen akui ia merupakan suntingan beliau sendiri. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Poster Filem Arahan Pertama Dikritik Netizen Tidak ‘Berkualiti’, Hairul Azreen Akui Sunting Sendiri

Tidak Puas Hati Dengan Respon Yang Pelbagai, Ini ‘Review’ Penuh Filem Wira

Kemunculan Pelakon Malaysia Dalam Filem Sekuel ‘Train To Busan’ Buat Netizen Teruja

Anda Mungkin Suka