“Feral Children” atau “Kanak-kanak Liar” adalah projek foto terbaru oleh seorang jurugambar berbangsa Jerman yang sedang menetap di London, iaitu Julia Fullerton-Batten. Siri gambar beliau adalah merupakan ilustrasi kepada kejadian sebenar yang melibatkan sekumpulan kanak-kanak terbiar yang kemudiannya membesar dalam keadaan yang aneh.

“Buku ‘The Girl With No Name’ memberi inspirasi kepada saya untuk terus mencari kes-kes kanak-kanak liar yang lain,” Fullerton-Batten memberitahu majalah Feature Shoot. “Saya mendapati terdapat beberapa kes yang berlaku. Ada yang berlaku disebabkan kanak-kanak tersebut tersesat, ada yang ditangkap oleh haiwan liar, dan kebanyakannya berlaku disebabkan ditinggal atau diabaikan oleh ibu bapa. Kes-kes yang berjaya didokumenkan wujud di empat daripada lima benua dunia.”

Gadis Serigala Lobo, Mexico, 1845-1852

Pada tahun 1845, penduduk kampung ternampak seorang kanak-kanak perempuan berlari dengan keempat-empat kaki dan tangannya bersama-sama dengan sekumpulan serigala menyerang sekumpulan kambing. Setahun kemudian, beliau dilihat semula dengan kawanan serigala sambil menikmati tangkapan seekor kambing. Beliau berjaya ditangkap, tetapi berjaya melarikan diri. Pada tahun 1852, beliau dilihat menyusukan dua ekor anak serigala, tetapi kemudian lari masuk ke dalam hutan. Sejak dari itu, beliau tidak pernah dilihat lagi.

Oxana Malaya, Ukraine, 1991

Oxana ditemui hidup dalam kandang anjing pada tahun 1991. Beliau berusia lapan tahun dan telah hidup dengan anjing-anjing selama enam tahun. Ibu bapanya adalah penagih alkohol dan pada satu malam, mereka telah meninggalkan Oxana di luar rumah. Untuk mencari kehangatan, Oxana yang ketika itu berusia tiga tahun merangkak ke dalam kandang anjing dan memeluk anjing-anjing kampung itu, satu tindakan yang menyelamatkan hidupnya daripada kesejukan malam. Ketika ditemui, beliau berkelakuan seperti seekor anjing. Dia berlari dengan keempat-empat kaki dan tangannya, lidah terjelir keluar, gigi taring ditayangkan dan menyalak. Oleh kerana kekurangan interaksi manusia, beliau hanya tahu perkataan “ya” dan “tidak.”

Terapi intensif membantu Oxana untuk mempelajari kemahiran sosial dan lisan asas, tetapi hanya dengan kemampuan kanak-kanak berusia lima tahun. Kini berusia 30 tahun, beliau tinggal di sebuah klinik di Odessa sambil melakukan kerja-kerja penjagaan haiwan ternakan hospital di bawah pengawasan seorang pengasuh.

Shamdeo, India, 1972

Shamdeo, seorang kanak-kanak yang berumur kira-kira empat tahun, telah ditemui di sebuah hutan di India pada tahun 1972. Beliau sedang bermain dengan anak-anak serigala ketika ditangkap. Kulitnya gelap, gigi telah diasah, kuku yang panjang dan bercangkuk, rambut kusut-masai dan dan kulit yang menebal (callus) pada tapak tangan, siku dan lutut. Beliau gemar memburu ayam, makan tanah dan sukakan darah. Beliau pandai berhubung dengan anjing.

Akhirnya beliau berjaya diajar untuk berhenti makan daging mentah, masih tidak pandai bercakap, tetapi dapat mempelajari beberapa perkataan bahasa isyarat. Pada tahun 1978 beliau telah dimasukkan ke “Mother Theresa’s Home for the Destitute and Dying” di Lucknow, di mana beliau telah dinamakan semula sebagai Pascal. Beliau meninggal dunia pada Februari 1985.

Prava (The Bird Boy), Rusia, 2008

Prava, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun, ditemui dalam sebuah pangsapuri dua bilik tidur yang kecil, dengan ibunya berusia 31 tahun – tetapi beliau telah dikurung dalam sebuah bilik yang penuh dengan sangkar burung, yang mengandungi berpuluh-puluh ekor burung peliharaan ibunya, makanan burung dan najis burung. Ibunya melayan dia sama seperti haiwan peliharaannya yang lain. Prava tidak pernah didera secara fizikal, dipukul atau ditinggalkan tanpa makanan, cuma, ibunya tidak pernah bercakap kepadanya. Komunikasi anak kecil ini hanya dengan burung-burung. Beliau tidak pandai bercakap, hanya pandai berkicau. Apabila beliau tidak difahami, beliau akan mendepangkan tangannya sambil berkepak seperti seekor burung.

