Anda nak ke Melbourne dalam masa terdekat ni? Dah beli tiket penerbangan tapi masih tak pasti samada nak sewa kenderaan atau tidak?

Sebelum anda jawab persoalan samada perlu sewa kereta atau tidak, siapkan dulu itinerari. Apabila dah tahu ke mana nak pergi, baru boleh buat keputusan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Secara amnya, jika lebih banyak masa diluangkan di Bandar Melbourne (Central Business District), tak perlu sewa kereta. Lebih baik menggunakan sistem pengangkutan awam. Sistem pengangkutan awam di Melbourne adalah antara yang terbaik di dunia. Jangan lupa untuk semak lokasi FREE TRAM ZONE. Anda boleh naik tram sepuasnya secara percuma di kawasan tersebut.

tip-memandu-di-melbourne-11

tip-memandu-di-melbourne-10

tip-memandu-di-melbourne-9

tip-memandu-di-melbourne-8

 

Jika anda bercadang untuk meneroka kawasan luar bandar, sewa kenderaan untuk memandu sendiri adalah yang terbaik. Contoh tempat-tempat popular di luar bandar adalah Great Ocean Road, Philip Island, Mornington Peninsular dan Yarra Valley.

Dah buat keputusan dah? Betul nak sewa kereta? Jom baca panduan yang saya sediakan.

1. LESEN MEMANDU

tip-memandu-di-melbourne-5

Asalkan ada lesen memandu yang sah di Malaysia, anda boleh terus memandu di Australia. Tidak perlu memohon lesen memandu antarabangsa. Jika anda masih pakai lesen memandu yang lama (warna merah jambu dan do ‘laminate’), lebih baik tukar kepada yang baru (berbentuk kad). Lesen yang baru lebih jelas dan sudah ada terjemahan dalam Bahasa Inggeris.

Walaubagaimanapun, lesen memandu Malaysia hanya sah untuk tempoh enam bulan dari mulanya tempoh visa. Jika mahu bermastautin di Australia lebih lama, anda harus memohon lesen memandu Australia.

2. PANDU DI BELAH KIRI

tip-memandu-di-melbourne-1

Seperti negara Komanwel yang lain, cara pemanduan adalah di belah kiri. Tempat pemandu duduk adalah di belah kanan kereta. Sama sahaja di Malaysia. Tapi jika anda lupa juga, ada banyak papan tanda yang ditulis “Drive on the left”.

3. TALI PINGGANG KELEDAR

tip-memandu-di-melbourne-7

Pastikan pemandu dan semua penumpang memakai tali pinggang keledar di sepanjang perjalanan. Kanak-kanak bawah 7 tahun harus menggunakan children’s car seat atau booster seat. Biasanya syarikat sewa kereta ada menyediakan children’s car seat untuk disewa (AUD 12 untuk sepanjang tempoh sewa oleh Apex Car Rental).

4. MINYAK

Harga minyak petrol/diesel di Australia berubah mengikut hari dan tempat. Biasanya, stesen minyak di kawasan bandar menjual minyak dengan harga lebih murah berbanding di luar bandar manakala harga paling murah adalah di tengah minggu.

Aplikasi Waze boleh digunakan untuk mencari stesen yang menawarkan harga minyak yang paling murah. Tetapi semasa saya di sana, tak semak pun. Mana stesen minyak yang sempat sampai, pergi sahaja. Risau minyak habis di tengah jalan pula.

5. TOL

Di Melbourne jalan raya ber-tol tiada pondok tol. Semuanya automatik. Hanya ada papan tanda yang menunjukkan lokasi jalan ber-tol bermula. Jika terlepas pandang, akan terus masuk jalan ber-tol. Bayaran tol tidak dikutip terus, tetapi akan di ‘charge’ ke kad kredit anda. Nombor pendaftaran kenderaan akan di ‘scan’ dan terus ‘link up’ ke akaun kad kredit.

Apabila dah pulang ke Malaysia baru dapat tahu berapa bayaran tol yang dikenakan.

*Semasa pendaftaran untuk menyewa kereta, syarikat akan meminta pelanggan mengisi borang untuk tujuan ‘auto deduction’ daripada kad kredit untuk tujuan bayaran tol.

6. HAD LAJU

Patuhi had laju. Lebuh raya di Australia ada menggunakan AES seperti di Malaysia. Tetapi yang paling digeruni adalah pegawai polis trafik yang boleh muncul tiba – tiba dari semak samun menaiki motor berkuasa tinggi untuk menyerahkan surat cinta (saman) kepada anda jika anda bawa kenderaan melebihi had laju.

Jika ditulis 50 km/jam, ikut sahaja. Had laju maksima di lebuh raya adalah 100 km/jam. Kalau sanggup kena saman, boleh cuba bawa melebihi had laju. Jangan lupa ‘convert’ harga saman ke Ringgit Malaysia.

7. TEMPAT LETAK KERETA

Sebelum anda nak ‘parking’ kereta di Melbourne, anda kena fahami dahulu tanda – tanda yang ‘parking’ di Melbourne.(Rujuk gambar untuk contoh tanda).

i. 1P ( 7am – 6pm), bertulisan hijau:

tip-memandu-di-melbourne-2

Boleh letak kenderaan secara percuma selama 1 jam sahaja antara jam 7 pagi hingga 6 petang. Jika ada tanda 2P atau 3P, maksudnya anda boleh meletak kenderaan selama 2 jam atau 3 jam.

