Nota Editor: Terima kasih buat Tuan Muslih Thani, pengurus di Azmi & Co. (Estate Agency) KL Sdn Bhd kerana sudi berkongsi tip-tip di bawah. Melihatkan beberapa syarikat antarabangsa mengambil keputusan untuk mengecil atau memberhentikan operasi di Malaysia, yang menyebabkan pemberhentian kakitangan mereka – nota ini datang tepat pada masanya. Didoakan buat mereka yang terjejas daripada peristiwa ini terus tabah dan kuat menghadapi dugaan. Kami di Vocket mendoakan semoga anda bertemu dengan cara baru untuk mencipta pendapatan sendiri dan selamat maju jaya!

Ada rakan-rakan saya yang gelisah terpaksa diberhentikan kerja. Diberi beberapa bulan gaji untuk dijadikan pampasan. Ada yang berniat untuk memulakan bisnes. Nak keluarkan produk sendiri. Ada yang nak melabur ke dalam skim yang bercambah di media sosial sekarang.

Apa yang saya nasihat kepada mereka:

1. Mereka yang tidak pernah berniaga jangan pandai-pandai menggunakan duit pampasan berkenaan sebagai modal perniagaan.

2. Sekiranya nak berniaga bermula dengan apa yang ada sekarang. Diri kita adalah modal yang paling baik. Kenali apa perkara yang anda sebenarnya boleh buat dengan bakat yang ada. Kenali potensi diri anda.

3. Ceburi dalam bidang perkhidmatan, mungkin anda ada bakat tertentu, perkhidmatan yang tidak memerlukan modal atau modal yang sangat rendah seperti, jurumekap, jurugambar, pemandu pelancong, ejen insurans dan takaful, penulis buku atau ebook, penterjemah, ejen dropship, ejen produk orang lain, ejen hartanah dan sebagainya.

4. Cari guru atau mentor perniagaan anda. Buat sedikit pelaburan untuk ilmu menguruskan wang dan perniagaan.

5. Kembangkan sedikit demi sedikit dari servis atau perniagaan yang anda lakukan. Jangan membuat hutang sebagai modal perniagaan.

6. Duit pampasan? Anda boleh terus simpan di tempat yang memberi dividen contohnya Tabung Haji, fix deposit, saham amanah dan membeli emas.

7. Jangan sesekali meleburkan duit pampasan anda. Mungkin boleh digunakan sedikit untuk survival anda.

8. Kurangkan perbelanjaan kehendak atau tidak perlu. Hapuskan perkara yang membebankan. Senaraikan apa perkara yang membebankan satu persatu. Cari jalan selesaikan perkara yang membebankan tersebut. Mulakan yang paling ringan untuk dihapuskan atau dikurangkan. Sebagai contoh ada dua kereta, salah satu kereta boleh dijual. Ya, terpaksa ubah gaya hidup. Ada gajet lebihan seperti iPad, telefon bimbit dan sebagainya iklankan di mudah.my jual semuanya yang tidak memberi apa-apa keuntungan. Kasut-kasut koleksi isteri yang dalam almari itu juga jual. Bukan pakai semua pun. Baju-baju dalam almari juga begitu. Ada ke orang nak beli? Daripada terperuk dalam almari apa kata cuba jual. Boleh juga buat car boot sales. Sertai acara car boot sales.

9. Seiring dengan mengurangkan perbelanjaan tidak perlu, harus tingkatkan pendapatan. Berganding bahu suami, isteri dan anak-anak untuk tingkatkan pendapatan. Sebagai contoh letak atau tumpang nasi lemak di kedai makan orang lain. Kerepek, sandwich atau makanan yang ringan dan murah letak di kantin sekolah. Dan pelbagai cara lagi. Sama-sama satu keluarga brainstorming.

10. Sentiasa menanam cita-cita kearah menjadi pelabur iaitu duit yang bekerja untuk kita.

11. Dan yang paling penting dan mustahak, jaga hubungan dengan Allah. Sebelum ini kita sibuk dengan kerja kita sehingga solat merasa beban, tetapi kalau kita sibuk nak solat, solat mampu meringankan beban kerja. Amalkan amalan sunat seperti tahajud dan dhuha. Elak daripada melakukan maksiat – maksiat mata, telinga, perbuatan, percakapan dan sebagainya.

12. Sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah.

13. Berkawan rapat dengan orang yang berjaya. Jauhi teman-teman negatif.

14. Doa dan tawakal. Berserah sepenuh hati. Kita merancang, Allah jua merancang. Allah adalah sebaik-baik perancang.

InsyaAllah sama-sama kita bersedia menempuh kehidupan yang mencabar ini.

Muslih Thani

*Layari Facebook page Muslih.my untuk tip-tip hartanah.

BACA: Pesanan Buat Mereka Yang Baru Berhenti Kerja Untuk Berbisnes

BACA Lagi: Jelita, Anjung Seri, Malaysian Business Gulung Tikar

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram