Alkisah pada suatu hari, di luar bilik lelongan awam…

“Aku dah give up la nak melabur dalam rumah lelong. Asyik kalah bidding je. Dahlah ramai orang. Semua bajet besar-besar pula tu. Macam mana aku nak menang. Baik aku melabur dalam (isi tempat kosong) lah macam ni.”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Suasana rumah lelong.
Suasana ketika lelongan.

Chill bro.

Nak menang rumah lelong ni berkait rapat dengan rezeki. Tapi mungkin tip di bawah boleh bantu sedikit sebanyak.

1. Terokai kawasan baru

Jangan taksub dengan kawasan yang ramai orang suka. Atau kawasan yang sudah terkenal (contoh: kawasan sebelah LRT). Memang ramai orang nak beli di situ. Masa lelong, harga naik melampau sampai kita hanya mampu geleng kepala.

Kita kena berani beli di kawasan yang orang lain masih ragu-ragu. Elak kan dari ‘herd’ mentaliti atau ikut-ikutan. Baru la mudah nak dapat harga reserve.

2. Beli hartanah di kawasan yang kurang panas tapi masih menguntungkan

Tip ini berkait rapat dengan tip #1.

Saya ada seorang rakan yang melabur di kawasan suam-suam kuku di pinggir Selangor. Ketika orang lain sibuk membida rumah flat sehingga naik hampir RM 200k, beliau sibuk membeli rumah lelong atas tanah pada harga sekitar RM 100k dan selalu mendapat harga reserve kerana tiada saingan. Secara purata, rumah yang beliau beli dalah di sekitar 40%-50% di bawah harga pasaran.

Bila beliau tengok orang lain berlawan sampai harga naik melampau, beliau hanya mampu tersenyum.

3. Harga reserve tidak terlalu rendah

Jangan tunggu harga reserve nak cecah 50% bawah harga pasaran baru nak terkial-kial masuk bid. Masa tu dah ramai pembida lain bukak mata. Semua terbeliak. Akhirnya masa lelong, semua pakat lawan sampai naik sehingga harga pasaran.

Saya cadangkan masuk bida pada ketika harga reserve sekitar 20% bawah pasaran. Peluang nak menang pada harga munasabah adalah lebih tinggi.

4. Dapatkan info yang tepat

Bila nak beli rumah lelong, rujukan harga pasaran amat penting. Kena bandingkan harga pasaran dari beberapa sumber (valuer, internet, brickzmy etc) dan ambil harga purata. Tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi.

Kalau terlalu konservatif (amik harga pasaran terendah dan set limit 40% bawah harga tersebut), memang sampai bila-bilalah asyik buat bank draft dan tebus bank draft.

5. Set expectation yang munasabah

“Aku kalau nak beli lelong, mesti 30% – 40% bawah harga pasaran. Kalau kurang dari tu, aku tak nak.”

Boleh bro kalau nak set target macam tu. Tapi janganlah bida rumah di tengah KL atau tepi LRT.

Dalam mimpi je boleh dapat kot.

6. Dapatkan khidmat ejen lelong yang berpengalaman

Mereka ada banyak info dan pengalaman. Buat kawan dengan mereka. Follow rapat.

Banyak good deal yang mereka tahu dulu sebab mereka ni hari-hari tengok senarai lelong. Yang mana tak logik nak menang murah, unit yang mana ada harapan bagus. Semua di dalam kepala mereka.

7. Jangan putus asa

Pelaburan rumah lelong ni memang tidak boleh lari dari konsep cuba jaya. Kalah sekali tidak bermakna kalah berkali-kali.

Saya sendiri pernah mencuba sehingga 15 kali berturut-turut sebelum berjaya membida sebuah unit apartment 50% bawah harga pasaran. Memang berbaloi-baloi.

Akhir kata, saya ucapkan semoga berjaya kepada semua pembida rumah lelong di luar sana!

Kalau nampak saya kat bilik lelong, sudi-sudilah tegur ya!

Pelajari bagaimana untuk mendapatkan rumah lelong dalam artikel 5 Tip Membeli Rumah Lelong Dengan Cepat, Selamat Dan Mudah.