Saya teringin untuk berkongsi dengan semua kisah saya ini, agar ianya menjadi inspirasi kepada mereka di luar sana yang ingin mencuba. Sememangnya rezeki Allah itu amat luas. Tak pernah kita terbayang dan boleh anggar dari mana Allah nak datangkan rezeki buat kita tu.

Konsep yang sentiasa saya tanam dalam diri, ialah husnuzhon dengan Allah. Sekiranya ianya memang dah rezeki kita, maka ia tidak akan ke mana. Adalah tu. InsyaAllah. Yakin dengan Allah. Itu yang penting.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Semoga setiap yang saya perkatakan ini adalah sesuatu yang bermanfaat buat saya dan anda semua yang sudi membacanya. InsyaAllah.

Pernah cuba perbagai bisnes

Sebelum ini saya telah mencuba pelbagai bisnes, samada di atas talian atau di luar talian. Semua yang nampak mendatangkan keuntungan (konsep yang silap sebenarnya), saya akan cuba. Saya ni memang seorang yang jenis suka try and error. Cuba dan terus mencuba.

Namun, tidak ada satu pun yang betul–betul ‘lekat’ dengan saya. Saya dapat agak kenapa Allah tidak permudahkan apa yang saya lakukan pada waktu itu. Allah tak nak saya menggunakan waktu kerja pejabat saya dengan kerja sampingan yang mungkin bercampur aduk dengan kerja yang sepatutnya. MUNGKIN? Wallahua’lam. Namun, saya tetap yakin perancangan Allah adalah yang terbaik. InsyaAllah.

Niat asal

Bermulanya perniagaan saya ini, selepas anak saya yang sulong (Alia) memasuki sekolah berasrama. Agak jauh jarak nya dengan kami. Dia di Sekolah Imtiaz Besut sana, manakala kami di Kemaman sini. Nak ke sana mengambil masa lebih kurang 3-4 jam juga.

Alhamdulillah, selepas ada LPT2 ni jarak perjalanan makin cepat juga lah berbanding jalan biasa yang lebih sejam berbanding melalui LPT2. Syukur dah tu. Dah dapat jimat masa dan jimat minyak kereta gak. Hehe. Tapi sekarang dah ada tol. Jadi kos jadi naik juga la. Hihi.

Ok. Berbalik kepada niat asal tadi kan. Sebenarnya saya bermula membuat design dan print ke material tarpaulin ni dengan niat untuk menceriakan kelas Alia. Niat saya, apabila saya menghias dan mencantikkan kelasnya itu, anak sulong saya yang ‘manja’ + homesick’ itu akan lebih ceria dan dapat belajar dengan baik.

Ini kerana seakan-akan saya berada ‘dekat’ dengan dia, memandangkan tatahias dalam kelas dan idea untuk mencantikkan kelas nya itu adalah sumbangan dari saya.

Saya masih ingat lagi, pelbagai cara yang saya lakukan untuk mengutip idea bagaimana untuk menghias kelas ni. Yelah, saya bukannya guru dan tidak biasa dengan persekitaran di sekolah. Apa yang do and don’t. Saya kurang arif.

Alhamdulillah, Allah bukakan jalan buat saya iaitu dengan menyertai  sebuah group guru-guru seluruh Malaysia. Iaitu TcherCollection TC. Saya memang cukup–cukup berterima kasih kepada Arisya Adam dan kawan–kawannya yang menubuhkan group ini.

Banyak info dan maklumat yang dapat saya cedok dari perkongsian dan idea yang diberikan oleh para guru seluruh Malaysia. Allahu. Jasa baik mereka yang membantu takkan saya lupakan.

Saya sangat teruja dengan semangat dan pengorbanan para guru ni. Yelah. Mereka bukan sekadar menjadi tenaga pengajar tetapi mereka semua serba boleh. Kalau saya boleh kalungkan hadiah ke setiap guru seluruh Malaysia ni, akan saya lakukan bagi menghargai jasa mereka. Tapi, mana nak mampu aihh. Ramai tu. Hehe.

Sekarang, apa yang saya mampu lakukan ialah dengan memberikan sekalung doa buat kalian semua yang bergelar guru. Saya sentiasa mendoakan semoga kalian akan di permudahkan dalam segala urusan dan semoga segala pengorbanan kalian akan mendapat barakah dari Allah SWT. Aameen.