Selepas ibunya melepaskan hak penjagaan kanak-kanak, Prava telah dipindahkan ke pusat penjagaan psikologi di mana doktor cuba untuk memulihkan dia.

Marina Chapman, Colombia, 1959

Marina diculik pada tahun 1954 ketika berusia 5 tahun dari sebuah kampung di pendalaman Amerika Selatan dan ditinggalkan oleh penculik itu di dalam hutan. Dia tinggal bersama-sama sebuah keluarga monyet capuchin yang kecil selama lima tahun sebelum ditemui oleh pemburu. Dia makan buah, akar dan pisang yang dijatuhkan oleh monyet; tidur dalam lubang pokok dan berjalan dengan keempat-empat kaki dan tangannya. Pada satu hari, dia mendapat keracunan makanan yang sangat teruk. Seekor monyet yang sudah tua membawa beliau ke sebuah kolam air, memaksanya minum, sehingga menyebabkan dia muntah, tetapi mula pulih selepas itu. Dia berkawan dengan monyet muda dan belajar memanjat pokok dan makanan apa yang selamat untuk dimakan daripada mereka. Dia akan duduk di atas pokok, bermain, dan mengemas diri dengan mereka. Marina telah kehilangan kemampuan berbahasa sepenuhnya semasa diselamatkan.

Beliau kemudiannya telah dijual oleh pemburu kepada rumah pelacuran, melarikan diri dan hidup sebagai anak jalanan. Seterusnya beliau telah diperhambakan oleh sebuah keluarga ala mafia, sebelum diselamatkan oleh seorang jiran yang menghantarnya ke Bogotá untuk hidup bersama-sama dengan anak perempuan dan menantu beliau. Mereka menerima Marina bersama lima anak kandung mereka. Apabila Marina mencapai pertengahan remaja, beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah dan pengasuh oleh seorang lagi ahli keluarga. Keluarga itu bersama-sama dengan Marina berpindah ke Bradford, Yorksire di UK pada tahun 1977, di mana Marina masih tinggal sehingga hari ini. Beliau berkahwin dan mempunyai anak-anak. Marina dan anak bongsunya, Vanessa James, bersama-sama menulis sebuah buku mengenai pengalaman liar beliau, yang dinamakan – The Girl With No Name.

Madina, Rusia, 2013

Madina hidup dengan anjing sejak lahir sehingga dia berusia 3 tahun, berkongsi makanan, bermain, dan tidur bersama-sama mereka ketika kesejukan pada musim sejuk. Ketika pekerja sosial menyelamatkan beliau pada tahun 2013, dia bertelanjang, berjalan dengan keempat-empat kaki dan tangannya dan menggeram seperti seekor anjing.

Bapa Madina telah meninggalkan keluarga itu tidak lama selepas Madina dilahirkan. Ibunya, 23 tahun, adalah seorang penagih alkohol. Ibunya sering terlalu mabuk untuk menjaga anaknya dan sering keluar rumah meninggalkan anaknya berseorangan di rumah. Ibunya juga kerap mengundang penagih-penagih alkohol lain datang ke rumah. Ibunya yang mabuk itu akan duduk di meja untuk makan sambil anak perempuannya menggigit tulang di atas lantai seperti seekor anjing. Madina akan lari ke taman permainan berhampiran apabila ibunya marah, tetapi kanak-kanak lain tidak akan bermain dengan beliau kerana beliau tidak pandai bercakap dan suka bergaduh. Anjing menjadi satu-satunya makhluk yang sudi menerima Madina untuk berhubung dan berkawan baik.

Doktor melaporkan bahawa Madina sihat dari segi mental dan fizikal walaupun melalui pengalaman pahit sebelum ini. Peluang untuk beliau hidup normal adalah besar sebaik sahaja beliau belajar bercakap selaras dengan kemampuan kanak-kanak yang seusia dengannya.

