Kisah pengembaraan Trans-Siberian lelaki ini pada awalnya telah diperkenalkan oleh Liyana Mehfar (salah seorang pembaca) The Vocket.

Tanpa membuang masa kami terus menghubungi beliau untuk mendapatkan kisah pengembaraan yang mengujakan ini.

huawei-cover-image-671×373
HYPE
Rasai Pengalaman Masa Akan Datang Dengan Peranti Terbaru HUAWEI Smart Life!
Baca lagi →

Kenalkan Saudara Wazari Wazir, seorang jurugambar professional yang telah berkecimpung dalam bidang fotografi sejak tahun 1993. Wazari juga merupakan photojournalist yang bekerja dengan Kerajaan Malaysia dan sering ke luar negara atas urusan kerja. Menurut Wazari fotografi dan travel telah menjadi sesuatu yang sangat beliau minati sejak sekian lama.

Wazari telah sudi menjawab soalan kami dan berkongsi kisah pengembaraan solo pertama beliau melalui Trans-Siberian yang telah dimulakan dari Rusia dan berakhir di Beijing, China.

trans-siberia-trip-1

Apa yang kita cari dalam hidup berbeza-beza dengan orang lain, minat kita juga berbeza-beza. Amat jarang rasanya kita jumpa orang yang tidak kita kenali memakai pakaian yang sama dengan kita dari hujung rambut hingga hujung kaki melainkan kalau kita sedang dalam kumpulan anggota berpakaian seragam.

16167534927_d7adfcd94d_k

S: Bagaimana bermulanya minat untuk melakukan Trans-Siberian ini?

J: Minat saya bermula sejak 15 tahun yang lalu, ketika saya terbaca satu artikel di dalam surat khabar tentang kejayaan seorang wanita rakyat Malaysia yang melakukan solo trip Trans-Siberian Railway bermula dari Helsinki, Finland hinggalah ke Beijing, China. Saya cukup teruja dengan gambar-gambar serta pengalaman yang dikongsikan sepanjang trip tersebut.

Semasa zaman bujang saya memang suka membaca artikel-artikel tentang kisah-kisah pengembaraan. Bila saja saya jumpa artikel yang menarik maka saya simpan dan filekan untuk tujuan rujukan. Cuma pada ketika itu perjalanan tersebut dirasakan seolah sesuatu yang hampir mustahil untuk saya lakukan namun ianya tetap menjadi inspirasi dan membakar semangat saya.

trans-siberia-trip-3

Sebenarnya salah satu sebab saya memberanikan diri travel solo ke Rusia ialah semasa kejadian MH17 di tembak di Donetsk, saya terlibat dalam misi mencari dan menyelamat di sana di bawah MKN (Majlis Keselamatan Negara).

Saya sampai di Kiev, Ukraine 19 Julai dan berada di sana hingga 25 Julai 2014. Dalam tempoh tu saya sempat keluar sendirian di bandar Kiev, Ukraine. Ukraine dulu adalah sebahagian dari Soviet. Rasa tak bahaya sangat, so dari sana baru timbul sedikit keyakinan untuk buat solo trip ke Rusia.

15 tahun yang lalu amat sukar untuk kita dapat maklumat tentang perjalanan tersebut. Pada waktu itu internet bukan seperti hari ini yang mana sesiapa sahaja yang memiliki smartphone hari ini boleh melayari internet untuk mencari pelbagai sumber maklumat.

Pada waktu itu hanya sumber dari majalah dan buku-buku sahaja yang menjadi rujukan, tetapi masih tidak banyak buku tentang Trans-Siberian. Kini dengan kemudahan internet, semakin mudah saya melakukan homework untuk merealisasikan impian saya yang telah lama terpendam.

trans-siberia-trip-6

Somewhere in Irkutsk, Siberia – hear no evil, see no evil, speak no evil.

