Sehingga ke hari ini, sindiket kegiatan penipuan atas talian telah berleluasa dengan begitu pesat. Ramai di kalangan mangsa tempatan yang mengalami kerugian besar kerana terjerat dengan teknik licik mereka.

Terbaharu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilaporkan telah menyerbu beberapa buah pusat peranginan di Pulau Langkawi dan menumpaskan satu sindeket kegiatan penipuan atas talian yang didalangi oleh warganegara China.

Baca Juga:

Sumber Gambar: IG @Jabatan Imegresen Malaysia

Operasi dijalankan oleh sepasukan pengawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Putrajaya setelah menerima maklumat dari pemimpin tempatan serta masyarakat awam.

Berdasarkan risikan yang dijalankan selama enam bulan, JIM telah berjaya mengesan kegiatan sindiket berkenaan beroperasi di resort-resort yang masih belum dibuka kepada orang ramai selepas PKP berakhir. Sindiket ini menjadikan resort tersebut sebagai pusat operasi dan juga tempat melatih Operator bagi kegiatan penipuan atas talian itu.

Sumber Gambar: IG @Jabatan Imegresen Malaysia

Sindiket yang didalangi warga China ini turut merekrut warga tempatan untuk menjalankan kegiatan ini. Mereka juga didapati berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dan menetap di satu-satu tempat untuk tempoh antara tiga minggu hingga sebulan.

Serbuan telah dilaksanakan di tiga buah resort yang berlainan. Seramai 30 orang warganegara asing terdiri daripada warganegara China 27 orang, Thailand 2 orang, Myammar 1 orang dan warganegara Malaysia seramai 134 orang yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun telah ditahan.

Sumber Gambar: IG @Jabatan Imegresen Malaysia

Serbuan kali ini juga turut berjaya merampas 756 buah telefon bimbit, 150 buah komputer dan laptop serta pelbagai peralatan elektronik lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut. Pasukan operasi juga turut merampas sebanyak 17 pasport warganegara China.

Semakan mendapati mereka menggunakan pasport baharu yang tidak mempunyai rekod perjalanan. Selain itu, terdapat juga yang masuk dengan menggunakan pas rawatan perubatan dan selebihnya tidak mempunyai dokumen.

Hasil siasatan awal terhadap rakyat Malaysia yang ditahan dalam operasi ini mendapati mereka dibayar sehingga RM3,000 sebulan dan komisyen sebanyak RM15 bagi setiap orang yang berjaya direkrut.

Syabas diucapkan kepada pihak Jabatan Imegresen Malaysia kerana komited dalam membanteras sindiket kegiatan penipuan atas talian di negara ini. Semoga sindiket kegiatan penipuan atas talian ini bakal dihapuskan sepenuhnya dan tiada lagi yang menjad mangsa penipuan pada masa kelak.

Sumber