Sulamkaseh Enterprise

Dari niat asal yang hanya untuk menghias kelas Alia, saya cuba beralih kepada menjual hasil kerja tangan saya itu. Saya nampak peluang ini selepas membuat promosi di dalam Facebook yang mana agak ramai juga yang berminat.

Jadi saya fikir, apa salah nya saya cuba pula untuk pasarkan produk saya ini kerana ianya mendapat sambutan dari kawan–kawan dan ada juga tempahan dari guru–guru seluruh Malaysia.

Saya masih ingat pada masa itu, sebuah kedai di Kemaman ini ada membuat promosi awal tahun dengan memberi tawaran harga yang agak rendah dari kebiasaan untuk printing. Saya cuba print hasil kerja tangan saya tu di kedai tersebut, dan berasa sangat berpuas hati. Ini kerana kesan penggunaan warna yang terang dan kualiti material nya juga amat memuaskan.

Namun, promosi harga murah itu hanya berlangsung selama 2 bulan sahaja. Dari Januari hingga Februari. Jalan lain untuk saya mendapatkan harga sama ialah dengan menjadi ejen kepada kedai tersebut. Syarat untuk menjadi ejen ialah dengan mengemuka kan salinan SSM syarikat dan sedikit bayaran ke dalam akaun ejen.

Maka tanggal 3 Mac 2016, dengan rasminya saya mempunyai syarikat sendiri. Mula bertatih dengan mengambil tempahan daripada guru–guru. Alhamdulillah sambutan yang boleh di katakan agak memberangsangkan dan saya berasa amat bersyukur kerana mampu mempunyai syarikat enterprise saya sendiri. Syukur.

Selepas setahun berlalu, walaupun jualan agak memberangsangkan namun saya masih belum mampu membuat simpanan tetap. Sekadar lepas kos overhead dan untuk pusingan modal sahaja. Sebagai permulaan, saya sudah berpuas hati. InsyaAllah.

Kenapa saya sangat bermotivasi untuk meneruskan perniagaan ini?

Kenapa saya masih ingin meneruskan sedangkan ianya bukan nya mendatangkan jualan yang begitu lumayan?

Kenapa saya masih melayan permintaan guru–guru ini yang macam–macam itu?

Tidak lain, kerana setting minda saya yang sudah berubah dari mencari keuntungan kepada bisnes yang berkebajikan. Dan, saya sangat–sangat seronok dengan matlamat baru saya ini.

Bisnes berkebajikan

Apa yang memotivasikan saya untuk meneruskan perniagaan saya ini kerana selepas melihat semangat dan pengorbanan guru–guru. Saya dapat nampak semangat mereka itu melalui bagaimana mereka yang sangat bersungguh dan berikhtiar untuk menghasilkan sesuatu bahan untuk di tampal di dalam kelas–kelas jagaan mereka.

Saya sangat terharu dengan segala pengorbanan dan usaha mereka. Jadi, saya bertanya kepada diri kenapa saya tidak berusaha untuk membantu mereka?

Dari situlah, saya betul-betul berazam untuk membantu guru-guru ini.
Sekarang bukan keuntungan yang mendepani matlamat saya, tetapi kerja yang berkebajikan.

Saya sematkan dalam hati bahawa saya sedang membantu guru-guru ini disamping membuat kerja kebajikan kepada mereka. Ye. Saya sebagai pemudah cara kepada mereka.

Segala yang mereka ingin adakan di dalam kelas, saya mudahkan dan bantu.
Dengan hanya bermesej dengan saya, mereka mampu dapatkan apa yang mereka nakkan. Semuanya menjimatkan. Mereka jimat masa dan kos. Jimat masa kerana mereka tidak perlu lagi ke kedai untuk menempah apa yang mereka mahukan, dan jimat kos kerana saya memang tidak meletakkan harga yanĵg tinggi buat mereka.

Biasanya saya hanya caj untuk printing sahaja, dan saya tidak meletakkan caj untuk design yang mereka minta. Terkadang untuk kes-kes tertentu, kos pos pun saya tidak ambil. Malah ada juga ketika nya, saya selitkan juga free gift kepada mereka. Gembira mereka itu yang saya raihkan. Tentu mereka sangat seronok kan. Hee. Alhamdulillah saya sangat senang dengan pendekatan itu.

Pemudahcara dan murah

Dua perkara ini sentiasa saya tetapkan dalam hati. Iaitu bertindak sebagai pemudah cara dan menjual dengan harga yang murah.

