Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila 10,000 penduduk warga Myanmar yang menetap secara haram di Bukit Malut, Langkawi, Kedah menuntut agar mereka dilayan sama rata dan diberikan keistimewaan yang sama seperti rakyat Malaysia dan diberikan taraf kad pengenalan warganegara.

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, penempatan haram warga Myanmar di Bukit Malut sebelum ini dikatakan ‘kebal’ berikutan belum ada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan terhadap mereka yang menceroboh tanah kerajaan negeri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lantaran itu, pihak Jabatan Imigresen di Kampung Bukit terpanggil untuk melakukan Operasi Sapu untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar yang menetap di situ tanpa sebarang dokumen sah.

Difahamkan, operasi tersebut dijalankan pada sekitar jam 12.40 tengah hari tadi yang membabitkan seramai 25 orang pegawai dan 32 buah rumah atas air yang merangkumi seramai 263 individu telah diperiksa.

Namun begitu, angkara takut ditangkap oleh pihak berkuasa, sebahagian PATI Myanmar dilaporkan sanggup terjun ke laut dan bersembunyi di dalam hutan belukar yang berdekatan dengan penempatan haram itu.

“Sebahagian PATI yang berada di dalam rumah tersebut cuba meloloskan diri melalui pintu belakang lalu terjun ke laut dan bersembunyi di dalam belukar berdekatan.

“Walau bagaimanapun, dalam serbuan itu seramai 13 lelaki dan 5 wanita berjaya ditangkap berikutan kesalahan gagal mengemukakan pas yang sah untuk tinggal di negara ini,” kata Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Zuhair Jamaludin ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia.

Tambahnya lagi, kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuah bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar ke dalam lokap Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

Warga Myanmar di Bukit Malut sebelum ini menuntut layanan sama rata seperti rakyat Malaysia. Baca lagi menerusi pautan di bawah.

‘Kami Pun Rakyat Malaysia’ – Penduduk Warga Myanmar Di Bukit Malut Tuntut Layanan Sama Rata