Dengan sedikit homework yang saya lakukan menerusi pembacaan dari buku panduan Trans-Siberian Railway Handbook serta dari pembacaan berpuluh-puluh laman blog tentang perjalanan ini menjadikan saya bertambah bersemangat dan yakin untuk melakukannya.

Perjalanan yang pada mulanya dianggap hampir mustahil untuk dilakukan semakin menampakkan jalan dengan research yang dibuat.

trans-siberia-trip-5

S: Apakah perasaan Wazari apabila dapat menyelesaikan misi pengembaraan Trans-Siberian ini?

J: Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya melalui tulisan di sini, satu kepuasan yang tidak terhingga. Segala jerit perih dengan jumlah masa yang cukup banyak saya habiskan untuk mengatur perjalanan ini akhirnya tercapai juga.

trans-siberia-trip-11

Dan senja pun berlabuh…

Perjalanan ini juga mengajar saya bahawa Rusia bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh berita-berita dari barat, kebanyakan orang yang saya jumpa sepanjang perjalanan baik di dalam train dan juga di hostel dan hotel tempat saya tinggal adalah baik-baik belaka cuma mereka bukanlah seperti kita yang terlalu cepat melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja. Kita perlu mengambil masa untuk mengenali mereka.

trans-siberia-trip-7

Kisah hampir-hampir tertinggal keretapi.

Hampir 12 jam saya menunggu di stesen keretapi akhirnya baru nampak nombor train yang saya nak naik tu di paparan skrin elektronik. Lega rasanya. Lepas tu nampak platform mana train tu akan berhenti. OK platform nombor 1. Saya pun bergegas mencari platform nombor 1. Ikut arah orang ramai turun, saya pun follow.

Tiba-tiba saya jadi gelabah. Yang saya nampak platform nombor 3 & 4, 4 & 5, 5 & 6. Ke hulu ke hilir saya mencari, mana pulak platform nombor 1 ini. Saya dah kalut. Salah stesen ke aku ni. Yang saya tahu train tu hanya akan berhenti selama setengah jam sahaja. Kalau terlepas, saya kena beli tiket baru dan tunggu 3 ke 4 hari lagi dan mungkin seminggu lagi untuk train yang nak ke destinasi saya tuju tu sampai.

Cepat-cepat saya jumpa polis yang jaga situ. Polis tu pun tak tahu cakap BI. Saya tunjuk tiket saya dan nombor platform. Dalam samar polis tu baru nampak apa yang tertulis dalam tiket tu.

Polis tu mengarahkan saya keluar stesen dan ambik kiri. Cepat-cepat saya lari keluar. Dahlah sejuk kat luar tu, gelap lagi. Baru nampak platform 1, kecik sangat tulisan dia. Tu yang gambar ni blur-blur sikit. Ambik sambil berlari.

Pucat muka saya, tuhan saja yang tahu waktu itu.

16570521838_a9e065a8ce_h

How cold Siberian in winter?  Come in person and feel it yourself.

18024103499_34e0b09bf6_h

Dinginnya Siberia tak boleh nak digambarkan. Perlu dirasa. Kita biasa dengar angin dari Siberia. Cuba try test berada di Siberia in winter.

S: Ada momen atau detik mencemaskan telah dilalui sepanjang trip ini?

J: Memang terdapat momen-momen yang bagi saya agak mencemaskan. Untuk pengetahuan semua ini adalah trip pertama saya ke Rusia, sebelum ini saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Rusia apalagi bersendirian negara orang.

17069638072_a6970df6a2_h

Detik cemas bermula sebaik sahaja saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo di Saint Petersburg dari Kota London.