Saya berniat untuk memberikan servis yang terbaik buat semua pelanggan. Saya cukup seronok apabila dapat mengembirakan mereka kerana walaupun saya tidak mampu menjadi guru, tapi saya masih dapat menyumbangkan sesuatu buat mereka yang banyak berjasa kepada anak bangsa ini. Dan dalam masa yang sama dapat membantu pelajar-pelajar juga kan? Betul tak? InsyaAllah.

Saya sangat seronok melihat guru-guru ini gembira dengan apa yang saya hasilkan. Saya cukup terharu apabila hasil tangan saya di tampal dan dibaca oleh murid-murid di seluruh Malaysia.

Sekarang saya bukan guru di mana-mana, tapi kerja tangan saya telah menjelajah ke seluruh Malaysia. Kerja tangan saya telah berada di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia, baik di semenanjung mahupun di Sabah Sarawak. Allahu.

Saya sendiri pun belum mampu berada di sana, tetapi ‘kalian’ (hasil kerja tangan saya) telah mendahului saya. Hee. Tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata perasaan gembira saya itu. Terharu, seronok, bangga dan sebagainya. Huhu. Alhamdulillah. Syukur Ya Allah.

Baca: Gadis Berusia 14 Tahun Ini Sudah Mendapat Beberapa Tawaran Daripada Universiti, Semuanya Disebabkan Hobinya

Jualan melonjak naik tahun ini

Bagi mereka yang dah biasa tengok update saya di FB mungkin ada yang dah maklum dengan apa yang saya sedang sibukkan. Bermula awal tahun ini, saya mula menjual set jadual kelas di samping banner–banner lain yang sesuai untuk menghias kelas dan untuk pembelajaran anak–anak di sekolah.

Bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan produk ini adalah sumbangan buah fikiran dari sahabat saya, iaitu Hafidzoh Zainon (Vit) yang telah meminta agar saya membuat satu set jadual yang sesuai untuk di tampal di dalam kelas.

Dia menyerahkan sepenuhnya kepada saya untuk menghasilkan design yang bagaimana, asalkan yang bersesuaian. Kebetulan dalam masa yang sama, kawan sekolah rendah saya iaitu Hasrul Harnani Hamzah (Kak Nani) juga meminta benda yang sama dengan apa yang Vit cadangkan. Bertitik tolak dari situlah saya dilanda dengan kesibukan yang teramat. Gelombang set jadual kelas.

Sepertimana yang di minta oleh Vit, saya berjaya menyiapkan 2 set tema dalam masa 5 hari. Yang pertama adalah Tema Owl dan yang kedua saya namakan sebagai Tema Alatulis.

Untuk setiap set itu mengandungi 5 keping yang terdiri dari Jadual kelas, Jadual Bertugas, Carta Organisasi, Birthday dan Maklumat Kelas. Selepas 2 minggu ianya dijual, baru lah saya terlintas untuk menambah sekeping lagi untuk setiap set, iaitu Selamat Datang dan menjadikan setiap set terdiri dari 6 keping.

Asalnya saya membuat harga promosi untuk jualan iaitu dengan harga RM45, dan pembeli akan mendapat 5 keping untuk satu set. Mereka juga dapat memasukkan nama, gambar, nama kelas dan tahun ke dalam set yang mereka tempah.

Namun selepas saya menerima tempahan yang bertubi–tubi, maka custom made terpaksa saya tutup. Tak menang tangan saya untuk mengendalikan seluruh order dengan mana nak edit lagi, nak kena uruskan rumahtangga lagi. Huhu.

Dan pada asalnya juga, saya menetapkan harga RM45 itu hanya untuk tempoh promosi sahaja. Namun, selepas melihat sambutan yang sangat memberangsangkan dari guru-guru, maka saya membuat keputusan untuk kekalkan harga yang sama cuma saya menutup untuk custom made.

Saya tidak sampai hati untuk naikkan harga kerana saya tahu, ramai juga di kalangan guru ini menggunakan duit mereka sendiri untuk menghias kelas. Pada hemat saya, tidak wajar untuk saya mengaut untung yang terlalu tinggi kepada mereka yang banyak berjasa kepada anak bangsa ini.

Saya masih senang dengan kaedah yang telah saya dahpun sematkan dalam hati iaitu ‘sebagai pemudahcara dan murah’. InsyaAllah.

Rezeki tidak disangka

Kerja utama saya sebenarnya adalah sebagai pengurus rumahtangga. Jawatan ini diberi oleh suami selepas meminta saya berhenti kerja pada akhir tahun 2015.

