Walaupun model Mustang 2.3 EcoBoost ditamatkan penjualannya di pasaran Eropah, Ford semakin rancak memperkenalkan kereta elektrik pertama mereka kepada dunia yang dikenali sebagai Mustang Mach-E.

Ford Mustang Mach-E adalah SUV crossover elektrik lima pintu yang diperkenalkan pada 17 November 2019 dan sudah mula dijual pada bulan Disember 2020 yang lalu. Kereta elektrik pertama Ford ini telah memenangi Anugerah SUV Terbaik Amerika Utara tahun 2021.

vocket-mustang-mach-e-1
Sumber Gambar: Carscoops

Nama Mach-E diilhamkan oleh varian Mach 1 dari Mustang generasi pertama. Kereta ini dibina pada platform Global Electrified 1 (GE1) yang merupakan versi platform C2 yang digunakan pada Ford Focus generasi keempat.

Ford menawarkan Mach-E dalam beberapa varian powertrain; rear-wheel-drive (RWD) atau all-wheel-drive (AWD) dan dua saiz pek bateri iaitu 68kWh (266hp, 430Nm) dan 88kWH (480hp, 860Nm). Bateri kereta boleh dicaj melalui pengecas rumah AC atau pengecas pantas DC sehingga 150kW.

vocket-mustang-mach-e-2
Sumber Gambar: Ford Mustang Mach-E Presskit

Untuk pek bateri 68kWh SUV elektrik ini boleh dipandu sejauh 370km (RWD) dan 340km (AWD). Manakala pek bateri 88kWh pula, ia mampu bergerak lebih jauh kira-kira 100km tambahan sehingga 483km (RWD) dan 435km (AWD).

Menurut satu sumber dari pihak dalam Ford, pembuat kereta yang berpangkalan di Dearborn itu perlu memenuhi standard pelepasan ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (European Union) yang semakin sukar. Pengeluaran awalnya akan terhad kepada 50,000 unit kerana kekangan bekalan bateri.

vocket-mustang-mach-e-2
Sumber Gambar: Carscoops

Beberapa hari lepas, CNN Business menyatakan Tesla mula hilang pegangan pasaran di kalangan pembeli kenderaan elektrik di US kerana Ford Mustang Mach-E telah mengambil alih pasaran tersebut. Analisis oleh Morgan Stanley menunjukkan bahawa pegangan Tesla jatuh kepada 69% pada bulan Februari, turun dari 81% setahun yang lalu.

Pihak Ford menyatakan 70% pembeli Mustang Mach-E merupakan pelanggan baru Ford, menjadikan kereta itu jauh lebih berharga bagi pembuat kereta tersebut. Lebih daripada 20% penjualan Mach-E datang dari California, tempat model Tesla sangat popular di situ.

Tiada khabar berita samada kereta elektrik terbaru Ford ini akan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi ataupun tidak. Tapi sudah pasti, ia bakal menjadi pesaing yang sengit kepada model kereta elektrik yang lain seperti Tesla dan Porsche Taycan.

Baru-baru ini Ford Eropah mengesahkan kereta Mustang 2.3 EcoBoost tidak lagi dijual pada pasaran Eropah kerana kurang mendapat sambutan penduduk di sana.

Kurang Dapat Sambutan Di Eropah, Ford Hentikan Jualan Mustang 2.3 Ecoboost

‘Kos Tersembunyi’ Yang Anda Perlu Tahu Jika Ingin Memiliki Ford Mustang