Semasa melalui kawalan keselamatan imigresen, pegawai imigresen tersebut bertanya kepada saya apa tujuan saya ke Rusia, orang-orang di Rusia ni badannya besar-besar termasuklah pegawai imigresen tersebut. Timbul rasa takut dalam hati sebab negara Rusia ini bukanlah sebuah negara yang senang-senang kita boleh masuk seperti kebanyakan negara di Eropah.

trans-siberia-trip-15

Stesen subway di Moscow memang macam art gallery. Setiap satu berbeza. Kiri kanan tu laluan Metro atau LRT. Kalau takde apa nak buat di Moscow, ambik gambar setiap subway dia pun dah OK sesangat. Boleh buat photobook.

Saya pun beritahu dia dalam Bahasa Inggeris, yang saya akan melakukan perjalanan Trans-Siberian Railway dari Saint Petersburg ke Beijing, China. Dia tidak percaya dengan kata-kata saya dan masih lagi enggan mengecop passport saya. Kemudian dia meminta saya menunjukkan tiket keretapi yang telah saya beli untuk meyakinkan dia.

Lalu saya pun keluarkan sebuah file berwarna biru yang lengkap dengan itinerari perjalanan saya, tiket keretapi, booking form hostel yang telah saya tempah secara online serta detail lokasi tempat-tempat yang akan saya singgah sepanjang berada di Rusia.

Setelah pegawai imigresen tersebut berpuas hati melihat isi kandungan file tersebut, maka barulah dia mengecop passport saya. Leganya hanya Tuhan sahaja yang tahu, kini saya telah lepas memasuki Rusia.

17968940870_e6bddec197_h

Semasa saya keluar dari stesen keretapi di Irkutsk, saya nampak semua ranting-ranting pokok putih-putih. Pendek kata semuanya diliputi salji. Saya jadi takut nak keluar stesen. Takut baru jalan separuh dah beku pasal masa di St Petersburg dan Moscow tidak seteruk ini. Bila dah hampir seminggu meninggalkan Moscow baru Moscow dilanda hujan salji yang lebat.

Selepas keluar dari sekatan pegawai imigresen tersebut ada lagi detik cemas. Saya tiba di Saint Petersburg pada jam lebih kurang 4pm, musim sejuk December 2014, dah masuk waktu maghrib time tu. Gelap sudah keadaan diluar.

Sebaik sahaja melangkah keluar saya didatangi oleh seorang lelaki ini menawarkan perkhidmatan teksinya. Masa tu saya belum lagi menukar wang Rubles. Saya kata pada dia, I’m waiting for my friend. Selepas saya menukar wang di airport, terserempak lagi dengan lelaki tersebut dan sekali lagi dia menawarkan perkhidmatan teksinya.

Dia mengekori saya sampai keluar pintu utama lapangan terbang. Saya mula rasa tidak berapa selesa.

Saya risau juga sebab dari apa yang saya baca, potensi untuk kena tipu dengan pemandu teksi di sini agak tinggi juga.

Bila dah mati akal, saya kata padanya yang saya memilih untuk menaiki bas dan kemudian beliau memberitahu pada saya tiada bas di situ.

17997283388_9ac21366a8_h

Cuma bila bercakap tentang Rusia ni, orang kata dan saya juga secara personal bersetuju, kalau kita betul-betul ingin melihat Rusia kita kena datang pada waktu winter. Baru kita boleh nampak orang-orang Rusia memakai pakaian yang tebal-tebal dan juga mengenakan topi kepala atau Ushanka yang unik kepada Rusia.

Memang tidak kelihatan sebuah bas pun di hadapan pintu utama lapangan terbang ini. Tetapi daripada apa yang saya baca, memang ada bas yang menyediakan perkhidmatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo yang akan membawa penumpang hingga ke stesen Metro terdekat iaitu di Stesen Metro Moskovskaya.

Saya tidak berputus asa lalu mundar mandir di hadapan airport tersebut dan baru saya perasan signage atau papan tanda kecil yang menunjukkan arah hentian bas. Saya pun ikut arah tersebut, dan hampa lagi kerana tidak nampak sebuah bas pun di situ. Hari semakin gelap dan semakin sejuk, suhu ketika itu dibawah paras beku.

trans-siberia-trip-12

Somewhere in Siberia. Kebanyak kawasan perumahan yang macam ni masa train lalu agak sunyi. Susah nak jumpa orang di luar rumah. Mungkin terlalu sejuk agaknya, ramai yang stay di dalam rumah.

