Sebelum ini dicatatkan kisah dua pemuda Amerika telah mendaftarkan diri di kem pelarian Zaatari, Jordan agar dapat tinggal selama 30 hari bersama-sama 85,000 pelarian dari Syria.

Turut dipaparkan kisah pemuda Malaysia yang menyelami kehidupan rakyat Syria di sempadan Turki selama 3 minggu sehingga dapat tahu apa pandangan rakyat tentang Bashar dan juga kisah Misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria di bawah MyCorps ke Timur Tengah.

Itu antara artikel berkaitan Syria yang pernah ditulis dan dipaparkan di Vocket.

Gambar: Instagram @musanuwayri

Kali ini kami mahu memaparkan catatan seorang pemuda Malaysia yang terlibat dengan penghantaran ambulan ke Syria pula. Ia dikongsikan di Instagram milik Musa Nuwayri atau nama penuhnya ialah Ahmad Musa al-Nuwayri Kamaruzaman.

Sesungguhnya ia satu projek Ambulance For Syria yang menginspirasikan masyarakat hari ini dengan menghimpunkan ratusan ribu ringgit bagi membeli dan menghantar ambulance bagi menampung keperluan perubatan di Syria.

Ikuti kisahnya di sini.

11 April 2017: Dermawan Dan Projek Ambulance For Syria

Gambar: Instagram @musanuwayri

Suatu ketika, tuhan takdirkan aku ke dalam penjara. Keseorangan tanpa teman. Lalu aku dihantar pulang secara paksa. Dipisahkan dari kawan-kawan. Juga anak-anak Syria yang sudah dijaga sejak mereka masih di dalam perut si ibu.

Hari ini bertubi hikmah yang datang. Tuhan pertemukan aku dengan kalian. Dermawan yang memberi tanpa risau akan baki. Memberi tanpa peduli apa kalian sendiri punya wang untuk membeli pada esok hari.

Dan yang paling gila, hari ini, kisah kami Tangisan Syria Di Bumi Jordan dimuatkan di dalam akhbar yang dijual di seluruh Malaysia. Tuhan pasti membalas kebaikan kalian dan kita semua. Pasti!

Selamat malam.

17 April 2017: Kuasa Allah Mengatasi Segalanya

Gambar: Instagram @musanuwayri

Berbaki 3 hari di tanah air sebelum bergerak ke London untuk misi membawa ambulans ke Syria. Sejujurnya, sebelum projek ini dilancarkan, kami tidak begitu yakin mampu untuk membeli walau sebuah ambulans pun memandangkan masa yang agak singkat.

Kuasa Allah mengatasi segalanya, berkat doa dan usaha dari pelbagai pihak, kami berjaya mengumpul dana untuk membeli sebuah ambulans dalam masa kurang dua minggu.

Dan apabila sumbangan untuk ambulans kedua dibuka, dana cukup dalam masa dua hari sahaja! Terima kasih saya ucapkan kepada kalian. Doakan misi ini berjaya.

Mengikut kajian yang dijalankan, sebuah ambulans insya Allah mampu menyelamatkan sehingga 43 orang sebulan di sana. Ameen.

Selamat malam.

19 April 2017: Misi Yang Berisiko

Gambar: Instagram @musanuwayri

Tipulah kalau tak ada langsung perasaan takut. Ya, memang perjalanan lebih kurang seminggu membawa ambulans melalui jalan darat dari London dijangka ke Bulgaria dan akan disambung melalui jalan laut untuk dibawa sampai ke Syria, tetapi ini masih dikira misi yang berisiko.

Perlu diingat, musuh Islam ada di mana-mana. Apatah lagi apabila misi kemanusiaan ini melibatkan negara yang sedang bergolak, Syria.

Semalam, kesemua ahli konvoi seramai 20 orang daripada Malaysia diwajibkan untuk menulis wasiat. Wasiat perlu disiapkan dan dihantar sebelum berlepas esok.

Internet kemungkinan besar agak terhad di sana. Saya akan cuba untuk update perkembangan kami mengikut kesesuaian. Keselamatan perlu diutamakan.

