Pepatah Turki ada mengatakan “orang yang lebih mengembara, lebih mengerti tentang hidup daripada orang yang hidup lebih lama”. Saya percaya ada kebenaran dalam madah itu.

Saya suka mengembara kerana saya dapat belajar tentang budaya masyarakat di luar kelompok kehidupan saya. Saya sangat kagum dengan kecekalan hidup orang Mesir, budaya cintakan alam warga New Zealand dan kebanggaan puak Viking terhadap sejarah lampau mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Setiap kali saya dan suami merancang untuk mengembara, keputusan pertama yang akan di buat adalah sama ada untuk membawa anak-anak atau tidak. Segala perancangan akan menjadi caca marba sekiranya keputusan pertama ini bertukar.

Kenapa bawa anak-anak mengembara?

Semasa kami berjalan di taman Kastellet dalam suhu negatif, anak-anak membaling batu ke atas tasik yang beku. Saya memerhatikan saja mereka berbincang sama ada selamat atau tidak untuk mereka berjalan di atas tasik itu. Sesekali mereka bertanya bagaimana itik boleh tahan sejuk di dalam cuaca di bawah kosong darjah Celsius.

Pemerhatian baru sebegini bagi saya adalah guru terbaik untuk kanak-kanak mengenal erti kehidupan. Dari segi matematik tentang matawang, keadaan sosioekonomi, bahasa tempatan dan budaya masyarakat antarabangsa, kanak-kanak dapat belajar banyak perkara yang tersirat dan tersurat dari pengembaraan. Apa yang mereka belajar di jalanan lebih terkesan daripada apa yang tertulis dalam buku atau ditonton di TV.

Setiap kali kembara bersama anak-anak, kami belajar sesuatu yang baru dari mata anak-anak. Sampai sekarang saya masih ingat bagaimana seronoknya anak-anak dapat tidur dalam keretapi (sampai kena paksa tidur!). Semasa di Mesir, penjaga muzium amat terkejut bila anak saya kenal Akhnatun, firaun yang memerintah Mesir pada zaman Nabi Yusuf.

Kembara bersama keluarga memerlukan komitmen wang dan tenaga yang agak besar. Untuk pengorbanan sebesar itu, tentunya kita perlu membuat perancangan teliti agar semua ahli keluarga dapat manfaat daripada kembara yang kita lalui.

Biasanya kami mulakan perancangan kembara dari rumah dengan menjawab soalan 4W1H:

1. KENAPA (Why)

Pilihan tempat tinggal boleh juga khemah sekiranya ingin menikmati alam sekitar.

Mengapa kita lawat sesuatu tempat adalah faktor dalaman yang sangat penting bagi kita memperolehi manfaat dalam kembara. Tanpa ‘why’ yang jelas, kita tak akan dapat manfaat yang jelas dalam kembara kita.

Contohnya, kembara ke Mesir dapat melengkapkan pengetahuan anak-anak tentang sejarah Nabi Musa dan Yusuf atau di tempat alam semulajadi dapat mendidik anak untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah.

2. APA (What)

Persoalan terbesar dalam kembara terdapat di sini. Apa aktiviti yang akan dilakukan di sana? Anak-anak kecil mungkin masih belum menikmati pemandangan indah sambil duduk minum kopi atau melawat muzium. Anak yang sihat tentunya sukakan aktiviti fizikal!

Oleh itu, aturkan sekurang-kurangnya satu aktiviti untuk anak-anak bergerak dalam sehari kembara. Contohnya berenang, main ski, skating atau baling Frisbee di taman. Sambil anak-anak bermain, bolehlah kita berehat dan ambil gambar!

Ada juga yang mengambil kesempatan semasa kembara untuk melawat rakan taulan atau membuat kerja Amal. Syabas! Anda bukan sahaja dapat melihat dunia, malah dapat mengajar anak-anak tentang kepentingan menyambung silaturrahim dan konsep bersyukur.

3. DI MANA (Where)

Gunakan masa semasa kembara untuk kukuhkan hubungan dengan anak-anak.

Tempat tinggal semasa kembara biasanya akan memakan kos kedua terbesar selepas pengangkutan. Bergantung kepada bajet, banyak pilihan tempat tinggal yang boleh dipilih seperti hotel, apartment atau homestay, namun ianya mestilah sesuai untuk keluarga.

Youth hostel atau tempat-tempat yang bingit di waktu malam tidak sesuai untuk didiami semasa kembara bersama keluarga. Sesetengah hotel yang mempunyai polisi yang sangat ketat terhadap jumlah anak-anak sebilik.

Ambil kira lokasi tempat awam di sekitar tempat tinggal seperti tempat makanan halal, hospital dan sebagainya. Selalunya, kawasan berhampiran masjid akan ada tempat makan halal dan ini adalah satu kelebihan yang boleh kita pertimbangkan dalam pemilihan hotel atau tempat tinggal.

4. BILA (When)

Kembara sambil melakukan kerja amal.

Dek kerana terpedaya dengan tawaran murah daripada hotel penginapan, kami pernah melakukan kesilapan sewaktu memilih waktu percutian di Phuket. Bila tiba di sana, hujan dan monsoon menanti kami di bulan Mac. Ruginya kami kerana tak dapat menikmati pantai yang terkenal di Phuket. Simpan semula semua baju renang dan pelampung anak-anak!

Pilihan musim semasa kembara, sama ada musim panas, sejuk, hujan dan sebagainya akan menentukan aktiviti terbaik yang boleh kita lakukan di destinasi kembara.

Pengurusan masa semasa kembara bersama keluarga amat penting bagi memastikan tenaga kita dan anak-anak berada dalam tahap optimum.

Oleh itu, pastikan waktu bersiar-siar yang memerlukan anak-anak berjalan dirancang pada waktu pagi. Di Sebelah petang atau malam, elok untuk Kita menaiki Kenderaan ke lokasi seterusnya agar anak-anak dapat ‘recharge’ untuk aktiviti seterusnya.

5. BAGAIMANA (How)

Pilihan bagaimana cara kembara akan berkait rapat dengan kos keseluruhan kembara. Banyak cara untuk kita tiba di destinasi kembara, sama ada menaiki kapal terbang, keretapi, kereta, kapal laut dan sebagainya. Kami biasanya memilih pengangkutan awam kerana anak-anak sudah mampu berdikari dan tak perlu naik stroller.

Gunakan khidmat tour guide atau sewa kereta di destinasi yang tidak mempunyai pengangkutan awam yang baik supaya kita dan anak-anak lebih selesa dalam perjalanan.

Moga ada manfaatnya. Wallahu a’lam bissawab.

Baca lagi: 40 Tip Bagaimana Saya Travel Sendiri Dengan Keluarga Di New Zealand