Jika tertera perkataan TICKET atau METER, bayaran akan dikenakan untuk ‘parking’ di situ. Bayaran boleh dibuat di mesin tiket berdekatan. Jika ada permit, pastikan ia ditayang di cermin hadapan kenderaan.

“Alah, bukan orang tahu pun kita ‘parking’ berapa lama”

Jangan bijak sangat. Ruang letak kenderaan di Melbourne telah dipasang sensor yang boleh mengesan tempoh kenderaan diletakkan diruang letak kereta. Pegawai penguatkuasa boleh semak dengan mudah tanpa perlu membuat rondaan berkala. Hebat tak?

ii. CLEARWAY dengan tulisan C berwarna merah:

tip-memandu-di-melbourne-3

Dilarang meletakkan kenderaan langsung semasa waktu yang ditetapkan. Kenderaan akan disita jika didapati kenderaan telah menghalang jalan.

iii. PERMIT ZONE (Merah)

Permit Zone In Australia
Australian special parking zone regulation sign: Permit zone

Hanya kenderaan yang mempunyai permit sah boleh meletakkan kenderaan di ruang tersebut.

8. TRAM

tip-memandu-di-melbourne-16

Salah satu keistimewaan Melbourne adalah sistem tram nya. Tram juga adalah cabaran utama ketika memandu di Melbourne. Laluan tram berkongsi dengan laluan kenderaan lain. Biasanya, laluan tram terletak di bahagian tengah jalan raya; antara dua lorong bertentangan.

Anda harus sentiasa ingat “the tram always has the right of way”. Anda perlu sentiasa memberi laluan kepada tram. Jika anda lihat ada tanda hentian tram berhampiran, sentiasa berhenti di BELAKANG tram. Anda harus mengosongkan laluan untuk penumpang tram turun dan naik.

9. HOOK TURN

tip-memandu-di-melbourne-4

Pernah tak anda memberhentikan kenderaan di bahu belah kiri jalan untuk belok ke kanan? Itulah keistimewaan pemanduan di Melbourne. Only in Melbourne city: the infamous Hook Turn.

Hook Turn dilakukan apabila anda lihat adanya papan tanda berbentuk mata kail atau ‘J’ terbalik, biasanya di simpang yang memerlukan anda merentas laluan tram.
Bagaimana caranya (untuk belok ke kanan)?
1. Berhentikan kenderaan di belah paling kiri jalan.
2. Berikan isyarat ke kanan.
3. Apabila lampu isyarat hijau untuk ke simpang yang diingini menyala, baru masuk simpang ke kanan dan merentas laluan tram.

Macam pening kan? Lebih baik tonton video yang dihasilkan oleh VicRoads (disertakan sekali).

10. KANGAROO

tip-memandu-di-melbourne-6

Nampak comel bukan? Rasa nak peluk je. Tapi di jalan raya, kangaroo adalah road hazard. Bukannya kereta yang melanggar kangaroo, tetapi kangaroo yang melanggar kereta (biasanya dari tepi). Oleh itu, berhati hati ketika memandu terutamanya di luar bandar. Kalau boleh, elakkan memandu di waktu malam. Di kawasan luar bandar, jalan raya tiada lampu jalan. Anda juga perlu berhati hati dengan haiwan lain seperti Wombat, Wallaby dan sebagainya.

Baca:  12 Tip Travel Dan Memandu Sendiri Di Melbourne, Australia

11. ETIKA

tip-memandu-di-melbourne-19

Majoriti pemandu di Melbourne amat baik dan mengikut peraturan.

Berikan sahaja isyarat untuk menukar lorong, pemandu dari belakang terus akan beri laluan.

Di laluan yang sesak, tiada satu pun kenderaan yang menyalahgunakan lorong kecemasan. Semua pemandu akan menunggu giliran dengan sabar.

Apabila anda mengikut had laju ditetapkan, kenderaan yang dibawa dengan lebih pantas dibelakang akan bawa dengan tenang tanpa mencucuk – cucuk dan ‘flash’ lampu. Apabila ada peluang memotong, baru dia akan memecut melebihi had laju.

Jadi, apabila dah sampai di Melbourne, pandulah dengan hemat. Jangan memalukan negara Malaysia.

tip-memandu-di-melbourne-18

tip-memandu-di-melbourne-16

tip-memandu-di-melbourne-15

tip-memandu-di-melbourne-14
Saya harap panduan yang saya sediakan dapat membantu. InsyaAllah, anda akan enjoy memandu di Melbourne. Jangan terlalu berkejar – kejar untuk sampai ke destinasi, sebaliknya nikmati pemandangan ketika memandu. Jangan lupa beli Kopi Dare. Nikmat yang tidak terkata apabila memandu sambil menghirup Kopi Dare Mocha.

Selamat memandu, Mates

Ahmad Firdaus
Jalan Doktor

Baca lagi: 5 Tip Sebelum Anda Melangkah Keluar Dari Lapangan Terbang Melbourne, Australia