Tidak lama selepas itu saya ternampak sekumpulan penumpang bergegas naik ke sebuah kenderaan MPV berwarna yang tertulis perkataan “Moskovskaya” dibadan van besar tersebut, dalam hati saya rasa mungkin MPV inilah yang dikatakan bas.

Lalu saya pun ikut masuk ke dalam perut MPV tersebut dan tanpa banyak soal saya hulurkan wang kecil kepada pemandu MPV tersebut itupun selepas saya melihat penumpang lain menghulurkan sejumlah wang kepada pemandu tersebut. Yang penting kini saya selamat dari diekori lelaki tadi.

Syukur Alhamdulillah lebih kurang sepuluh minit perjalanan saya tiba di hadapan Setesen Metro Moskovskaya, semua penumpang dalam MPV tersebut turun dan menuju ke stesen metro tersebut.

17587721564_76c8b41f07_h

Syukur alhamdulillah sampai jugak ke sini. Biasa tengok gambar jer. Kali ni berdiri teguh depan mata. Syukur alhamdulillah dipermudahkan oleh Allah untuk hambaMu ini sampai ke sini – Masjid Kul Sharif.

Semasa di Kazan, sewaktu dalam perjalanan menuju ke Masjid Kul Sharif, saya telah ditahan oleh seorang anggota polis Rusia, memang cemas sangat saya rasa ketika itu, kalau boleh memang saya tidak mahu ditahan oleh polis Rusia kerana dari apa yang saya baca, sama ada betul ataupun tidak, ada sesetengah polis di Russia ini yang suka mengambil kesempatan ke atas pelancong.

Saya ditahan mungkin kerana anggota polis tersebut berasa curiga dengan saya mundar mandir berseorangan di dalam stesen metro tersebut. Saya mundar mandir bukan pasal apa, saya tercari-cari kaunter jualan tiket untuk menaiki Metro menuju ke Masjid Kul Sharif. Puas saya berjalan ke sana ke sini namun gagal berjumpa kaunter tiket metro itu.

Bila menghampiri saya, dia meminta “dokumen” mulanya saya tak faham, “dokumen” apa yang dimahukan oleh polis ini. Lalu dia menunjukkan isyarat “buku” dengan kedua belah tangannya dirapatkan dan dibuka seolah-olah membuka sebuah buku. Baru saya faham, mungkin dia mahu melihat passport saya.

trans-siberia-trip-10

Setelah dia membelek-belek passport saya, sangkaan saya dia akan membebaskan saya. Sebaliknya dia memanggil saya mengikutinya masuk ke dalam sebuah bilik kecil yang terdapat di dalam stesen metro tersebut.

Saya mula rasa cuak, hati dah berdebar-debar, apa lagi yang tidak cukup dalam passport tu.

Menambahkan lagi rasa takut di hati tatkala ternampak jeriji besi disebelah kanan kerusi tempat saya duduk, jerisi besi yang tidak berpenghuni itu seolah-olah menanti seorang tetamu tetapi saya bertawakkal dan buat-buat “cool”.

trans-siberia-trip-16

Kazan Railway Station.

Anggota polis tersebut mengambil passport saya dan kemudian membuka laptop komputernya, saya tidak nampak apa yang beliau lihat kerana terlindung dari pandangan saya. Beliau seolah-olah sedang memeriksa sesuatu berdasarkan maklumat visa di dalam passport saya.