Kerja menjual ini hanyalah sebagai sampingan sahaja. Yang utama adalah menguruskan hal anak-anak dan hal rumahtangga. Suami memberi izin untuk membuat kerja ini, dengan tidak mengabakan kerja utama saya.

Alhamdulillah setakat ini saya masih mampu kendalikannya. Sebenarnya suami saya (Sukiman Jinazan) adalah pendorong dan tulang belakang saya yang paling kuat. Terima kasih abang.

Saya sangat bersyukur kerana Allah lorongkan saya dengan cara ini untuk mendapat rezeki. Saya juga sangat seronok membuat semua kerja ini kerana saya mampu menjana pendapatan sendiri walaupun berada di rumah.

Saya merasa sangat teruja kerana set jadual yang saya jual ini sangat mendapat sambutan dari semua guru-guru seluruh Malaysia. Sehingga ke hari ini, hampir 500 set telah pun terjual di samping tempahan lain seperti doa, kata-kata hikmah dan bunting pintu kelas.

Yang membuatkan saya lebih teruja apabila mendapat khabar dari seorang pelanggan saya yang mana, guru besarnya sendiri yang mendapatkan set jadual ini untuk diberikan kepada semua guru-guru yang memegang kelas.  Subhanallah terharu nya saya. MasyaAllah. Seronok sangat dengar.

Selain itu, ada juga di kalangan guru-guru ini berpakat antara mereka yang pegang kelas untuk membeli secara pukal. Ada yang membeli sehingga 20 set, 15 set dan 10 set. Ada juga yang repeat order berulang-ulang. Mereka suka dan seronok mendapatkan set ini, kerana ianya sangat murah dan berpatutan. Walaupun berapa kali mereka order, harganya masih sama tanpa ada caj lain.

Memang rare

Selepas anda membaca perkongsian saya ini, ada rasa ‘rare’ dok? Hee.

Yelah. Bisnes saya ni mungkin tak nampak kepentingannya pun pada orang biasa. Namun, pada guru-guru ianya amat membantu. Apa yang saya nak sampaikan di sini adalah mengenai niat dalam berniaga.

Sekiranya apa yang kita usahakan kerana Allah, InsyaAllah Allah akan permudahkan. Rezeki yang tidak disangka-sangka akan datang kepada kita. InsyaAllah. Semuanya bermula dari niat kita.

Sekiranya akhirat yang kita kejar, maka dunia akan mengikut kita. Saham akhirat yang kita dambakan, bukan sekadar saham di dunia semata.

Semoga perkongsian saya ini akan memberi semangat untuk anda untuk mencari redha Allah dalam berniaga agar segalanya dipermudahkan olehNya.. Aameen.. InsyaAllah. Saya selitkan di sini firman Allah SWT

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagiamu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak akan menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.
(QS. Al-Qashash: 77)

Nota kaki tip bisnes ini

Saya ingin kongsi kan di sini beberapa tips sekiranya anda berminat dalam bisnes ini:
1. Membuat kerja dengan perasaan seronok dan enjoy. Tidak stress.
2. Jangan meletakkan keuntungan di depan. Sebaliknya kena betul kan niat hanya kerana Allah.
3. Niat untuk membantu, maka anda tidak boleh memarahi pelanggan anda walaupun mereka salah. Customer is always right.
4. Melayan pelanggan anda sebagai seorang sahabat yang anda dah kenal lama. Peramah dan tidak membuatkan mereka merasa janggal
5. Tidak meletakkan caj yang berlebihan.
6. Tidak boleh memaksa pelanggan untuk membeli barangan kita. Sekiranya mereka mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan untuk membeli, jangan rasa kecewa.
7. Menjawab persoalan dan pertanyaan pelanggan dengan baik walaupun pertanyaan dan permintaan mereka pelbagai.
8. Banyak kan bersabar kerana kita sedang memberikan servis.
9. Cuba memenuhi segala kehendak pelanggan walaupun agak sukar dan seperti tidak munasabah. Ini kerana mereka lebih maklum apa yang mereka mahukan.
10. Membina hubungan yang baik dengan pelanggan. Nasib baik, mereka boleh kekal menjadi sahabat anda sampai bila-bila. InsyaAllah.

Sekian perkongsian daripada saya.
Wassalam.
Imah SulamKaseh Creative.

Baca lagi: Bagaimana Hobi Scuba Diving Bantu Saya Jana Pendapatan Sampingan Di Mesir