Kita sudah biasa membaca mahupun mendengar kisah mereka yang sempurna sifatnya mengembara ke segenap penjuru dunia. Tapi jarang sekali kita temui kisah insan istimewa yang berani travel solo ke luar negara.

Hari ini saya ingin kenalkan anda dengan Cik Norlaila Kamaruddin atau lebih mesra dipanggil Laila di kalangan rakan-rakan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Laila merupakan seorang gadis yang memiliki masalah pendengaran yang beliau sendiri tak pasti sama ada sejak lahir atau sewaktu sedang membesar.

Saya tak pernah nak tanya keluarga tentang hal pendengaran saya ini. Tapi yang pasti dari kecik memang tak dengar. Bila sekolah menengah kakak ada belikan alat bantuan pendengaran di farmasi dekat tempat dia kerja, saya cuba pakai tapi masih tak berkesan.

Menurut gadis berusia 29 tahun ini lagi sejak kecil sudah banyak alat pendengaran yang beliau cuba tapi tidak serasi. Pernah sekali beliau mencuba alat bantuan pendengaran dan berjaya menangkap bunyi bising.

Di ketika itu terasa ada harapan bagi Laila untuk mendengar sepertimana insan lain. Sehingga kini Laila masih tidak berputus asa mencuba berbagai jenis alat bantuan pendengaran.

laila-gadis-istimewa-14
Aku hanya ingin menjadi diri sendiri tanpa perlu menjadi orang lain.

Menyusuri perkongsian jawapan yang diberikan oleh Laila, dapat saya rasakan gadis ini mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah berputus asa.

Meskipun bermasalah pendengaran, Laila lebih selesa jika beliau dilayan sama rata sepertimana mereka yang normal.

Bermula dengan dihantar ke sekolah biasa dan bukannya sekolah khas OKU seperti mana kanak-kanak lain, Laila mencuba sehabis baik untuk menjalani kehidupan seperti seorang yang normal.

Gadis yang bersekolah sehingga tamat SPM ini tanpa ragu bercerita.

Masa nak pergi ambik keputusan SPM macam dah tahu je apa saya dapat nanti. Hahahaha. Belum sempat nak masuk dewan cikgu dah marah-marah sebab keputusan SPM teruk.

“Bahasa Inggeris saya gagal. Cikgu marah teruk. Saya hanya lulus Pendidikan Islam dan Pendidikan Seni je. Hahahaha. Lain tu memang takziah. Saya bukan tak minat belajar cuma saya ada masalah membaca dan menulis. Cian tak? Hahaha!

Kawan-kawan sekolah ajak saya sambung belajar. Tapi sebab saya kenal diri saya macam mana, saya pun buat keputusan nak berkerja untuk kurangkan beban keluarga. Masa itu kakak-kakak dan adik masih belajar. Tak guna saya belajar kalau saya rasa saya tak boleh” – Laila.

Lebih menyukarkan, jika kebanyakan mereka yang menghadapi masalah seperti beliau akan belajar dan faham bahasa isyarat tapi lain pula dengan Laila. Beliau juga tidak faham bahasa isyarat meskipun pernah cuba mempelajari kaedah ini.

Dulu masa kat sekolah belajar bahasa isyarat. Tapi tak boleh ikut. Cikgu cari idea. Cikgu ajar bahasa bibir. Kadang-kadang tengok bibir rasa macam nak cium je. Hahaha!

Sebaik tamat SPM, Laila mula mencari kerja. Bagi beliau lebih baik bekerja. Sekurang-kurangnya dapat bantu keluarga disamping dapat duit poket untuk tampung diri sendiri.

Malahan menurut Laila, sebelum SPM lagi beliau sudah terbiasa bekerja di kedai makan milik neneknya dengan menjadi tukang cuci tandas dan cuci pinggan mangkuk. Ia bermula sekadar suka-suka dengan mengikut ibunya bekerja di kedai nenek beliau.

“Sebab selalu tengok mak rasa penat saya pun tolong mak buat kerja sekali. Satu hari nenek bagi upah RM10. Katanya saya rajin buat kerja. Lama ke lamaan upah makin meningkat naik. Teruja pulak. Lepas tu mak mula sakit-sakit jadi mak berhenti kerja. Saya pun tak pergi kerja juga lah” – Laila.

laila-gadis-istimewa-10
Saya tak suka cakap dekat orang yang saya tak dengar. Sebab saya tak suka orang simpati kat saya.

laila-gadis-istimewa-1

Rasa macam hujan sudah henti, sebab tiada tanda kilat petir lagi. Sambung balik layan dokumentari penguin. Tiba-tiba saya teringat sesuatu.

