Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai sindiket penipuan Macau atau lebih popular dikenali sebagai Macau Scam- terutamanya selepas SPRM dilaporkan menahan beberapa warga tempatan yang disyaki terlibat dengan kumpulan penipu terbabit.

Walaupun sering mendengar laporan berita dan perkongsian di media sosial mengenai sindiket penipuan ini, namun mungkin masih ada dalam kalangan kita yang tertanya-tanya apakah sebenarnya Macau Scam ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Buat anda yang masih samar dengan maksud sebenar Macau Scam ini, sindiket yang dikatakan didalangi sindiket China dan Taiwan ini dan menggunakan pelbagai teknik menipu atas talian dan panggilan telefon.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia KPN, Datuk Asmawati Ahmad seperti dipetik Astro Awani, sindiket ini menawarkan cabuan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan serta pegawai bank negara atau bank komersial.

Antara teknik yang paling gemar digunakan penipu-penipu ini sudah semestinya menyamar sebagai pihak berkuasa atau pegawai kerajaan dan membuat panggilan kepada mangsa.

Selepas menghubungi mangsa mereka kemudiannya akan ditakutkan dengan pelbagai helah seperti terlibat dalam kegiatan haram dan akan meminta sejumlah wang bagi mengelakkan akaun bank mereka dikenakan tindakan.

Atas rasa ingin tahu dan tertanya-tanya berapakah jumlah yang biasanya ditipu oleh sindiket popular ke atas mangsa-mangsa mereka, pihak kami mencari dan menyenaraikan lima kes membabitkan Macau Scam yang dilaporkan pada tahun ini sahaja di dada-dada akhbar.

Senarai ini bukanlah senarai lengkap yang menyatakan kesemua kes yang dilaporkan tetapi untuk memberi bayangan kepada pembaca berapakah jumlah kebiasaan yang ditipu oleh sindiket ini memandangkan ia mula menjadi buah mulut orang ramai terutama netizen sejak kebelakangan ini.

1. Guru ditipu sampai sejuta di Kajang

Tidak perlu mencari jauh, kami menemui satu laporan oleh Sinar Harian yang terbit pada semalam mengenai seorang guru wanita berusia 49 tahun yang diperdaya Macau Scam.

Modus operandinya, mangsa telah dihubungi pihak yang menyamar sebagai pegawai polis mengatakan kereta milik mangsa telah terlibat dalam kemalangan maut selain pembabitan dalam jenayah kegiatan wang haram.

Kerugian yang ditanggung- RM1.13 juta.

2. Menyamar pegawai polis dan bank di Kuantan

Juga dilaporkan pada semalam oleh Harian Metro, seorang peniaga di Rompin pula kehilangan hampir seratus ribu apabila dia dihubungi pekerja pos dan kemudiannya meleret dan disambung ke pegawai polis.

Menggunakan taktik menakutkan peniaga terbabit yang beliau mungkin disiasat dengan penggubahan wang haram, sindiket penipuan itu kemudiannya berjaya membawa lari sehingga RM93,809.

3. Setengah juta di Terengganu

Daripada Kuantan kita beralih ke Terengganu. Sekali lagi melibatkan seorang guru. Juga ditakutkan dengan taktik menerima bungkusan atas nama mangsa yang mengandungi salinan kad pengenalan dan lapan kad mesin juruwang automatik (ATM).

Kemudiannya dia disambung kepada lelaki yang mendakwa sebagai polis dan sekali lagi ditakutkan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

Berpunca daripada itu, beliau akhirnya kerugian membabitkan RM655,000 yang dibuat menerusi 68 transaksi seperti dilaporkan Berita Harian.

4. Dua wanita rugi lebih dua ratus ribu

Berlaku dalam dua kejadian berasingan tetapi salah seorang daripada mereka menurut Berita Harian digunakan modus operandi sedikit berbeza.

Mangsa suri rumah berusia 68 tahun dari Rembau diberitahu kad pengenalannya digunakan oleh individu yang masih belum dapat dikenal pasti dalam pengedaran wang haram, dadah dan lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) di Pos Laju Seremban.

Dia kemudiannya diarahkan lelaki yang menyamar sebagai polis untuk mengosongkan akaunnya bagi memudahkan siasatan membuat pindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan pemindahan sebanyak RM183,770.

5. Paling besar , paling banyak

Jika kes-kes disenaraikan di atas melibatkan ratusan ribu dan hanya sedikit melebihi jumlah sejuta, kes kali ini pula melibatkan berjuta-juta ringgit.

Tambah menyedihkan mangsanya adalah warga emas berusia 90 tahun yang diugut dengan bungkusan yang mengandungi kad pengenalan dan kat ATM nya pada April lalu ke Sabah.

Dia kemudiannya didakwa dan diugut terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram bersama seorang lagi lelaki lain.

Tidak mahu ditangkap, dia kemudiannya memindahkan wang berjumlah RM3.83 juta kepada beberapa akaun antara April dan Jun tahun ini seperti dilaporkan Malay Mail.

Kes-kes yang disenaraikan ini sebenarnya hanyalah senarai pendek sahaja jika dibandingkan dengan kes-kes sebenar yang dilaporkan untuk tahun ini.

Kami juga di awal tadi memaklumkan senarai ini adalah untuk memberi bayangan sebenar apa yang dilakukan sindiket Macau Scam ini.

Tetapi, melihat kepada contoh-contoh kes penipuan yang dilakukan ini, maka tidak mustahil jika sindiket yang dikenali Macau Scam ini menimbulkan perasaan marah dalam ramai.

Bukan sahaja menakut-nakutkan mangsa dengan ugutan palsu malah jumlah yang terlibat juga bukanlah kecil malah ada yang mencecah sehingga jutaan ringgit.

Baca kembali perkongsian kami sebelum ini yang melaporkan penahanan beberapa orang kita sendiri yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan ini di pautan di bawah. 

Sering Pamer Kemewahan Di Media Sosial, SPRM Tahan Datuk Seri Disyaki Terlibat ‘Macau Scam’

Disangka ‘Macau Scam’, Ebby Yus Terharu Terima Bantuan Bernilai RM30,491 Daripada Peminat Singapura