Ikea membeli 83,000 ekar tanah hutan pada bulan lepas. Pada bulan April, Apple membeli 36,000 ekar tanah hutan. Apakah yang menyebabkan kedua-dua syarikat gergasi ini membeli tanah hutan mereka sendiri? Hanya kerana satu sebab – untuk menguruskan tanah-tanah ini.

Pada tahun lalu, kita menyaksikan beberapa syarikat besar membeli ladang-ladang penjana tenaga angin dan solar. Syarikat-syarikat ini, iaitu Walmart, Facebook, Apple, Ikea dan Google – kesemuanya mempunyai perancangan untuk membina atau membeli ladang-ladang tenaga lestari (renewable energy). Ikea sedang berusaha untuk menjadi syarikat yang menggunakan tenaga lestari secara sepenuhnya. Facebook sudah pun menggunakan tenaga lestari pada salah sebuah pusat data mereka. Kini, ada di antara syarikat ini, mengambil langkah lebih proaktif dengan menguruskan sumber bahan-bahan yang digunakan di pejabat mereka – seperti membeli hutan yang membekalkan sumber kertas dan kayu mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pada tahun lalu, The Wall Street Journal melaporkan Ikea telah membeli hampir 100,000 ekar tanah hutan di Romania dan Baltik – selepas syarikat ini telah dituduh menjalankan aktiviti pembalakan secara ‘ekstrim’ di Russia dan melenyapkan hutan lama yang bernilai tinggi. Syarikat ini tidak lagi mendapatkan sumber kayu dari Russia, tetapi kini akan mendapatkan sumber kayu mereka dari hutan di Romania dan menjalankan aktiviti penanaman semula. Sementelah lagi, kini Ikea merupakan pembeli sebanyak 1% daripada pembekalan kayu dunia, dan kini bercadang untuk mengurangkannya menjadi separuh. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Ikea untuk menjadi syarikat “positif hutan” dalam jangka masa lima tahun, dengan menanam lebih banyak pokok kayu daripada apa yang mereka gunakan.

BACA: Inginkan Percutian Resort Ala Hutan Tropika? Kami Sarankan Anda Pergi Hutan Costa Rica

Pada perkembangan yang lain, Apple baru-baru ini membeli tanah hutan seluas 36,000 ekar di Maine dan Carolina Utara. Hutan di kawasan ini dikenali sebagai “working forests”, atau hutan yang membekalkan sumber kayu dan kertas kepada industri secara lestari. Apple dan sebuah organisasi yang dipanggil The Conservation Fund, yang bekerjasama untuk sebuah projek pemuliharaan, berkata, “working forests” ini kini kian dimajukan untuk tujuan-tujuan lain. Ini adalah berita buruk untuk industri kayu dan kertas, dan juga berita buruk untuk hutan-hutan lain yang tidak digunakan sebagai “working forests” – seperti yang diberitahu oleh Lisa Jackson dari Apple:

“Kita berada dalam zaman yang menyaksikan perpindahan pemilikan tanah yang paling banyak dalam sejarah. Sepanjang 15 tahun lalu, kita sudah kehilangan sebanyak 23 juta ekar tanah hutan yang membekalkan pulpa, kertas dan kayu-kayan untuk produk-produk yang kita gunakan. Ini sudah menghampiri saiz negeri Maine. Oleh kerana tanah hutan masih lagi giat dijual dan bertukar tangan, kira-kira 45 juta ekar tanah lagi berisiko untuk dimajukan.”

Objektif Conservation Fund adalah untuk menghadkan penggunaan “working forests” kepada tujuan-tujuan tertentu sahaja selain sebagai sumber pembekalan produk kertas. Perkara ini bertujuan untuk “memastikan penuaian mampan dan menghadkan pemecahan atau penukaran status tanah hutan kepada penggunaan bukan hutan,” kumpulan itu menulis lagi.

Idea ini dipelopori oleh para saintis termasuklah seorang pakar ekologi Harvard bernama David Foster, semasa temubual dengan The New York Times tentang kerja beliau dalam bidang pengurusan hutan pada tahun 2009. Rumusan beliau tentang masalah ini.

“Pada masa sekarang kita melakukannya (pembalakan) di tempat-tempat yang kita tidak nampak. Kita mahu memelihara tanah hutan, tetapi, kita tinggal dalam sebuah rumah dan sukakan kayu. Dari mana kayu-kayu ini datang? Ia datang dari British Columbia dan Malaysia – dan memotongnya (balak) akan merosakkan banyak kawasan hutan simpan dengan tanpa pengawasan.”

Ikea dan Apple, walaupun mereka mahu memelihara alam, mereka masih lagi sebuah badan korporat. Mereka masih mempunyai objektif berbeza berbanding pakar ekologi, badan-badan pemeliharaan alam sekitar dan saintis. Tetapi nampaknya, mereka sudah menjumpai jalan tengah untuk menguruskan hutan-hutan yang telah mereka terokai dengan cara yang lebih baik, hasil kesedaran orang ramai.

Amatlah menarik untuk melihat perkembangan situasi ini pada masa akan datang – di mana kerjasama dengan badan-badan korporat dapat memperkuatkan penggunaan “working forest” dan melindungi hutan-hutan simpan dan ekologi alam yang tersimpan di dalamnya. Semoga negara kita dapat menggunakan satu dua idea dalam artikel ini untuk menguruskan hutan dengan lebih mampan.

BACA Lagi: 12 Villa Di Malaysia Dengan Kolam Renang Persendirian Ideal Untuk Percutian Romantis

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram