Minggu lepas viral kisah seorang gadis yang mula dengan gaji RM1,600 dan kini berstatus jutawan hartanah apabila telah memiliki tiga aset hartanah bernilai lebih sejuta ringgit.

Petikan berita Malay Mail Online

Saya percaya setiap kejayaan tidak akan dapat dicapai jika tiada langkah pertama ke arah itu. Disebabkan itu saya ambil keputusan untuk menemubual spesifik tentang langkah pertamanya.

Oh ya! Sebelum ini Syafieqah A’lya pernah berkongsi tip dalam artikel Atur Kewangan Tenat, Ini Panduan Buat Graduan Baru Bekerja.

Latih Diri Di IPT

Semasa di institut pengajian tinggi (IPT), Syafieqah pernah dikatakan orang paling gila dalam rumah oleh rakannya. Gila sebab berusaha cari wang sampingan untuk capai apa yang dicita-citakan tanpa mengabaikan pelajarannya.

“Bagaimana saya bermula adalah dengan cara mencari side income sejak belajar lagi,” Syafieqah buka bicara.

Syafieqah pernah menyertai Askar Wataniah. Ia jadi platform untuk meningkatkan disiplin dan kematangan dirinya disamping mendapat elaun. Tiap kali cuti semester pula, dia akan mencari kerja. Antaranya, kerja di Waterworld A Famosa, Melaka dan promoter di pusat beli-belah.

Selain itu, Syafieqah begitu berhati-hati dalam membelanjakan wangnya. Dia jadi ‘kedekut’ dengan diri sendiri. Tatkala rakan sebaya bergaya dengan pakaian dan telefon pintar terkini, Syafieqah berkira-kira apa yang lebih penting untuk didahulukan.

Di usia muda berstatus pelajar, Syafieqah telah mempunyai visi dan misi dalam aturan kewangannya. Dia mengagumkan saya. Lalu saya bertanya kepadanya bagaimana dia dapat kesedaran celik kewangan.

“Bagaimana saya mula dapat kesedaran adalah kerana ingin memenuhi hasrat Emak yang mahu tinggal di rumah landed. Di mana kami dari kecil tinggal di rumah flat dan terkini di rumah apartment.

Seperti yang kita ketahui, harga rumah semakin tinggi, dengan usia saya yang masih muda dan tidak tahu berapa gaji pertama waktu itu. Jadi saya nekad untuk penuhi hasrat Emak dengan melakukan sesuatu sebagai permulaan.”

Punca Cari Wang Sampingan Dan Berjimat

Syafieqah bukan dari keluarga berada. Dia sambung belajar di universiti dengan pinjaman Mara. Tapi kedua-dua sebab itu bukan punca utama Syafieqah gila-gila berjimat dan buat kerja sampingan.

Punca sebenar ialah dia telah buat pinjaman Amanah Saham Bumiputra (ASB) bernilai RM50,000. Dia mempunyai komitmen bayaran bulanan tetap. Malah jika ada lebihan wang setiap bulan, dia akan simpan dalam akaun ASB juga.

“Saya menerima pinjaman MARA setiap bulan, syarat bank pada waktu itu adalah asal ada duit masuk setiap bulan secara tetap, dan saya yang tidak mempunyai apa-apa komitmen melayakkan loan saya boleh approved,” jelasnya selepas saya bertanya bagaimana pelajar boleh mohon pinjaman ASB.

Tujuan pinjaman ini ialah mendidik diri supaya belajar menyimpan sehingga jadi tabiat. Komitmen ASB itu jadi simpanan paksa buatnya. Tapi dia tidak mohon pinjaman tersebut secara buta-tuli atau ikutan sahaja.

Mempunyai Mentor Kewangan

Kehadiran mentor membuatkan perjalanan kewangan Syafieqah lebih teratur dan fokus terhadap apa yang dirancangnya. Rezeki Syafieqah, dia menemui seorang mentor yang baik dan tidak lokek dengan ilmu dan pengalaman.

Dengan keyakinan tinggi terhadap kata-kata nasihat dan kepercayaan terhadap mentor, Syafieqah tahan segala kehendak agar dapat hidup yang lebih selesa dan lebih baik kelak.

Langkah ini juga menunjukkan penting untuk anda ada seorang mentor yang boleh dipercayai untuk membimbing anda. Bagus ada rasa terinspirasi dengan kisah seseorang. Ia jadi lebih bagus apabila anda melakukannya dengan tujuan dan perancangan yang jelas.

Peranan Pinjaman ASB

Setelah mendengar kisah Syafieqah, saya mendapati pinjaman ASB (ASBF) jadi batu loncatan buatnya dalam perancangan memiliki hartanah memandangkan ASB boleh beri 1 jumlah besar selepas tempoh tertentu. Ternyata benar telahan saya itu, ia tidak dinafikan oleh Syafieqah.

“Betul itu, ASBF merupakan satu tools untuk melakukan simpanan paksa yang memaksa kita untuk menyimpan setiap bulan. Seperti kita ketahui, ASBF jika di skip bayarannya maka loan tersebut akan dijual dan memberi kesan pada CCRIS. Bank akan lihat karakter sebenar kita melalui CCRIS tersebut.

Ianya juga sama seperti kita membeli kereta baru, kalau sebelum ini kita tak boleh nak simpan RM500 setiap bulan. Susah katanya nak simpan. Tetapi bagaimana kita usahakan juga untuk bayar RM500 bulanan kereta tersebut dan jika tidak dibayar kita takut kereta tersebut kena tarik.

