Semalam tular di media sosial kes membabitkan pelajar dipercayai dari Matrikulasi Perak disaman sebanyak RM1,500 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana tidak mengikut SOP COVID-19.

“Student matrikulasi Perak kena kurung for the whole semester but end up KKM masuk cafe pergi kompaun RM1.5k dekat student… KEPALA HOTAK DIA kitorang punya elaun pun 6 bulan RM1250 jeh hanat,” kata pengguna media sosial Nabil Amirul yang memuat naik video kejadian terbabit.

https://twitter.com/NabilAmirul4/status/1384072742933200896

Tidak lama selepas kes itu tular, @InjangNation, seorang pengguna Twitter berkongsi tangkap layar dipercayai dari salah seorang pelajar Matrikulasi Perak.

Difahamkan kes terbabit bermula apabila terdapat isu keracunan makanan di salah sebuah kedai makan yang terdapat di dalam institusi pendidikan terbabit.

Daripada isu keracunan makanan, ia bertukar menjadi isu yang lebih besar apabila para pelajar yang berada di situ di saman kerana tidak memakai pelitup muka.

https://twitter.com/InjangNation/status/1384105365957087232

“Nak dijadikan cerita, di orang datang kolej sebab kes food poisoning, sekali ramai pelajar kena compound tadi sebab tak pakai mask. RM1.5k weh, mana nak cekau duit.

“Kami student and tak pernah balik dah 4 month lebih almost 5 month. Takde contact luar. Lecturer and staff kolej je boleh keluar masuk. Asal KKM datang nak raid kes lain lepastu student kena tempias?” Kata kenyataan yang dikongsikan oleh akaun @InjangNation.

Namun melalui tangkap layar seterusnya oleh akaun yang sama, difahamkan bahawa pelajar terbabit sudah diberitahu lebih awal kedatangan pegawai KKM dan pihak KKM sendiri sudah memberitahu mereka bahawa perlu patuh kepada SOP yang telah ditetapkan.

Isu ini juga telah mendapat perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah. Dia berkata dalam ciapannya bahawa kes ini sudah di bawa ke pengetahuan Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan siasatan segera sedang dijalankan.

“Siasatan segera sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Terima kasih atas aduan ini kepada KKM dan perkara ini akan diambil tindakan secepat mungkin. InshaAllah,” kata DG Hisham di laman Twitter.

Isu dua darjat

Kes yang tular semalam ini telah berkembang kepada isu dua darjat. Satu isu yang lama sudah diperkatakan oleh rakyat Malaysia sejak SOP COVID-19 dikuatkuasakan dan saman dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000.

Para netizen di Twitter memberi perbandingan bagaimana kes-kes daripada kluster kayangan lepas tanpa usul periksa mahupun saman.

Manakala rakyat biasa yang kerja hariannya makan gaji dan mengharapkan ihsan orang lain disaman terus tanpa usul periksa atau dibuka kertas siasatan.

Perbandingan paling nyata bagi netizen adalah isu paling dekat dengan kita di mana selebriti Neelofa dengan terang lagi bersuluh melanggar SOP, tetapi pihak berkuasa tidak terburu-buru mengeluarkan saman malah memilih untuk menyiasat kes terbabit terlebih dahulu.

Selain itu juga beberapa menteri yang didapati melanggar SOP juga mendapat layanan yang sama apabila pihak berkuasa tidak meneruskan saman ke atas mereka.

“Negara kita sangat lucu, mereka boleh menyaman pelajar tetapi tidak [berani] menyaman ahli politik yang bebas bergerak ke mana-mana secara terbuka,” kata Suhana di dalam ciapannya.

“Dah banyak kali sangat rakyat marhaen simply kena saman tapi kalau vvip menteri, tak kena apa apa pun. Beria la orang kecam tapi tak kena apa apa tindakan. Bulan puasa ni lagi makbul doa orang yang teraniaya,” tulis NajwaKhan di laman Twitter.

“Mereka hanya pelajar, bahkan belum bekerja lagi, [dan] tinggal di kampus selama sekitar 5 bulan atau lebih. Ditambah lagi dengan tak boleh keluar. Saya tahu SOP mesti diikuti, tetapi sila bertimbang rasa. Jika menteri atau artis ni confirm lepas atau buka siasatan dulu,” kata Howell.

Perkara ini juga telah mendapat perhatian dua bekas menteri yang nyata tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan kepada pelajar terbabit.

Dr Mazlee, bekas Menteri Pendidikan telah meminta bantuan orang ramai untuk mencari kesahihan laporan terbabit.

Manakala bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq pula mengkritik saman yang dikeluarkan kerana bersifat dua darjat.

“Kalau pelajar, tak perlu buka kertas siasatan. Kompaun terus. Dah banyak kali kita tegur perlaksanaan double standard macam ni. Apa salahnya tegur dulu sebelum kompaun? Apa yang susahnya?” Katanya dengan tegas di laman Twitter miliknya.

Situasi ini telah membuatkan kebanyakan rakyat Malaysia kecewa dan mengecam tindakan pihak berkuasa yang memilih bulu siapa yang patut disaman. Kebanyakan daripada mereka tidak berpuas hati dengan layanan dua darjat kepada mereka yang mempunyai kuasa dan wang.

Untuk rekod, sejak berita ini ditulis, hanya DG Hisham yang tampil kehadapan dan membuat kenyataan. Tiada apa-apa kenyataan daripada pihak Matrikulasi mahupun Kementerian Pendidikan mengenai kes terbabit.

Belum ada tindakan ke atas Neelofa dan PU Riz, pendakwa raya kembalikan kertas siasatan kepada polis. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Belum Ada Tindakan Ke Atas Neelofa Dan PU Riz, Pendakwa Raya Kembalikan Kertas Siasatan Kepada Polis

Gara-Gara Selebriti Langgar SOP, Surat Pelepasan Negeri Diperketatkan Dengan Laporan Itinerari?

Kompaun Langgar SOP Dinaikkan Kepada RM10,000 Buat Netizen Berang Dan Tidak Puas Hati