Hari ini adalah 18 Mac 2017. Teringat saya tentang satu peristiwa besar dan bersejarah di Turki. Peristiwa peperangan di Canakkale yang menjadi salah satu babak di dalam pentas pertarungan antara kuasa-kuasa besar sewaktu Peperangan Dunia Pertama (World War I).

Saya akan ceritakan dahulu bagaimana Peperangan Dunia Pertama ini terjadi dahulu dan seterusnya fokus kepada terjebaknya Daulah Uthmaniyyah di dalam perangkap yang merugikan mereka sendiri.

Setelah tamatnya Revolusi Perindustrian dan diselangi dengan kegagalan kuasa-kuasa besar Eropah untuk ‘berkongsi’ sumber bahan mentah dunia melalui penjajahan ke atas negara-negara lain, telah mengakibatkan konflik dan perbalahan sesama mereka yang semakin hari semakin teruk dan membimbangkan.

Tamak haloba yang sudah lama menjadi darah daging penguasa-penguasa besar Eropah ini telah menunjukkan tanda-tanda suatu malapetaka besar yang tidak dapat dielakkan akan terjadi.

Malapetaka besar?

Sementara wilayah-wilayah Daulah Uthmaniyyah yang kaya dengan hasil bumi sering menjadi sasaran mereka. Namun dalam situasi seperti ini, adalah lebih baik bagi kerajaan Uthmaniyyah tidak menyokong mana-mana pihak dan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan posisi neutral mereka daripada terlibat di dalam kancah konflik yang tidak berkesudahan.

Ya, Daulah Uthmaniyyah tiada apa-apa kaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam menuntut sebarang kepentingan di dalam konflik perebutan tanah jajahan dan rompakan hasil bumi di kalangan negara-negara perindustrian.

Peperangan Besar Mula Tercetus

Tahun demi tahun perbalahan sesama mereka telah sampai ke kemuncaknya apabila terjadinya pembunuhan terancang oleh puak Serbia terhadap putera raja Austria, Archduke Franz Ferdinand bersama isterinya di Saray-Bosna (Sarajevo) dengan tujuan menuntut kawasan Bosnia yang dimiliki Austria. Pembunuhan ini telah mencetuskan peperangan di kalangan mereka.

Api yang sedang membara disemarakkan lagi dengan kehadiran tentera-tentera sokongan melalui Rusia kepada Serbia dan Jerman kepada Austria.

Peperangan ini menjadi semakin rancak selepas kuasa-kuasa besar Eropah terbahagi kepada 2 kumpulan untuk menentang antara satu sama lain bila British, Perancis dan Rusia telah bersatu dan membentuk gabungan yang dipanggil Tentera Bersekutu (The Allies).

Manakala Jerman, Austria-Hungary dan Itali telah bersatu di bawah Kuasa Pusat (Central Powers).

Dengan itu, bermulalah episod yang tidak disangka-sangka di dalam sejarah dunia dengan berlakunya Perang Dunia I (World War I) pada 28 Jun 1914. Namun, pada 1 Ogos 1914 Itali yang pada mulanya menyertai pasukan Kuasa Pusat telah menarik diri daripada sekutunya dan mengisytiharkan untuk tidak berpihak di dalam konflik yang ngeri ini.

Dalam masa yang sama Majlis Ittihad dan Teraqqi (jawatankuasa yang bertanggungjawab membuat dan melaksanakan undang-undang tentera berpusat di Istanbul) yang mempunyai 3 ketua ahli majlis tersebut iaitu Enver, Talat dan Jemal mempunyai buah fikiran masing-masing terhadap situasi yang berlaku di Eropah.

Apa Posisi Yang Diambil Setelah Bermulanya Peperangan Dunia I?

Enver Pasha dan Talat Pasha lebih cenderung untuk menyokong Jerman di dalam pertempuran ini. Sungguhpun begitu, berbeza pula pada pandangan Jemal Pasha yang lebih matang dan berpandangan jauh.

Beliau ingin bersikap neutral untuk tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar kerana ia tidak membawa apa-apa keuntungan kepada Daulah Uthmaniyyah dan umat Islam.

Tetapi, tanpa diketahui dan tanpa berbincang dengan mana-mana ahli Majlis Tertinggi, Said Halim Pasha dan Enver Pasha telah membuat perjanjian sulit bersama kerajaan Jerman pada 2 Ogos 1914 sebaik sahaja selepas pengunduran yang dibuat oleh Itali.