Dulu masa di sekolah rendah dan menengah sering dibuli kawan-kawan. Sering diejek pekak, sering diejek penguin sebab cara saya jalan macam penguin.

Walaupun kini masing-masing sudah dewasa mereka masih panggil saya pekak dan penguin bukannya Laila. Bila tengok dokumentari penguin rasa macam kita yang jalan atas salji tersebut, golek-golek atas salji. Erk! Masa kat Kashmir saya buat macam penguin buatlah. Hahahaha!

Bekerja dan Berniaga

Pada hari terakhir SPM, sebaik selesai menjawab kertas terakhir, Laila mencuba nasib memohon kerja di sebuah kedai  buku dan beliau diterima bekerja.

Menariknya Laila langsung tidak memberitahu majikannya bahawa beliau tidak boleh mendengar.

Sebaik saja bekerja, perasaan lain pula yang melanda gadis ini.

“Teruja sebab dapat kerja tapi ada rasa takut sebab saya berkerja dengan orang normal. Sebab nak jadi pekerja terbaik saya sanggup buat kerja berat. Saya sanggup dibuli asalkan dapat kerja lagi lama.

Bekerja dekat kedai itu saya dapat belajar macam-macam. Saya pernah dihantar ke koperasi sekolah. Sambil-sambil layan adik-adik beli barang dekat koperasi saya tengok penjual jalanan berniaga.

Tengok macam mana dia tarik budak-budak beli barang yang dijual. Betul-betul buat saya minat nak berniaga. Sebab masa itu masih baru bekerja saya hanya mampu tengok mereka meniaga.

Tapi sempat juga saya sembang-sembang dengan mereka pasal berniaga. Oleh kerana saya jaga koperasi sorang je masa itu, saya cuba jadikan koperasi saya tempat berniaga. Nak cuba jadikan diri sebagai peniaga.

Masa saya umur 18 tahun bos tanya you mahu kerja tetap dekat sini? Jika mahu boleh mula buat KWSP. Disebabkan ada KWSP, gaji dipotong untuk caruman. Bukan sikit wooooooo. Banyak dia potong. Hahahah.

Masa itu tahu kumpul duit je. Jimat kemain, hahaha. Satu hari saya beranikan diri pergi stadium bola sepak dekat KL. Masa itu ada perlawanan bola sepak. Tak ingat siapa punya game. Sebab tak ada tiket saya hanya pusing-pusing kat luar stadium.

Masa itu di luar stadium ada orang jual macam-macam yang berkaitan dengan perlawanan bola. Tiba-tiba benda ini menarik minat saya tapi saya tak minat bola. Pikir punya pikir tiba-tiba datang idea untuk bisnes artis-artis luar negara.

Saya lupa siapa artis pertama yang saya jual mula-mula dulu. Sewa tapak kat luar stadium punyalah mahal. Barang-barang yang dijual macam baju ada gambar artis, tag nama dan macam-macam lagi, tapi tak laku”.

laila-gadis-istimewa-11

Rugi beribu-ribu ringgit tapi saya sedikit pun tak patah semangat. Masa itu saya fikir mungkin saya salah buat. Entah berapa tahun saya masih buat benda ini.

“Saya masih ingat hari terakhir saya buat jualan masa konsert Super Junior. Saya pikir benda ini bukan rezeki saya. Saya redha diatas kerugian tadi.

Oleh sebab saya jenis yang tak reti nak putus asa, datang pulak minat nak terbang sana-sini. Mesti perlukan duit yang banyak. Saya buka bisnes online jual barang yang ada dalam kedai di tempat saya kerja.

Sebab saya staff kat situ, harga dapat mestilah murah. Dapat untung sikit pun dah teruja hahaha. Sampai sekarang saya masih kekal jual online barang-barang tu.

Selain daripada itu saya juga jual benda-benda yang tengah trending di masa kini. Sebab untung tak banyak saya cuba cari cara lain nak tambah duit.

Saya cuba main forex. Ini kerana tertengok bos main. Susah wooo. Gigih belajar. Beribu-ribu rugi. Entah kenapa tak ada nak taubat.