Selepas lebih kurang lima minit, dia mengajak saya keluar dan terus membawa saya ke kaunter tiket untuk saya membeli tiket dan memberitahu pada orang yang menjual tiket tersebut “Tourist”. Dia juga kemudian menunjukkan cara-cara bagaimana hendak menggunakan token tiket metro tersebut dan memberitahu pada saya di hentian Stesen Metro mana saya perlu turun untuk ke Masjid Kul Sharif. Syukur Alhamdulillah.

S: Ada momen paling menarik atau lucu yang dilalui sepanjang trip ini?

J: Momen yang lucu mungkin tidak ada, tetapi ada juga momen yang menarik, antaranya sewaktu saya berada di salah sebuah hotel di Irkutsk, saya berjumpa dengan receptionist di sana. Tujuannya adalah untuk meminta mereka printkan tiket kapal terbang saya dari Beijing ke Kuala Lumpur.

16219493776_9a1d445e86_k

Memandangkan dia tidak boleh berbahasa Inggeris dan saya pula tidak pandai berbahasa Rusia, kami berkomunikasi ibarat ayam itik dan juga menggunakan bahasa isyarat.

Walaupun permintaan saya itu bukanlah susah sangat tetapi menjadi sukar kerana dia tidak faham kehendak saya, hinggalah saya terpaksa menggunakan Apps Google Translate yang terdapat di dalam smartphone saya untuk memudahkan urusan.

Permintaan saya itu hanya terlaksana setelah lebih setengah jam berkomunikasi, padahal permintaan itu boleh diselesaikan dalam tempoh kurang lima minit.

trans-siberia-trip-17

Pasar ni bukan salah satu destinasi pelancongan. Mungkin peniaga ni rasa macam pelik saya ambil gambar kat sini. Ikan tu saya tak beli tapi saya beli pisang dan epal jer. Cukuplah alas perut. Nak cari nasi beriani mutton kari, jangan haraplah. Ikan tu beku dan keras. Kalau baling kat orang, pengsan…

S: Ada info atau kisah lain yang ingin Wazir kongsikan dari trip Trans-Siberian ini?

J: Sekadar makluman perjalanan paling lama saya dengan train Trans-Siberian ini ialah selama lebih 67 jam, tiga hari dua malam dalam keretapi iaitu perjalanan dari Kazan ke Irkutsk, jarak perjalanan sejauh 4250 KM.

Selain daripada itu ada juga kisah pengalaman saya bersama warganegara dari Korea Utara, kami berkongsi kabin dalam perjalanan dari Ulaanbatar, Mongolia ke Bejing, China yang memakan masa perjalanan lebih 24 jam.

trans-siberia-trip-8

With North Koreans. Ulaan-Batar to Beijing. 28 hours train journey.
Masa dengan North Korean tu, dia friendly sangat. Apa saja dia minum dan makan bagi kat saya.

Ada sekali tu dia offer air macam air mineral, botol pun dalam botol air mineral, saya dengan confident minum jugak. Air sebijik macam air mineral, takde bau apa. Tapi bila minum tekak rasa panas tapi bukan macam minum air panas, panas berbahang. Alcohol mungkin tapi saya tak pernah minum alcohol, so tak tahu macam mana rasanya.

Yang saya tahu rasa panas tekak, dorang ketawa jer tengok memek muka saya yang menahan kepanasan. Baru seteguk rasa panas tekak, ibarat kita tertelan minyak tanah. Lebih kurang macam tulah rasa dia, panas tekak, sekali tu jer saya minum.

Ada tiga orang warga Korea Utara yang berkongsi kabin dengan saya, seorang daripadanya boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris walaupun tidak berapa lancar.

Pada mulanya kami buat hal masing-masing pasal belum kenal tetapi selepas beberapa ketika berbual, kami semakin selesa diantara satu sama lain dan setiap kali mereka ingin makan, pasti mereka akan mempelawa saya untuk makan sekali.

trans-siberia-trip-9

My friend from North Korea. Dia lama bekerja di Mongolia.  4 ke 5 tahun di Mongolia lepas tu baru nak balik North Korea. Singgah Beijing 2 ke 3 malam sebelum ke North Korea. Ayah kepada seorang anak usia 7 tahun yang dah 4 ke 5 tahun ditinggalkan bagi mencari rezeki di Mongolia. Dia sedang melihat buku panduan Trans-Siberian Railway yang saya bawa.

