Darjah 6, aku pakai seluar bapa aku saiz 36. Aku jadi pengawas sebab badan aku lagi besar dari budak-budak lain.

Tingkatan 5, aku kena pakai seluar Dockers untuk dijadikan seluar sekolah. Style memang style, tapi sebab tak ramai budak 17 tahun pakai seluar saiz 42 masa tu. Jadi kedai jual baju sekolah jarang ambil saiz tu.

Lepas sekolah, aku punya saiz pinggang maintain 40-42. Ada sekejap tu 38. Tu zaman kejatuhan kerja kat Angsana gaji RM680 sebulan. Kurus sikit sebab ikat perut kot. Then sambung 40-42 sampailah umur aku 28 tahun.

Aku dah biasa jadi gemuk. Aku tak hairan pun.

Being fat is cool. Di mana kau selalu dibelanja makan oleh kawan-kawan kerana kawan-kawan suka tengok kesungguhan kau menikmati makan.

“Cab, jom makan. Aku belanja. Aku selera tengok kau makan.”

Ayat ni, aku tak pernah tolak. Aku akan tulis “ON!” Huruf besar berserta tanda seruan.

Being fat is cool dimana bila seseorang itu sedih, kau boleh buat jenaka yang orang boleh terhibur dengan mudah.

Being fat is cool sebab aku rasa aku lebih ‘chick magnet’ dari kawan-kawan aku yang badan sedap dan ada rupa. Ya, chick magnet bukanlah bermaksud aku ramai girlfriend, atau ramai perempuan tergilakan aku.

Maksud aku, aku lebih ramai kawan perempuan. Kawan lelaki mungkin 40% manakala kawan perempuan 60% termasuk 15% makcik-makcik. Mungkin sebab dia rasa aku mudah bergaul atau sebab aku tak macam lelaki lain. Aku gemuk.

Being fat is cool bila mana dalam banyak-banyak kawan, kau selalu diingati sebab fizikal kau yang lebih ‘nampak’ dari orang lain.

Tapi jadilah gemuk yang berkualiti, disukai orang, dan tidak menyakiti hati masyarakat. Jagalah kebersihan, bergayalah sikit, tampil kemas, wangi dan jangan sesekali jadi pemalas. Kalau jadi gemuk tapi pemalas, toksah la jadi gemuk. Jadi je bison.

TAPI, Being fat is not cool when you realise that you’re not healty as others.

SAKIT BELAKANG antara sebab utama aku rasa aku perlu bersenam untuk menurunkan berat badan. Sakit belakang yang aku alami sejak 5 tahun lepas cukup buat aku bosan.

Sampai satu tahap, aku nak keluar dari kereta pun aku terpaksa mengesot supaya tak terasa sangat sakit membongkok. Aku cuba tidur terlentang. Mengiring. Tapi tetap akan datang semula sakit belakang yang tak tahu punca ni.

Aku puas tanya doktor adakah aku ada masalah slip disc tapi doktor hanya kata, “Diet, bersenam, turunkan berat. Tulang belakang pun hari-hari angkut beban boleh rosak tau.”

Sakit kepala aku. Aku shoot wedding for almost 8 years. From day first, aku sedar yang aku tak boleh jadi photographer lebih dari 9 jam. Sebab aku akan mula rasa pening kepala.

Kemungkinan oksigen dalam badan aku tak stabil atau apa. Aku tak pasti yang tu. Beg kamera aku sentiasa ada ubat tahan sakit dan panadol. Yup, antibodi aku lemah. Aku cepat pening kalau buat kerja yang mengambil masa yang lama.

Incontinence Faeces. Bahasa Melayu dia ialah berak tak lawas. Pada mulanya aku rasa normal, jadi lama-kelamaan aku jadi tak puas buang air besar. Aku buang air besar setiap pagi. Dan aku rasa masih belum kosong perut ni sehinggalah aku ambil masa yang lama dalam tandas.

Benda ni aku baru sedar awal tahun lepas. Dan aku ambil remeh sebab itu perangai aku dari kecil. Aku tak suka ambil tahu bab kesihatan.

Aku mula bersenam sebab aku semak kandungan gula aku agak tinggi. Tekanan darah pun sama. Aku dah lama tak berpeluh yang real. Peluh yang dahsyat maksud aku. Peluh yang kau kerah dan bukannya berpeluh sebab panas.

Aku cuba badminton dalam bulan Nov 2015. Tiap Selasa dan Khamis memang cari aku kat court. Ramai nasihat aku badminton ni sukan bahaya. Lagi-lagi untuk orang yang berbadan besar macam aku. Tapi aku degil sebab badminton la satu-satunya sukan yang aku boleh (pandai sikit) main selain dari sukan catur yang lansung tak berpeluh. Dan awal 2016 aku tercedera. Kaki terpusing sebab salah step dan getah kasut dah haus. OK, aku trauma! Sakit sangat.

Kemudian aku berhenti bersukan selama 2 bulan. Tak ada langsung sukan dan aku sedang berada dalam keadaan yang begitu selesa ataupun engkorang boleh panggil ‘comfort zone’.

Perasaan ni aku dah rasa sejak aku kecil. Dan aku mula risau kalau aku kembali seronok dengan comfort zone ni dan terus tak ingat pasal kesihatan.

Faisal, budak rumah aku. Hari-hari berlari. Aku tertarik dengan cara dia yang senyap-senyap tapi he make something interesting. Lari. Satu hari Faisal ajak aku lari. Mijer pun ajak aku lari. Dan kawan-kawan lain macam Po, Mahdy, Alia dan lain lain. Dan aku cuba untuk lari.

Baca: Diet Cara Saya Turun 5 KG Sebulan Dengan Santai Dan Tanpa Berlapar

Tak pernah terfikir dalam hidup aku, aku mampu lari. Malahan masa sukan sekolah pun 100 meter aku dan mencungap nafas bunyi anjing. Tapi larian pertama aku adalah 10km. Dan balik dari 10km aku rasa kaki aku tertinggal kat Crown Danga Bay.

Then, I keep running. Kena ingat. Lari tak boleh buat kau jadi kurus. Dia boleh bantu kau jadi sihat.

Jadi kalau nak hilangkan berat bada, sifir dia macam ni:
70% diet dari permakanan.
30% dari senaman.
Jadinya, jaga pemakanan paling penting.

No lost weight for 1 month. Aku dah mula rasa give up. Jadi betullah orang kata, kalau kau dah gemuk dari kecil, kau takkan boleh kurus sampai bila-bila.

Nope, its wrong. Sebenarnya dalam apa juga benda kau cuba nak buat, kau kena belajar. Yes aku belajar untuk hidup sihat. Pada aku, sihat juga punk. Dan punk itu sihat.

Aku baca mana-mana info kesihatan. Aku elak makanan yang berkalori tinggi. Aku cuba ikut calorie consumption per day aku. Kau boleh Google calorie calculator untuk kau tahu berapa jumlah kalori dalam sehari yang kau patut makan.

Mudah je sebenarnya cuma nak belajar benda yang kau tak pernah ambil tahu tu yang jadi susah. Jadi kenapa aku tak fikir dari dulu. Dan 30 sen baru nak sibuk-sibuk belajar. Kah kah kah!

Konsep penurunan berat PADA PENDAPAT aku, kau cuma perlu elak gula dan kawal kalori seharian kau.

Kenapa gula? Aku tak ada jawapan saintifik dan lengkap. Kau boleh baca kat Google secara terperinci. Aku penat taip ni.

Aku kurangkan pengambilan gula seharian. Aku lebihkan air masak. Aku apa yang dicadangkan kat internet yang manusia perlu 3L air masak setiap hari. Aku ambil 3-4L. Then, EAT CLEAN.

Bahagian ni paling susah. Tapi bahagian ini yang paling nampak impaknya.

Di hari biasa aku cuma makan lauk sahaja. Dan aku memilih. Benda bergoreng aku cuba elak. Tapi kedai makan kat Malaysia ni, jarang tak ada goreng-goreng ni. Jadi kalau aku ingat aku elak. Kalau aku tak tahan aku bedal la sikit buat jamah-jamah.

Aku turun 10kg dalam masa 2 bulan. Aku macam nak sujud syukur. Dari berat aku 128kg, kini berat aku 118kg.