Alhamdulillah akhirnya saya berjaya dapat untung. Tahu tak rasanya bila bertahun-tahun gagal lepas tu berjaya? Hahahah itulah saya rasa. Tapi saya dah berhenti buat forex sebab benda ini buat saya hilang fokus betul.

Sekarang saya berniaga online. Saya tengok mana-mana produk yang boleh dijual, saya cuba jadi orang tengah untuk jual produk tersebut. Saya juga masih jual di online barang dari dalam kedai yang saya bekerja sekarang untuk dapatkan duit tepi. Kisah saya yang sangat perit. Hahaha” – Laila.

Berbalik kepada pekerjaan pula, sudah 12 tahun Laila bekerja dengan majikan yang sama sejak selepas SPM yang lalu. Majikan juga melayan beliau dengan baik.

laila-gadis-istimewa-12

Hari ini bos besar datang melawat ke tempat saya kerja. Bila saya masuk kedai, bos tak pernah lupa cakap ayat kegemaran saya “Laila I miss you. Are you ok? I miss you too boss. I fat so I very-very ok”

Kalau nak tahu boss besar inilah yang taja alat pendengaran saya yang mahal-mahal. Walaupun dia orang tahu peluang hanya 10/100 mereka tetap ingin saya cuba. Mana mungkin saya boleh lupa apa yang mereka berikan pada saya. I miss you boss. You always in my heart.

Minat Travel

Sewaktu memerhatikan akaun Facebook gadis ini, saya dapat rasakan beliau seorang yang suka berangan. Status dan catatan di wall Facebook beliau juga adakala kelihatan kelakar.

Saya cuba bertanya tentang kisah travel beliau. Pada awalnya Laila kelihatan teragak-agak untuk bercerita. Alasannya, cara beliau travel hanya biasa-biasa saja dan tidak semeriah orang lain.

Namun begitu saya yakin ada yang menarik daripada kisah travel gadis istimewa ini. Apatah lagi ianya adalah kisah seorang gadis yang mempunyai masalah pendengaran.

Menurut Laila, sering melihat orang lain travel dan bercuti membuatkan beliau turut berminat untuk mencuba.

Pernah jugak terpikir, boleh ke aku bercuti tanpa orang yang aku kenal? Dah lah tak dengar, kan menyusahkan orang lain pulak?

Bila pikir balik, bila nak jadi macam dia orang kalau tak cuba. Dah cuba baru tahu boleh atau tak. Tapi saya selalu suka cuba macam-macam, dah biasa jatuh naik. Mungkin dari situ datang keberanian saya.

Sehingga kini Laila telah berjaya travel ke 6 negara iaitu China, Singapura, India, Indonesia, Korea dan Vietnam. Meskipun begitu, ada antara negara tersebut yang telah beliau jejaki sebanyak 2 ke 3 kali. Walaupun pernah mengulang travel ke negara yang sama ia tidak pernah buat beliau berasa kesal. Sebaliknya ujar Laila beliau sentiasa rasa terhibur di sepanjang percutian.

Ada yang beliau pergi secara berkumpulan, ada dengan ajensi pelancongan dan diikuti kemudiannya beliau memberanikan diri travel secara solo.

laila-gadis-istimewa-7

“Bila bercuti saya tak guna alat pendengaran. Alat pendengaran dengan saya sebenarnya tak serasi. Untuk tak menyakitkan kepala dengan bunyi-bunyi aneh, saya bercuti tanpa hearing. Tanpa bunyi ini bagus sebenarnya. Rasa tenang je” – Laila.

Mengenang kembali saat pertama kali akan travel, inilah yang telah Laila kongsikan;

Perasaan masa kali pertama ke luar negara?  Teruja dan rasa bersyukur sangat sebab semua seperti yang saya impikan. Saya ingat lagi kali pertama saya bercuti masa itu musim salji dah lepas. Saya cakap dekat seorang abang ni, “teringin nak rasa salji. Sekejap pun tak apa”.

Masa nak jalan shopping tiba-tiba salji turun. Bertambah-tambah teruja dan gedik saya main salji. Walaupun salji turun hanya dalam 15 minit saya tetap teruja. Orang sekeliling pun ikut main dan teruja. Jakun namanya, hehehe.