Genie, USA, 1970

Ketika berusia 2 hingga ke 4 tahun, ayah Genie memutuskan dia “cacat akal” dan dia diikat di sebuah kerusi bertandas dalam sebuah bilik kecil di rumah mereka. Dia hidup dalam kurungan selama lebih daripada 10 tahun. Dia juga tidur di atas kerusi. Ketika berusia 13 tahun, pada tahun 1970, dia dan ibunya yang hampir buta pergi ke pejabat kebajikan kanak-kanak, serta-merta pekerja sosial perasan keadaannya yang pelik. Genie masih tidak pandai menggunakan tandas dan berjalan dengan gaya seekor arnab, dengan kaki senget dan tangan mengerekot ke depan. Genie tidak boleh bercakap atau membuat apa-apa bunyi, sentiasa meludah dan mencengkam dirinya sendiri. Selama bertahun-tahun lamanya, beliau menjadi objek penyelidikan. Secara beransur-ansur, Genie belajar untuk bercakap beberapa perkataan tetapi masih tidak dapat menguasai tatabahasa. Dia juga mula membaca teks ringkas, dan membentuk tingkah laku sosial yang terhad. Pada satu ketika, beliau mula tinggal sebentar dengan ibunya, tetapi kemudian mula berpindah dari satu rumah kebajikan ke rumah kebajikan yang lain dan serta mengalami penderaan dan gangguan. Beliau kembali ke hospital kanak-kanak apabila beliau didapati kembali menjadi pendiam semula. Pembiayaan untuk rawatan dan penyelidikan Genie telah dihentikan pada tahun 1974 dan selepas itu tidak diketahui apa yang berlaku kepada beliau, sehinggalah seorang penyiasat persendirian mendapati beliau akhirnya ditempatkan di sebuah fasiliti swasta untuk OKU dewasa mental.

Budak Harimau Bintang, India, 1912

Kanak-kanak lelaki ini berusia dua tahun ketika ia diculik oleh seekor harimau bintang betina pada tahun 1912. Tiga tahun kemudian seorang pemburu membunuh harimau bintang betina itu dan mendapati terdapat tiga ekor anak, salah satunya anak lelaki yang ketika itu berusia lima tahun. Beliau dikembalikan semula kepada keluarganya di sebuah kampung kecil di India. Ketika pertama kali ditangkap beliau hanya mencangkung dan berlari dengan keempat-empat kakinya dengan kepantasan seorang lelaki dewasa yang berlari tegak. Lututnya dipenuhi salutan kulit (callous) keras, jari kaki bengkok, dan tapak tangan, ibu jari kaki dan ibu jari tangan diselaputi dengan kulit yang kasar, tebal dan tajam. Dia menggigit dan melawan setiap orang yang mendekatinya, dan menangkap serta makan ayam kampung secara mentah. Budak lelaki ini tidak pandai berbicara, hanya pandai mendengus dan mengaum.

Kemudian beliau belajar bercakap dan berjalan lebih tegak. Malangnya kanak-kanak ini beransur-ansur menjadi buta disebabkan katarak. Walau bagaimanapun, ini bukan disebabkan oleh pengalaman beliau di dalam hutan, tetapi penyakit yang diwarisi daripada keluarganya.

Sujit Kumar Si Budak Ayam, Fiji, 1978

Sujit mempamerkan masalah perlakuan ketika kanak-kanak. Ibu bapanya mengunci beliau dalam sebuah reban ayam. Ibunya membunuh diri dan bapanya kemudian dibunuh. Datuk beliau mengambil alih tanggungjawab menjaga beliau tetapi masih mengurung beliau di dalam reban ayam. Ketika berumur lapan tahun beliau ditemui di tengah-tengah jalan raya, mengkekek dan mengepak. Beliau mematuk makanannya, bertenggek di atas kerusi, dan membuat bunyi klik dengan lidahnya secara berulang-ulang kali. Jarinya bengkok ke dalam. Beliau telah dibawa ke rumah orang tua oleh seorang penjaga di sana, tetapi oleh kerana beliau begitu agresif, beliau diikat dengan cadar di atas sebuah katil selama lebih 20 tahun. Kini beliau berusia lebih 30 tahun dan dijaga oleh Elizabeth Clayton, orang yang menyelamatkannya daripada pusat jagaan itu.