Konsep sama terpaksa bayar dan simpan lalu berjaya mencipta karakter menyimpan. Kita akan lebih hargai duit hasil penat lelah yang kita kumpul, maka kita jadi lebih bijak dan tahu apa yang perlu didahulukan terlebih dahulu.”

Walau bagaimanapun, Syafieqah tidak menyarankan pelajar buat ASBF melainkan mereka mempunyai pendapatan sampingan dari bisnes, kerja part time, lebihan wang dari pinjaman pelajaran atau lain-lain pendapatan.

Ini kerana setiap orang mempunyai situasi dan komitmen yang berbeza. Selari dengan itu, Syafieqah turut berpendapat lebih baik pelajar didedahkan betapa pentingnya mereka belajar dan melakar kewangan mereka. Justeru dapat memberi gambaran masa depan yang lebih jelas kepada mereka kelak.

Pengurusan Masa

Menurut Syafieqah pelajar mempunyai banyak masa tapi perlu pandai menguruskan masa itu dengan sebaik-baiknya agar dapat buat pelbagai aktiviti.

Pengurusan masa merupakan antara langkah pertama yang penting dalam hidup Syafieqah. Ia jadi kunci untuk mengimbangi antara kehidupan pelajar dan bekerja sampingan. Anda pasti terkejut apabila mengetahui prestasi Syafieqah dalam pelajaran.

“Saya seorang pelajar yang aktif berkurikulum/kelab, menjadi Exco Majlis Perwakilan Pelajar, aktif sukan bola tampar dan mendapat anugerah dekan setiap semester. Akhirnya, alhamdulillah saya berjaya mendapat Anugerah Naib Chancellor.

Jika dilihat masa saya yang pack dengan bermacam aktiviti, saya masih mencuri masa dengan bekerja part time pada hujung minggu, selepas kelas atau cuti semester,” ujar Syafieqah.

Detik Tinggal RM1 Dalam Akaun

Bukan mudah nak jadi senang. Segala yang dimulakan oleh Syafieqah semasa zaman belajar dulu diteruskan lagi ke alam kerjaya. Dia masih hidup dengan bajet dan cita-cita memiliki kediaman di atas tanah.

Seminggu sebelum gaji, dia pernah hanya ada RM1.00 sahaja dalam akaun. Dia terpaksa menggunakan duit simpanan yang ada. Tetapi itu tidak jadi alasan untuk makan dan belanja sedap. Dia keluarkan duit cukup-cukup untuk makan minum sehingga tiba hari gaji.

“Cara saya lakukan adalah apabila dapat gaji;

Komitmen bulanan (RM) – Simpanan (RM) – Belanja makan minum (RM) – Minyak dan tol (RM) – duit poket ibu bapa (RM) = Duit baki (RM)

Lastly jika ada lebih, baru reward diri makan sedap atau shopping sehelai dua baju kerja.”

Sebab itu, penting ada simpanan bulanan agar boleh jadi back up di waktu-waktu yang tak terduga. Syafieqah menyarankan dalam akaun simpanan patut ada minima 3-6 bulan gaji yang diterima dan tetap teruskan simpanan tanpa berhenti jika sudah capai angka minima.

Langkah Mula Syafieqah

Berbalik kepada soalan tadi, bagaimana nak mulakan?

Pertama, kena pandai bahagikan masa, utilised masa dengan sebaiknya, kurangkan melepak.

Kedua, mula mencari tambahan simpanan secara tak langsung kita sedang mendidik diri untuk jadi lebih rajin, lebih menghargai masa dan wang serta tahu akan susahnya nak dapat duit tersebut.

Ketiga, tahu berapa amount simpanan yang perlu ada. Tapi bergantung pada situasi yang berbeza-berbeza. Ada orang boleh fokus 2-3 perkara yang dilakukan, ada orang tak boleh. Jadi, lakukan ikut kemampuan dan cabar diri untuk uji kemampuan diri sebenar.

“Saya selalu advise separate kan simpanan dan pelaburan. Tak boleh fokus terus pada pelaburan jika simpanan masih tidak kukuh. Bila nak invest mesti ada plan A or B, masih ada pilihan sebelum kita melakukan kesilapan.”

Penutup

Hasil langkah pertama yang dilakukan oleh Syafieqah ini telah membolehkan dia memiliki rumah teres jenis superlink dan kereta mewah Subaru sewaktu berusia 24 tahun. Kisahnya itu telah jadi viral pada tahun lepas.

Fuh! Mantap! Berbaloi-baloi usaha Syafieqah selama ini. Dia bukan sahaja memiliki kediaman dan kenderaan idaman, dia telah berjaya menunaikan hasratnya buat kedua ibu bapanya di usia yang muda.

Sebelum mengakhiri temubual, Syafieqah mahu anda fahami ini:

“Di awal pekerjaan iaitu 3-5 tahun adalah untuk membina kewangan. Waktu ini perlu diletakkan matlamat jangka pendek yang boleh dicapai dengan ketepikan sekejap kehendak untuk capai sesuatu benda yang lebih baik.

Ikat perut tidak bererti anda tidak boleh makan tetapi kawal kewangan agar tidak bocor ke arah benda yang mensia-siakan. Ambil peluang di usia muda dan belum berkahwin untuk memaksimakan kemampuan kita untuk miliki beberapa aset sebelum umur 30 tahun.”

Terima kasih Syafieqah kerana sudi ditemubual untuk Vocket. Semoga terus sukses dan menginspirasikan orang ramai menyimpan, melabur dan memiliki hartanah sendiri.

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group