Ada satu ketika salah seorang daripada mereka mengajak saya menemaninya untuk makan di “Dining Car” yang terletak beberapa gerabak didepan, sebenarnya kami diberikan kupon makanan percuma sebelum sampai ke Beijing tetapi malangnya bila sampai sahaja di “Dining Car” tersebut, tempoh masa telah tamat, maka kami pun kembali ke kabin dengan perut kosong.

Kami agak lewat tiba di “dining car” tersebut untuk menikmati sarapan pagi percuma.

trans-siberia-trip-13

Tapi… Apa yang menyedihkan saya, antara gambar yang paling mahal dalam trip ni bukan hasil rakaman kamera Fujifilm X100T tetapi hasil rakaman kamera iPhone 4 yang dah usia hampir 4 tahun. Bukan saya yang nak bergambar tetapi student dari Ulan Ude (Buryatia) yang sibuk nak bergambar. Sebelah kanan saya tu, ambil HP saya, dia bagi pada penumpang duk depan saya (penumpang dari Antalya Turkey, isteri orang Russia). So orang Turkey tu tolong ambik gambar ni. Hampir 3 hari kami satu compartment. Serously, gambar ni mereka yang request.

trans-siberia-trip-14

Berapa bajet untuk Trans Siberian?

Depending on level of comfort yang you nak. Nak jimat travel macam saya guna Platzkart atau 3rd class tapi way better than 3rd class Indian Train. 2nd class mahal sikit. 1st class lagi mahal. Tapi untuk photographer 3rd Class is the best. Banyak moment boleh kita rakam, sebabnya compartment kita open.

2nd class and 1st class closed compartment, ada pintu boleh tutup. Cuma untuk 3rd class ni better ambil lower bed. Sebab kalau ambil katil atas, agak sempit. Muat-muat untuk baring dan tidur sahaja. Nak duduk atas katil bahagian atas tu tak lepas, nak makan kena turun share dengan bangku orang bawah. Kalau dia friendly ok, kalau tak friendly jadi macam unwanted guest.

Better get lower bunk bed. Saya ada try katil atas, bawah dan juga 2nd class. 3rd class is way more fun for my taste. Kalau solo, pilih 3rd class, more secure. Kalau solo pilih 2nd class, anda akan tidur satu bilik tertutup dengan 3 orang asing (ikut nasib).

Untuk katil bawah kena book awal, pasal yang ni biasa habis awal.

S: Ada pesanan yang Wazari ingin berikan pembaca TheVocket yang mahu melakukan trip Trans-Siberian seperti ini?

J: Pesanan saya kepada sesiapa sahaja yang berhajat untuk melakukan trip Trans-Siberian ini agar melakukan sedikit homework dan sebelum kita apply Visa Rusia, detail itinerary itu perlu ada untuk memudahkan kita mendapat visa.

Seringkali kita dikhabarkan tentang mafia dan segala perkara yang tidak baik tentang Rusia, orangnya bengis, serius dan tidak friendly, pergilah ke Rusia untuk mengetahui perkara sebenar.

trans-siberia-trip-4

Agak sukar ambil gambar tanpa memakai glove, tapi kalau pakai glove lagi susah nak ejas button itu ini. So setiap kali nak amik gambar kena bukak glove. Sejuknya memang susah nak cakap. Waktu ni somewhere -10 to -17. Tapi dah datang jauh-jauh, ambik jugaklah untuk kenangan…

Sesiapa yang berhajat untuk ke Rusia pada musim sejuk iaitu antara bulan December hingga Mac, sediakan baju sejuk yang tebal yang bersesuaian, suhu di Siberia boleh mencecah antara – 20 hingga -40.

trans-siberia-trip-19

Ada masa-masanya bila saya melihat sesuatu pemandangan yang cantik sedang saya melihatnya dari dalam viewfinder kamera saya, saya letakkan kamera kerana biarlah saya tidak dapat merakamnya asalkan saya boleh lihat keindahan tersebut sepuasnya tanpa ada gangguan dari kamera saya.