Masalah Semasa Travel

Sebagai seorang insan istimewa, pastinya ada masalah yang dilalui oleh Laila semasa travel dan berikut adalah diantaranya:

1. Perbualan

Saya pernah travel dengan satu kumpulan. Sebelum sertai mereka saya ada bagi tahu dekat kumpulan yang saya tak dengar. Mungkin mereka lupa jadi sewaktu mereka berbual saya rasa tersisih.

Ada sedikit rasa sedih sebab tak dapat sertai perbualan tersebut. Walaupun ada minta ulang balik, kebanyakkannya ada yang cakap “abaikan je, lupakan je”. Ayat macam itu dah buat saya terguris. Mungkin masa itu bukan rezeki saya.

Walaupun ada rasa terkecik hati saya tak boleh salahkan dia orang. Jadi saya kena buat sesuatu supaya mereka tahu akan kewujudan saya.

Untuk pastikan mereka berbual dengan saya, saya akan mulakan topik walaupun saya tahu sebutir ayat mereka pun saya takkan faham.

Sekurang-kurangnya saya cuba. Selain ajak berborak saya jugak ajak mereka bergambar bersama. Saya juga cuba berlawak. Yang penting saya dah cuba.

2. Selalu dapat makanan lain daripada yang diminta

Bila ada kedai makan yang menunya tanpa gambar dan hanya bertulis ia jadi susah untuk saya pilih makanan. Sebenarnya memang tak tahu nak makan apa bila dapat menu tanpa gambar ni.

Yang ini kira nasiblah. Kalau yang dipilih tu sedap atau tidak. Tapi bila saya nak, selalu tak dapat sebab dia orang akan bebel panjang.

Sebab malas nak jawab saya pilih makanan yang dia orang cadangkan.  Bila kita pilih tapi mereka ada cadangan bagus jugak sebenarnya. Itu kan tempat diaorang.

Jadi mereka lebih tahu apa yang sedap dari kita kan? Nasib baik sedap. Yang penting juga tak cirit birit. Hahahah.

3. Masalah bahasa

Setiap negara yang saya pergi semua berlainan bahasa. Tak semua boleh cakap English. Kira macam arnab dengan kucing gayanya.

Tapi sekarang semua dah canggih. Handphone dah ada ciri-ciri bahasa yang boleh diguna. Walaupun kadang-kadang bahasa dalam handphone sedikit rosak, sekurang-kurangnya mereka faham apa yang kita mahu.

Boleh juga guna bahasa gerak diri. Maksudnya buat gerak diri yang boleh difahami oleh mereka. Masa bercuti saya jarang bercakap tapi lebih suka guna gerak diri. Rasa macam senang dan tanpa tekanan.

Peristiwa Kelakar Semasa Travel

Berikut merupakan perkongsian Laila di akaun Facebook beliau tentang beberapa peristiwa kelakar yang dialami sewaktu beliau travel.

laila-gadis-istimewa-16

Peristiwa 1

Tabiat aku paling susah nak ubah ialah malas membaca. Tempat aku berdiri ini tempat larangan masuk. Dah terang-terang tulis ‘no entry‘ tapi aku selamba je masuk dan ambik gambar.

Di India ada tempat tertentu tripod dilarang guna tapi aku guna jugak. Paling best masa aku nak ambik gambar, pengawal yang jaga kawasan lari laju-laju untuk halang aku guna tripod.

Kau jerit pun aku tak dengar. Bila aku dah settle ambik gambar baru pegawai sampai kat aku. Aku pulak jalan dengan muka tak bersalah sambil senyum-senyum. Hahahaha. – at Taj Mahal.

laila-gadis-istimewa-17

Peristiwa 2

Masa ini aku lepak kat rooftop tempat aku bermalam. Aku suka tempat tinggi-tinggi. Masa sampai kat hotel ini aku dah naik tanpa izin. Sebab aku tak nampak Taj Mahal, aku tanya kat lelaki yang lalu sebelah aku “bro, where Taj Mahal!

Nak pulak mamat ni layan aku; “Dark, you can not see Taj Mahal”. Aku pun angin. “Alahhhhhhhhh!” Mamat ini dah gelabah dan tanya “what alah?”

Sebab mamat ni layan aku, aku gelak jelah. Mamat tengok aku gelak, dia pun gelak bersama. Maka bermulalah bibit cinta kami. Hahahaha. Cinta yang hanya mampu bertahan sehari — at Taj Mahal.

laila-gadis-istimewa-8

Dari tadi key-in buku novel. Tajuk novel makin pelik. Rasa nak buat novel jugaklah. Tajuk buku Si Pekak Jalan-Jalan. Ermmm. Kau rasa bos nak tak buat novel aku?

Baca: Disahkan Mengidap Kanser, Gadis Ini Travel Ke 7 Lokasi Keajaiban Dunia Dalam Masa 13 Hari

Sesat Semasa Travel

Laila juga pernah sesat semasa travel. Menurut gadis ini bila sesat beliau akan tanda tempat di mana beliau berhenti tadi. Kemudian beliau akan jalan disekitarnya.

“Dah puas pusing-pusing saya balik ke tempat saya tanda tadi. Saya hanya perlu undur ke belakang saja. Biasanya naik bas atau train tu dah betul. Nak ke tempat yang dituju je selalu salah. Hahaha! “.

Menurut Laila, sebelum bertanya kepada sesiapa yang beliau temui di jalanan, beliau akan tulis dulu soalan. Laila jarang bercakap kerana pertuturan beliau yang kadang kala kurang jelas.

Selain tulis, saya jugak ada sediakan gambar. Buat muka comel dulu lepas tu baru tanya. Dia orang mesti pikir kita seronok. Hahaha.

laila-gadis-istimewa-5

Peristiwa Cemas Semasa Travel

Memang penuh warna-warni hidup gadis ini. Selain daripada peristiwa kelakar, Laila juga pernah alami peristiwa cemas sewaktu travel solo di Korea.

Kejadian berlaku di lapangan terbang sewaktu menunggu flight balik ke Malaysia. Ikuti kisah beliau ini.

“Masa tu tunggu je sebab tak rasa nak pusing airport. Mula-mula tempat saya tunggu ramai jugak orang. Lama-lama tinggal saya je dekat situ. Tapi saya pikir awal lagi itu yang saya sorang je.

Bila dah dekat waktu nak gerak rasa macam pelik kenapa tak ada siapa-siapa? Saya pun tunggulah lama sikit dan masih cuba relax. Sebab macam lama dan tak ada respon masa tu saya pun mula gelabah.

Saya pergi lah ke kaunter sana. Tanya guna handphone je, pakai google translate. Mereka kata kapal dah berlepas. Saya pun macam blank sekejap. Lepas tu saya pun tanya kapal seterusnya ada kekosongan tak? Mereka kata penuh.

Masa tu betul-betul bertambah blank. Saya jalan sambil sedih duduk kat tepi sorang-sorang. Tiba-tiba seorang staff datang minta handphone nak tulis sesuatu.

Katanya ada satu tempat kosong iaitu business class. Saya jawap saya tak mampu. Staff tu kata tak apa. Bayar ikut harga tiket yang saya dah beli.

Dengan gembiranya saya cium semua orang kat situ Saya cium perempuan sahaja ok. Alhamdulillah dapat balik dengan selamat dan dapat merasa business class” – Laila.

laila-gadis-istimewa-3

Bila kau sampai airport awal-awal dan kau tak tahu nak buat apa. Dan tak ada apa yang boleh kau buat dekat airport maka kau akan jadi macam ini. Hahaha!

Perasaan Lepas Berjaya Travel Solo Buat Pertama Kali

Diawal sebelum beliau bakal travel sendiri, Laila ada terfikir adakah beliau mampu travel solo dalam keadaan tidak mendengar.

Berbagai persoalan bermain di kepala gadis ini. Risau bagaimana mahu bertanya dalam bahasa yang tidak beliau fahami serta rasa takut mula menguasai diri. Ada masa beliau rasa mahu batalkan saja trip solo tersebut meski pun segalanya telah dirancang.

Selagi belum jejak kaki kat tempat nak pergi selagi itu tak rasa lega. Dalam fikiran tak mahu menyusahkan sekeliling saya Bila dah sampai rasa macam tak percaya je boleh travel solo. Alhamdulillah di awal saya pikir bukan-bukan berakhir dengan dengan senyuman saya yang manis.

Sokongan Keluarga

Meskipun beliau tidak sempurna, Laila menerima sokongan penuh daripada keluarga. Menurut gadis ini, mungkin itulah faktor yang menjadikan beliau berani.