Kamala Dan Amala, India, 1920

Kamala, 8 tahun, dan Amala, 12, ditemui pada tahun 1920 di sebuah sarang serigala. Ia merupakan salah satu kes kanak-kanak liar yang paling terkenal. Mereka ditemui oleh Reverend Joseph Singh, yang bersembunyi di dalam sebatang pokok di atas gua, tempat mereka berdua telah dilihat sebelum itu. Apabila serigala meninggalkan gua, Singh dapat melihat dua gadis itu sedang bersembunyi di dalam. Gadis-gadis itu mengerikan, berlari dengan keempat-empat kaki dan tidak kelihatan seperti manusia. Beliau menangkap gadis-gadis itu tidak lama kemudian. Pertama kali ditangkap, gadis-gadis tersebut tidur bersama-sama, menderam, mengoyakkan pakaian, hanya makan daging mentah, dan melolong seperti seekor serigala. Bentuk fizikal dua anak ini telah berubah, dengan tendon dan sendi di tangan dan kaki mereka telah menjadi pendek. Mereka tidak berminat untuk berinteraksi dengan manusia. Tetapi, deria pendengaran, penglihatan dan bau mereka adalah luar biasa. Amala meninggal dunia setahun selepas mereka ditangkap. Kamala akhirnya belajar untuk berjalan tegak dan bercakap sepatah dua perkataan, tetapi meninggal dunia pada tahun 1929 akibat daripada kegagalan buah pinggang, berusia 17 tahun.

Ivan Mishukov, Rusia, 1998

Ivan didera oleh keluarganya dan melarikan diri ketika berusia 4 tahun. Beliau mengemis di jalanan. Beliau mula membina hubungan baik dengan sekumpulan anjing liar, berkongsi makanan yang beliau dapati dengan cara mengemis dengan kumpulan anjing itu. Anjing-anjing semakin mempercayai beliau dan akhirnya beliau diangkat menjadi pemimpin kawanan. Beliau tinggal di jalanan selama dua tahun, tetapi akhirnya diselamatkan dan diletakkan di rumah kebajikan kanak-kanak. Ivan dapat mengekalkan kemahiran berbahasa melalui mengemis. Hakikat beliau masih pandai bercakap ketika ditemui, dan menjadi liar hanya untuk masa singkat, membantu beliau pulih dengan cepat. Beliau kini menjalani kehidupan yang normal.

John Ssebunya (Budak Monyet), Uganda, 1991

John melarikan diri dari rumah pada tahun 1988 ketika berusia tiga tahun selepas melihat bapanya membunuh ibunya. Beliau lari masuk ke dalam hutan, dan mula tinggal bersama-sama kawanan monyet. Beliau diselamatkan pada tahun 1991, ketika berusia enam tahun, dan diletakkan dalam sebuah rumah anak-anak yatim. Ketika dibersihkan, penyelamat beliau mendapati badannya dipenuhi bulu-bulu dan rerambut. Dietnya di hutan terdiri daripada akar, kekacang, keledek dan ubi kayu. Beliau juga didapati telah mendapat jangkitan cacing usus yang serius, dengan kepanjangan cacing lebih daripada setengah meter. Beliau mendapat callus (kallus) di lutut akibat berjalan seperti monyet. John akhirnya menguasai bahasa dan cara hidup manusia. Beliau mempunyai suara yang sedap, dan pernah melawat UK dengan kumpulan koir kanak-kanak 20-strong Pearl of Africa.

Victor (Budak Liar Aveyron), Perancis, 1797

Kes kanak-kanak liar yang bersejarah ini telah didokumenkan dengan baik. Victor telah dilihat pada akhir abad ke 18 dalam hutan Saint Sernin sur Rance, selatan Perancis, ditangkap dan kemudian berjaya melarikan diri. Pada 8 Januari 1800, beliau ditangkap kembali. Ketika ditangkap beliau berusia kira-kira 12 tahun, badan penuh parut dan tidak pandai bercakap. Semasa berita tentang penangkapannya tersebar, ramai yang menunjukkan minat untuk memeriksanya. Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang budak lelaki ini, tetapi dipercayai beliau telah menghabiskan 7 tahun dalam hutan. Seorang profesor biologi menguji keboleh upayaan Victor menghadapi cuaca sejuk dengan menghantar dia ke luar yang bersalji tanpa sebarang pakaian. Victor tidak menunjukkan sebarang kesan akibat cuaca sejuk. Ada yang cuba untuk mengajar beliau bercakap dan berkelakuan ‘normal’, tetapi tanpa sebarang kemajuan. Beliau mungkin mampu bercakap dan mendengar sebelum menjadi liar, tetapi tidak lagi mampu setelah mula tinggal dalam hutan. Akhirnya beliau dibawa ke sebuah institusi di Paris dan meninggal dunia pada usia 40 tahun.

BACA: 15 Tempat Paling Mengerikan Dalam Dunia

BACA: Lihat Reaksi Haiwan Liar Berdepan Dengan Cermin

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

BACAAN SETERUSNYA

© 2018 Vocket Media Sdn Bhd (1173405-W), a part of Media Prima Group