Ke mana perginya zakat?

Sebagai doktor rehabilitasi, kami mengendalikan pelbagai kes di mana pesakit amat memerlukan pemulihan namun tidak berkemampuan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Biasanya kami akan mohon bantuan kewangan kepada JPA, PERKESO, MAKNA dan jika pesakit tidak layak memohon daripada agensi-agensi ini, kami akan mohon bantuan JKSP (Jabatan Kerja Sosial Perubatan) untuk uruskan.

JKSP pula akan mencari penaja, sama ada daripada NGO (Organisasi Bukan Kerajaan), parti politik, Majlis Agama Islam (MAI) dan sebagainya. Antara organisasi yang disebutkan ini, MAI adalah penaja terbesar.

Apa yang MAI taja berkenaan perubatan?

Ada beberapa kategori tajaan/bantuan. Antaranya:

1. Sara hidup bulanan
2. Kos perubatan
3. Hemodialisis
4. Lain-lain

Sara Hidup Bulanan

Bantuan inilah yang selalu dipertikaikan oleh masyarakat. Kononnya terlalu banyak birokrasi untuk membuat permohonan. Perlu jumpa amil atau ketua kampung, perlu isi borang, perlu tunggu siasatan dan sebagainya. Prosedur ini adalah penting bagi memastikan hanya asnaf yang layak menerima bantuan.

BACA: Tidak Perlu Pengesahan Ketua Kampung, Permohonan Bantuan Zakat MAIWP Kini Lebih Mudah

Sebenarnya apabila disahkan layak menerima bantuan sara hidup bulanan, penerima boleh menerima sehingga RM800 (bergantung kepada keperluan) selama 2 tahun sebelum dinilai semula. Ia adalah bantuan yang lebih baik berbanding bantuan sara hidup JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) bernilai RM300-450 dan dinilai semula setiap tahun.

Bekalan susu dan lampin anak-anak atau pesakit pun akan diberi setiap bulan.

Kos Perubatan

Di sini di mana ia berkaitan dengan jawatan saya sebagai doktor rehabilitasi. Kebanyakan pesakit rehabilitasi adalah pesakit terlantar, lumpuh, kanak-kanak spastik dan pelbagai penyakit yang menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan serta peralatan khas.

Antara perkara yang ditaja oleh MAI pada asnaf adalah peralatan pemulihan dan ubat-ubatan.

Peralatan pemulihan yang saya maksudkan adalah seperti kerusi roda, katil hospital, orthosis, prosthesis (anggota palsu), implan dan sebagainya. Alatan ini tidak murah, sebahagiannya bernilai sehingga belasan ribu. Saya pernah uruskan permohonan kaki palsu bernilai sekitar RM10,000 melalui MAI dan ia diluluskan setelah justifikasi dibuat. Justifikasi itu termasuklah pengesahan pesakit adalah asnaf.

Ubat penyelamat nyawa (live saving medication) juga ada ditaja. Synagis misalnya. Ia adalah ubat antivirus yang diberikan kepada bayi pramatang. Paru-paru bayi pramatang mudah terdedah kepada jangkitan virus yang boleh mengancam nyawa bayi. Synagis dapat mengekang virus ini. Kos rawatan menggunakan ubat ini boleh mencecah sehingga RM17,000.

Hemodialisis

Hemodialisis adalah salah satu prosedur perawatan yang boleh memanjangkan dan memperbaiki hayat seorang pesakit. Ia adalah perawatan berpanjangan, lebih tepat lagi, 3 kali seminggu.

Hemodialisis asnaf juga boleh ditaja oleh MAI. Setiap sesi memakan belanja sekitar RM200-300. Bayangkan jumlah kos sebulan. Sepanjang hayat.

Lain-Lain

Selain itu, MAI juga ada taja kos pendidikan asnaf. Contohnya, jika penyara keluarga mengalami kondisi yang menyebabkan beliau hilang upaya mencari nafkah. MAI akan pertimbang untuk sara anak-anak pesakit jika didapati layak. Begitu juga jika penyara mempunyai hutang, MAI akan bantu melangsaikan hutang tersebut.

Mungkin anda tidak tahu, MAI juga memberi khidmat Rumah Transit Muallaf (muslim reverts). Ada sesetengah pesakit muallaf yang tiada waris dan tempat tinggal. Maka, jika dibenarkan keluar hospital MAI akan menempatkan mereka di kediaman tersebut sehingga mereka boleh berdikari dan mencari nafkah.

Mana MAI dapat dana? Tentunya daripada Baitulmal; iaitu badan pengurusan zakat.

Rumusan

Janganlah ringan mulut untuk memfitnah jika kita tidak pasti ke mana duit zakat yang disalurkan.

Diakui, permohonan bantuan daripada MAI sedikit rumit dan memakan masa, tapi ada juga sesetengah kes, MAI lebih mudah dan kurang birokrasi berbanding agensi lain, contohnya permohonan kos Synagis, kos implan dan pelbagai lagi.

Pengurusan zakat di Malaysia masih tidak sempurna, tapi 70 juta dibahagikan 70 asnaf? Itu lagi tindakan kurang bijak, malah satu kezaliman.

Dr. Kamarul Ariffin bin Nor Sadan,
‪#‎MedTweetMY‬

Catatan: Ini baru cerita saluran zakat berkenaan perubatan, belum lagi industri lain-lain.