Mungkin saya rugi kerana terlepas peluang merakam sesuatu yang indah tetapi saya berpuas hati kerana dapat melihatnya tanpa hijab walaupun hanya menerusi cermin tingkap keretapi sahaja.

trans-siberia-trip-2

“Cermin, Ya. Tak salah jika orang bilang hidup itu adalah sebilah cermin. Dunia di matamu sesungguhnya adalah cerminan dari hatimu sendiri. Caramu memandang dunia adalah caramu memandang diri. Jika dunia penuh kebencian dan musuh ada di mana-mana, sesungguhnya itu adalah produk dari hatimu yang dibalut kebencian.” – Agustinus Wibowo

Jangan takut untuk keluar mengembara, bila kita semakin kerap keluar mengembara, barulah kita sedar bahawa apa yang kita dengar dan lihat selama ini bukanlah seperti mana keadaan sebenarnya.

trans-siberia-trip-18

Mesej saya ialah, berusahalah untuk mengembara, untuk mengenal hati budi saudara sesama kita, baik yang satu agama, satu budaya, satu warna kulit ataupun berlainan agama serta adat dan budaya.

Tetapi kita harus mengembara dengan hati serta fikiran yang terbuka, sekiranya kita kembara dengan hati serta fikiran yang tertutup, maka amatlah sedikit manfaat yang akan kita terima.

Kepada kaki traveler pula pengalaman menaiki keretapi merentasi Siberia hingga ke Beijing adalah satu pengalaman yang akan dikenang sepanjang hayat, terutamanya semasa musim sejuk yang mana kita boleh lihat sepanjang perjalanan dikelilingi salji serta banyak tasik-tasik yang membeku akibat suhu yang terlampau sejuk.

Akhir sekali, Wazari sebenarnya mempunyai impian yang lebih besar yang ingin beliau penuhi.

My ultimate dream untuk train travel ni, atau impian saya ialah memulakan perjalan berkeretapi dari Lisbon Portugal hingga ke KL Sentral, melalui Europe, Russia dan China. Route tu memang possible. Sekarang sedang merancang. InsyaAllah, hopefully boleh beri inspirasi pada orang lain. Mungkin orag tak  nampak yang kita memang boleh travel by train From Lisbon to Kuala Lumpur.

lisbon-trans-siberian

Saya bercadang untuk mencari pihak penaja (sponsorship) yang berminat mempromosikan jenama anda di Russia secara khususnya dan dunia amnya. Di dalam setiap penulisan pengalaman saya di Blog ini, saya akan mempromosikan jenama anda, mungkin boleh letak banner anda di bawah setiap post artikel yang akan saya tulis nanti di laman web saya.

Kepada sesiapa yang berminat, anda boleh hubungi Wazari melalui email [email protected] untuk perbincangan lanjut.

Anda juga boleh membaca pengalaman kembara Wazari di website www.wazariwazir.com dan Facebook Page Wazari Wazir Photographer.

TheVocket mendoakan impian Wazari tercapai dan seterusnya dapat memberi inspirasi kepada pembaca untuk mengembara melihat dunia. All the best!

BACA: Berbasikal Dari London Ke Malaysia, 3 Pemuda Ini Bertemu Anjing Yang Mengajar Erti Sahabat Sejati

BACA juga: 9 App Percuma Yang Boleh Bantu Anda Travel Dengan Lebih Mudah

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Anda Mungkin Suka