Selepas bermulanya pergelutan antara kuasa-kuasa besar, British yang dahulunya merupakan rakan dagang Daulah Uthmaniyyah secara tiba-tiba telah menolak untuk menghantar 2 buah kapal perang walaupun kerajaan Uthmaniyyah telah pun membayar penuh untuk membeli kapal-kapal perang tersebut.

Suatu hari, dilihat terdapat 2 buah kapal perang milik Jerman sedang dikejar oleh kapal-kapal perang British daripada laut Mediterranean sehingga memasuki selat Dardanelles, Turki.

Melalui perjanjian sulit yang telah dibuat oleh Envar Pasha dan Said Halim Pasha, pada 11 Ogos 1914 Envar Pasha telah mengakui bahawa kapal-kapal tersebut telah pun memasuki perairan Osmanlı (Uthmaniyyah) malah mengisytiharkan 2 buah kapal tersebut telah dibeli oleh kerajaan Uthmaniyyah.

Selat Dardanelles.

Mengapa Mereka Mengambil Keputusan Begitu?

Tujuannya adalah untuk menyelamatkan sekutu mereka, Jerman. 2 buah kapal yang dahulunya bernama Göben dan Breslau telah pun bertukar nama serta merta dengan panggilan Yavuz dan Midilli. Untuk menyembunyikan diri, Laksamana Souchon dan anak-anak kapal Jerman yang lain dengan segera menukar uniform mereka kepada uniform tentera Uthmaniyyah.

Kita boleh lihat, nampak seperti kerajaan Jerman memang sengaja ingin menarik kerajaan Uthmaniyyah ke kancah pertempuran yang dahsyat ini untuk menyebelahi mereka.

Jika benar-benar Daulah Uhmaniyyah terperangkap dengan janji-janji manis kerajaan Jerman, maka mereka terpaksa berdepan dengan Tentera Bersekutu (The Allies) yang mana Rusia telah menempatkan ketenteraan mereka di Odessa (iaitu pelabuhan Ukraine) dan British di Terusan Suez (Mesir).

Sultan Mehmed V Reshad.

Pada 11 Oktober 1914, kedutaan Jerman telah menawarkan sejumlah 2 juta Kurush kepada kerajaan Uthmaniyyah untuk menyertai mereka di dalam Kuasa Pusat (Central Power). Akhirnya Sultan Mehmed V Reshad telah menerima tawaran tersebut dan wang yang dijanjikan telah diterima pada 21 Oktober.

Tanpa tak disangka-sangka pada 29 Oktober 1914, Laksamana Souchon telah menyerang dan menenggelamkan kapal-kapal perang Rusia dengan bedilan meriam di Laut Hitam (Black Sea) atas arahan Enver Pasha yang telah mengambil keputusan terburu-buru tanpa berbincang dengan para Menteri Uthmaniyyah apatah lagi Sultan.

Dialah antara orang yang bertanggungjawab meletakkan Daulah Uthmaniyyah ke kancah bahaya. Akibat daripada kejadian itu, kerajaan Rusia telah mengisytiharkan perang terhadap Daulah Uthmaniyyah pada 2 November 1914 dan akhirnya kerajaan Uthmaniyyah terpaksa berdepan dengan kuasa-kuasa besar Tentera Bersekutu yang lain.

Maka, sebagai khalifah kaum muslimin di seluruh dunia, Sultan Reshad telah menyeru kesemua kaum muslimin dengan seruan jihad menentang Tentera Bersekutu.

British dan Rusia cuba menyekat segala seruan jihad untuk menentang mereka di wilayah-wilayah yang sedang dijajah seperti British di India dan Mesir, manakala Rusia di Asia Tengah.

Pada awalnya mereka berjaya membuat tekanan kepada Daulah Uthmaniyyah tetapi seruan jihad yang diseru oleh Khalifah Sultan Reshad telah berjaya menembusi hati-hati orang yang beriman untuk bangkit keluar menentang penjajah dan mempertahankan tanah kaum muslimin daripada dirampas oleh Tentera Bersekutu.

Keterlibatan pasukan Daulah Uthmaniyyah di dalam Perang Dunia I ini diibaratkan
nyawa di hujung tanduk.

Mereka telah hilang sifat dinamik yang dimiliki sebelum ini walaupun telah berusaha untuk terus kekal berjuang dengan sistem pentadbiran yang semakin lemah dan tenat semenjak 1826.

