Nota Editor: Kisah menyayat hati ini telah dikongsikan di Facebook Puan Natipah Abu, seorang penyelia rumah anak yatim dan miskin Darul Aitam, Kuala Ketil, Kedah. Puan Natipah juga merupakan pelawat tetap ke rumah anak yatim Kuala Nerang, Kedah. Kami kongsikan semula kisah iniĀ  dengan izin dari beliau.

Semoga kisah ini membawa keinsafan buat kita bahawa di sebalik apa yang kita miliki masih ada insan yang bernasib malang dan memerlukan bantuan dari kita. Juga, meskipun kisah hidup wanita bernama Siti ini kelam, kasih sayang Allah tetap ada padanya dengan anugerah anak yang soleh.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

siti-6

Rumah inilah menjadi tempat berlindung mereka tiga beranak

LANGIT RAMADAN YANG BARAKAH

Saya kongsikan kisah menyayat hati ini buat sahabat facebook saya di sini sebagai iktibar buat kita semua. Mudah-mudahan kisah ini akan membuka pintu keinsafan buat saya dan kita semua tentang betapa besarnya rahmat Allah S.W.T terhadap kita berbanding insan lain di luar sana.

Kisah tragis Siti (bukan nama sebenar, 39 tahun) sudah lama sampai ke telinga saya. Namun saya tidak berpeluang melawat dia kerana lokasi kami yang jauh dan saya tidak mempunyai nombor telefon warisnya.

Namun sejak pertama kali mendengar tentang Siti hati saya memang berhajat sangat hendak menziarahinya.

Hari ini, alhamdulillah hajat yang sekian lama bersemi itu tertunai sudah. Namun pertemuan hari ini sungguh di luar dugaan saya malah realiti yang tragis ini tidak pernah terjangkau akal saya.

Siti seorang OKU. Dia bisu malah mentalnya tidak seperti insan lain. Ketika usianya 18 tahun dia menjadi mangsa kerakusan nafsu durjana lelaki lalu terahirlah Adam (bukan nama sebenar, 18 tahun).

siti-1

Makanan siap di masak dihantar jiran sebelah. Selepas makan Siti pandai mencuci pinggannya

Ketika usianya 30 tahun sekali lagi dia dinodai dan terlahirlah Idris (bukan nama sebenar, 9 tahun) dari rahim insan yang tidak berdaya dan tidak berdosa itu.

Pertama kali bertemu dan menatap wajah Siti saya sebak sekali. Sampainya hati lelaki itu menodai Siti yg terlalu naif. Siti yang bisu itu hidup dalam dunianya sendiri.

Siti tidak pandai menonton tv, Siti tidak punya sesiapa sebagai kawan selain seekor kucing. Kucing itulah teman setianya. Sesekali Siti akan meraung bila “bergaduh” dengan kawan baiknya itu.

siti-3

Bukti kasih seorang anak. Siti tidur di atas katil dan Adam sisinya, tilam di atas lantai. Kalau anak-anak tiada tidurlah Siti sendirian di rumah ini

Namun kuasa Allah S.W.T Siti kenal dan kasih akan anak-anaknya dengan caranya tersendiri. Malah saya kira arwah orang tua Siti telah mendidik Siti dan anak-anaknya cukup sempurna.

Siti yang serba kekurangan itu tidak seperti manusia hari ini yang sewenang-wenangnya membuang bayi mereka. Anak-anak Siti juga dididik menyayangi dan menghormati Siti. Siti juga tidak suka keluar rumah malah dia sangat menjaga kebersihan rumah.

Siti ada menerima wang JKM RM300 sebulan dan dengan wang itulah, jiran terdekatnya menyara Siti dan anak-anaknya sejak 2 tahun yang lalu setelah kematian ibunya.

siti-4

Rumah atas yang usang dan reput

Siti anak tungggal. Jiran itulah yang menyediakan makan minum Siti malah menguruskan Siti setelah Adam memilih unttk mengikuti kursus kemahiran otomatif dan berhijrah meninggalkan ibunya hidup sendirian di rumah ini.

Idris pula dihantar ke rumah anak yatim. Di rumah anak yatim itulah saya berkasih sayang dengan Idris seterusnya mendengar tentang Siti.

Ketika saya memberitahu Siti hendak mengambil gambarnya, Adam meminta ibunya mengenakan tudung. Sedihnya, Siti tak pandai memakai tudung dan harus dibantu.

siti-2

Baju terpakai pemberian orang diisi dalam beg plastik kemudian diselimut rapi

Ketika Adam membuka kain penutup bungkusan baju terpakai untuk mencari tudung buat ibunya, Siti marah dan menampar tangan Adam. Sangkanya Adam hendak memunggah pakaian yang dia simpan rapi.

Apabila saya tunjukkan kamera, Siti senyum panjang lalu duduk bersimpuh penuh sopan di hadapan saya. Yaaa, Siti seorang perempuan yang cantik. Kulitnya putih, tubuhnya juga kecil molek.

Sebelum pulang saya serahkan sedikit wang sumbangan penderma dari TABUNG JARIAH DAPUR RAMADAN kepada Adam juga barang-barang dapur untuk memasak.

Saya bertekad untuk membela nasib dua beradik ini, memastikan mereka berjaya dalam pelajaran.

Melihat saya hendak melangkah pulang, Siti pantas menghulurkan sebelah tangannya untuk bersalaman dengan saya.

“Mak….salam tangan mana tu…tu tangan kiri “. Cepat-cepat Siti menukar huluran tangannya sambil ketawa kuat. Saya menyambut penuh sayu.

siti-5

Kini fahamlah saya mengapa Idris menangis teresak-esak apabila saya bertanya tentang ibunya satu masa dulu. Idris pernah mewakili sekolahnya dalam Tilawah Al Quran.

Saya tinggalkan Adam dengan kata-kata semangat. Dan saya lihat mata Adam merah berkaca mengiringi langkah saya.

BACA: Yatim Piatu Kerana Kecuaian Orang Lain, Lelaki Ini Berkongsi Rasa Hati Beliau

BACA juga: Kisah Menyentuh Hati Di Sebalik Sekolah Anak Pelarian Syria Diasaskan Oleh Pelajar Malaysia

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram