Seorang pelajar SPM berusia 17 tahun dari Batu Pahat, Johor, dilaporkan telah meninggal dunia selepas 2 hari koma akibat kemalangan jalan raya, lapor China Press.

Difahamkan bahawa kemalangan yang terjadi pada 1 November itu berlaku ketika pelajar tersebut menunggang motosikal dan mahu ke sekolah pada jam 6 pagi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Semasa dalam perjalanan, dia telah melanggar salah satu lubang yang terdapat di tengah jalan. Kemalangan terbabit telah menyebabkan pelajar SPM itu mengalami kecederaan parah di kepala.

Dia dikejarkan ke hospital sejurus selepas kemalangan dan ditempatkan di unit kecemasan. Pelajar terbabit menghabiskan 2 hari dalam keadaan koma disebabkan kegagalan beberapa organ akibat pendarahan di bahagian otak.

Walaupun dia berada di dalam koma, pelajar terbabit masih mampu menitiskan air mata ketika ibunya memanggil namanya. Semasa berada di hospital, rakan sekelas dan para guru hadir melawatnya selepas mengetahui berita mengenai beliau.

Malangnya, dia dilaporkan telah meninggal dunia akibat kecederaannya.

Saudaranya menyifatkan beliau sebagai seorang anak yang baik, suka menolong orang tua dan mesra dengan rakan-rakan di sekolah. Sejak kecil, dia tidak pernah menyusahkan keluarganya dan menunjukkan prestasi yang baik dalam akademik.

Ibunya tinggal di Johor dan bekerja di Singapura. Kebanyakan masanya dihabiskan bersama kakaknya yang berusia 13 tahun di rumah nenek mereka.

Tambah saudaranya lagi, mendiang berhasrat untuk sambung belajar ke peringkat universiti. Beliau juga merancang untuk membeli keluarganya sebuah rumah dan kereta.

Ahli keluarga mendiang berharap pihak berkuasa akan mengambil tanggungjawab, menyiasat kejadian itu dengan teliti, dan membaiki jalan tersebut secepat mungkin untuk mengelakkan kemalangan serupa berulang.

Untuk rekod, ini bukanlah kejadian pertama membabitkan jalan berlubang dan penunggang motosikal.

Pada September lalu, tular satu rakaman video seorang lelaki nyaris dilanggar kereta apabila motosikalnya hilang kawalan serta-merta dan terbabas selepas melanggar  jalan raya berlubang berdekatan Sky Awani 2 Residence, Sentul, tengah hari semalam.

Menurut salah seorang saksi yang melalui kawasan tersebut, penunggang motosikal yang bernasib malang itu mengalami luka parah di bahagian muka dan dibantu oleh beberapa penunggang motosikal yang lain sebelum ambulans sampai.