Kemudian aku cuba elak nasi walaupun nasi tak salah. Cuma dia ada kandungan gula. Yup. Langsung tak salah kau makan nasi sebab nenek moyang kita sihat walafiat makan nasi.

Cuma aku kalah kalau makan nasi sebab bila aku makan nasi, aku akan berselera macam bela saka. Jadi aku berhenti terus. Mula-mula memang mengigil, tapi sekarang dah setahun aku elak nasi. Alhamdulillah aku rasa biasa je.

Aku tukar gula kepada stevia. Dan aku elak minum air tin. Aku makan lebih clean, aku makan dada ayam dan sayur pada setiap hari bekerja. Di hujung minggu aku makan chicken chop dan pasta. Aku tak timbang berat selama sebulan. Dan tak lama lepas tu bulan puasa.

Aku hanya berbuka kurma dan kuih. Sebab aku tak nak perut aku sarat. Sebab lepas berbuka aku kena lari 6km-8km setiap Isnin, Selasa dan Khamis.

Larat ke tak ada tenaga? Boleh ke bersukan bulan puasa? Aku pun hairan. Mungkin fadhilat kau berpuasa kot. Walaupun aku tak makan aku masih ada tenaga untuk berlari. Dan aku jarang bangun sahur.

Lepas lari baru aku makan. Dan aku baru tahu, metabolisma aku tengah lari, dan jika aku makan, dan makanan tu akan terus dibakar. Mungkin tak 100% tapi badan aku bakar cepat.

Lepas raya aku timbang dan aku rasa macam nak cium pipi semua orang. Berat aku dah jadi 98kg.

Daripada 118kg ke 98kg pada aku banyak. Sangat banyak. 20kg weh.

Aku teruskan berlari. Aku tak makan nasi. Aku cuba dan terus cuba untuk eat clean. Dan aku telah pun bebas daripada masalah sakit belakang, sakit kepala mahupun Incontinence Faeces. Aku rasa lebih bersemangat dan ceria.

Sekarang berat aku dah 90kg. Daripada pinggang saiz 42 – 35, baju XL ke L. L tu pun sebab aku memang jenis bidang besar pasal darah timur tengah yang mengalir dalam darah aku.

Aku hilang 30kg dalam setahun (anggaran tepat adalah 7 bulan). Berat ideal yang sepatutnya adalah 80kg. Another 10kg to remove! Big thanks to my wife  yang terpaksa bangun pagi sejak kami berkahwin untuk menyediakan makanan “sihat” untuk bekal makan tengahari aku.

Tak lupa ‘Team Lari’ hari selasa, ‘Team Treximo’ yang ramah dan selalu tunggu aku sebab aku lari lambat.

Ya, tak banyak mana penurunan berat kalau nak dibandingkan dengan team Kevin Zahri. Tapi aku masih rasa tersangat bersyukur sebab aku tak pernah pakai seluar saiz 34 sejak daripada sekolah menengah.

Dan sekarang aku dah boleh sarung dengan selesa. Aku tak pernah target apa-apa kecuali kesihatan aku semakin baik. Itu sahaja.

Ya, mungkin aku belum layak untuk beri testimoni tips pengurusan badan sebab aku masih belum capai berat badan ideal. Tapi sekurang-kurangkan aku berjaya buat diri aku selesa sikit dan beransur sihat macam orang lain.

Aku kongsikan apa yang aku dah buat sebab dah lebih 5 orang tanya. Dan sebenarnya inilah salah satu azam 2016 aku yang aku rasa aku dah berjaya capai. Ya, memiliki berat 90KG adalah azam 2016 aku.

Syukur Alhamdulillah.

Kalau kau nak cuba turunkan berat dan cuba untuk jadi lebih sihat, jom ikut aku setiap Selasa kat Nongchik Riverside. Jangan risau, aku tak pernah tinggalkan sesiapa yang lari lebih lambat dari aku.

Malah aku akan sedaya upaya beri kau semangat sebab aku tak nak kau jadi orang yang tak jaga tubuh badan yang tuhan beri macam aku.

Baca lagi: 7 Cara Bagaimana Saya Tangani Halangan Mental Semasa Diet Hingga Hilang 40Kg