Sultan Abdul Hamid II

Semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, baginda sedaya upaya mempertahankan wilayah Daulah Uthmaniyyah meskipun sistem pentadbiran yang diamalkan agak tempang kerana baginda dan beberapa orang kuatnya sahaja yang bertungkus lumus memperbaiki apa yang sudah rosak.

Sultan Abdul Hamid II (dan mereka yang bersama dengannya) harus dipuji kerana kecemerlangan mereka di dalam mentadbir polisi luar kerajaan walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Usaha Sultan Abdul Hamid untuk menyelamatkan institusi khilafah telah disalah ertikan oleh ahli ketua Majlis Ittihad dan Teraqqi malah mereka mengheret Daulah Uthmaniyyah ke arah kehancuran.

“Allah şehitlere rahmet eylesin ya Rab”. Semoga Allah merahmati para syuhada.

Rusia Berjaya Menceroboh Masuk Timur Anatolia, Turki

Rusia telah menyusun serangan mereka pada November 1914 dan Daulah Uthmaniyyah berjaya menangkis serangan tersebut dan melakukan serangan balas pada 21 Disember.

Walaupun begitu, Rusia sekali lagi mengatur strategi dengan melakukan serangan pada sekala yang lebih besar dan agresif sehingga askar-askar Rusia berjaya memasuki timur Anatolia.

Serangan bertubi-tubi dikenakan ke atas wilayah Daulah Uthmaniyyah sama ada yang di darat atau di laut. Ketiga-tiga sekutu Eropah ini bergabung tenaga dan banyak menumpukan kapal-kapal perang bagi menembusi laluan Selat Dardanelles di Çanakkale.

Bedilan demi bedilan disasarkan ke arah kubu pertahan Osmanli di Canakkale. Canakkale dikelilingi dengan bukit-bukau yang memberi kelebihan kepada pasukan Uthmaniyyah dan dilengkapi dengan meriam-meriam yang ampuh.

Akhirnya, dengan semangat jihad yang berkobar-kobar dikalangan tentera Osmanli, Tentera Bersekutu menerima nasib yang malang akibat bedilan-bedilan meriam yang disasarkan daripada kubu Canakkale pada 18 Mac 1915.

Selepas tidak berjaya melepasi Selat Dardanelles, Tentera Bersekutu cuba menyerang melalui jalan darat di Gallipoli tetapi mereka tetap juga gagal dan terpaksa berundur. Amat sedih sekali, pertempuran yang dahsyat ini telah mengorbankan kira-kira 250,000 pejuang Uthmaniyyah dan 50,000 daripadanya adalah pegawai kerajaan Osmanli di Canakkale.

Antara sebab mengapa Tentera Bersekutu memberi tumpuan untuk menawan Selat Dardanelles kerana :

  1. Memudahkan mereka untuk menawan ibu negara Daulah Uthmaniyyah di Istanbul.
  2. Mampu melumpuhkan penguasaan kerajaan Jerman dalam meluaskan jajahannya di timur.
  3. Penawananan Selat Dardanelles membolehkan British mendominasi kawasan Mesopotamia dan memperkukuhkan kuasanya terhadap Mesir. Selain itu, sekutu mereka penghantaran bekalan senjata kepada Rusia melalui Laut Hitam akan menjadi lebih mudah.

Di akhir pertempuran, Tentera Bersekutu tidak mampu menembusi kubu terkuat Daulah Uthmaniyyah di wilayah Anatolia sehingga terpaksa berundur ke wilayah Iraq bagi mengumpul tenaga dan bergabung semula dengan pasukan Rusia di Kaukasus.

Hari ini, Canakkale sangat popular dengan slogan “Çanakkale Geçilmez”.
(Canakkale tidak akan sekali-kali ditembusi)

Bacaan lanjut : Osmanlı Tarihi (Prof. Dr. Mehmed Maksudoğlu) & Ottoman History Misperception And Truths (Prof. Ahmed Akgündüz & Prof. Said Öztürk)

Shafiq Shafie
Research & Development Jejak Uthmaniyyah

Baca lagi: Inilah Bukti Hubungan Erat Empayar Uthmaniyyah Dan Kerajaan Melayu Satu Ketika Dulu

Artikel di atas disumbangkan oleh Jejak Uthmaniyyah. Menyediakan khidmat pemandu pelancong di Turki. Boleh ikuti beliau di sini.

BACAAN SETERUSNYA

© 2017 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W). Dibuat dengan cinta di Damansara ❤