“Mak bapak mana tak risau anak dia bercuti sorang-sorang. Setiap kali bercuti mesti mak abah dan adik beradik pesan jaga diri kat negara orang, hati-hati kat tempat orang, jangan lupa baca doa dan macam-macam lagi. Yang penting ada restu mereka masa saya nak bercuti”.

laila-gadis-istimewa-18

Birthday mak dah nak dekat. Tengah cari tahun ini nak bawak bercuti ke mana? Tahun lepas bawak bercuti ke Indonesia. Tahun ini nak kemana ek? Idea idea idea.

Untuk pengetahuan, Laila juga telah membawa ibu dan adiknya travel ke Indonesia pada tahun lepas.

“Mak mula minat travel bila saya pergi ke sana sini. Macam-macam mak tanya. Dari situ saya dah nampak minat mak. Sebab saya dah nampak minat mak, saya berhajat nak bawak mak ke luar negara setahun sekali. Gembira sebab dapat tunaikan hajat mak nak jalan luar negara” – Laila.

Tadi saya terbaca satu blog ini. Ada satu part saya minat nak kongsi di sini. Tajuk dia lebih kurang macam ini “tak malu ke ada anak OKU?

“Erm jujurnya saya tak pernah tanya keluarga saya sama ada mereka malu dengan saya yang OKU ini hahahha. Tapi saya yakin mereka pasti bangga dengan saya.

Pernah ketika masa lalu saya pernah rasa ‘down’ dengan kekurangan saya ini. Saya pernah luahkan isi hati saya dekat keluarga tentang apa yang saya rasa ketika itu.

Keluarga saya selalu beri kata-kata semangat dekat saya walaupun mereka tahu tak ada cara lain melainkan hanya mampu beri dorongan pada saya. Memang saya benar-benar down dengan orang yang tak reti nak faham dengan keadaan saya ketika itu.

Dengan sokongan family dari situ kekuatan saya datang umpama ultraman yang kehabisan tenaga. Setelah ada sesuatu dorangan terhadapnya tiba-tiba dia bertenaga balik. Hahaha. Erk sama tak? Sentiasa berterima kasih pada keluarga saya sebab sentiasa sokong dan percaya saya” – Laila.

laila-gadis-istimewa-13

Mana tahu satu hari nanti ada rezeki saya untuk mendengar. Selagi saya boleh cuba, saya akan terus mencuba.

Sebelum mengakhiri artikel ini, saya sempat meminta Laila memberikan sedikit pesanan buat anda, pembaca Vocket. Dan berikut adalah catatan gadis istimewa ini:

“Jangan pernah bersedih di atas kekurangan diri sendiri kerana kekurangan itulah sebenarnya kelebihan diri sendiri, kalau kita sedar. Tak ada manusia yang terlepas dari masalah dalam hidup. Jadi carilah masalah. Benda ini akan buat hidup kita lagi mencabar”.

“Bagi yang takut-takut nak travel pula, di awal saya travel dulu saya pun ada rasa takut-takut. Kalau tak lawan rasa takut sampai bila pun tak akan travel”.

“Nak travel tapi tak ada duit? Cuba tanya diri sendiri apa benda yang diri sendiri pandai. Gunakan ia sebagai sumber rezeki. Contohnya macam saya pandai jual barang. Saya cari barang dan jual. Untungnya mungkin sikit saja tapi kalau kumpul lama-lama jadi banyak juga”.

laila-gadis-istimewa-9
Disebalik senyuman ini ada banyak tangisan.

laila-gadis-istimewa-2

Walaupun umur saya dah nak 30 tahun saya masih belum terima diri saya tak dengar. Mungkin suatu hari nanti saya pasti akan terima. Tapi saya bangga dengan diri sendiri sebab boleh buat apa sahaja tanpa susahkan orang lain. Saya pekak tapi saya bangga dengan diri saya.

Dan saya sempat bertanya. “Laila buat bisnes online apa? Jika tak kisah nak share sikit?” Ringkas saja jawapan beliau; “Banyak yang saya buat kak”.

Buat Laila, terima kasih atas perkongsian ini. Sejujurnya saya kagum dengan anda. Semoga Laila terus kuat dan berjaya menggapai semua yang diimpikan. You are just so special Laila!

Baca lagi: Terpisah 20 Tahun, Gadis Ini Travel Solo Ke Korea Demi Menjejaki Ayah Kandungnya