Doakan perjalanan kami. Doakan ambulans yang menjadi amanah kepada kami selamat sampai ke dalam Syria. Doakan kami selamat pergi dan balik. Doa senjata kita.

Selamat malam.

20 April 2017: Wakil NGO Tangisan Syria Di Bumi Jordan

Gambar: Instagram @musanuwayri

Wakil NGO Tangisan Syria Di Bumi Jordan yang akan ke misi menghantar ambulans ke dalam Syria. Kami akan bertolak sebentar sahaja lagi. Doakan perjalanan ini. Doakan segalanya dipermudahkan. Saya akan update dari masa ke semasa, insya Allah.

20 April 2017: Teruskan Berdoa

Gambar: Instagram @musanuwayri

Briefing di Singapore Changi Airport sebelum perjalanan diteruskan. Tarikh konvoi semakin dekat. Perjalanan panjang yang belum dapat diagak hitam putihnya bakal bermula tidak lama lagi. Teruskan berdoa. Doa senjata kita.

Selamat malam.

21 April 2017: Misi Ini Juga Unik

Misi Konvoi Perpaduan Ambulans dari United Kingdom di TV1. Misi ini dianggap unik kerana majoriti yang menyertai konvoi ini terdiri daripada 20 anak muda Malaysia yang rata-ratanya berusia 30 tahun ke bawah.

Tujuan utama konvoi adalah untuk menghantar kira-kira 100 buah ambulans lengkap dengan keperluan perubatan ke dalam Syria.

Kami terdiri daripada pelbagai NGO antaranya, Malaysian Life Line for Syria (MLLFS), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Tangisan Syria Di Bumi Jordan (TSDBJ), Global Peace Mission Malaysia dan Humanity Heroes.

Perjalanan ke Syria dijangka bertolak pada 24 April ini bermula dari United Kingdom.

22 April 2017: Cabaran Pertama

Gambar: Instagram @musanuwayri

Kami selamat sampai di hotel kira-kira jam 2.00 pagi (waktu tempatan) 22 April selepas menempuh perjalanan dari tanah air kira-kira dua hari. Perjalanan bermula daripada Kuala Lumpur ke Singapura, kemudian ke Amsterdam dan barulah ke London.

Cabaran pertama bermula di Lapangan Terbang Heathrow, London apabila salah seorang ahli konvoi yang sampai awal ditahan pihak imigresen. Beliau ditanya beberapa soalan yang diulang-ulang.

“Mengapa datang ke London?”
“Kenapa ambulans dihantar ke Syria?”
“Adakah kalian juga akan masuk ke dalam Syria?”

Kami dibenarkan keluar selepas lebih 7 jam ditahan dan disoal siasat. Alhamdulillah.

Penatnya usah dicerita. Tetapi sebaik bersalaman dan berpelukan ketika disambut oleh saudara seIslam merangkap tuan rumah selaku penganjur konvoi apabila tiba di hotel, subhanallah, hilang segala letih, berlalu segala masalah.

Sungguh, ketika itulah terasa manisnya ukhuwah. Keindahan dan kelazatannya mustahil untuk digambarkan dengan kata-kata. Mereka jugalah yang bertanggungjawab menyediakan makanan ‘awal pagi’ ketika kami benar-benar kebulur ketika itu.

Ada satu kejadian yang bagi saya meninggalkan kesan yang agak besar. Salah seorang ahli konvoi yang tertunduk keletihan semasa sedang menjamu selera ditegur oleh tuan rumah.

“Kenapa kamu bersedih? Kamu rindukan ibu kamu? Jangan risau. Untuk dua minggu di sini, kami adalah keluarga kalian. Kami yang akan jaga kamu.”

Serius boleh menitis air mata dengar ayat tu lagi-lagi dalam keadaan yang memang tersangat memerlukan tempat untuk mengadu dan meluah.

Terima kasih Tuhan! Perjalanan masih belum bermula. Perjalanan masih panjang. Wallahi kami memerlukan doa daripada kalian.

Doa, doa dan doa!

23 April 2017: Ambulans Ke Syria Sudah Tiba

Gambar: Instagram @musanuwayri

Laju kami berlari keluar apabila dimaklumkan ambulans yang dibeli sudah dihantar ke hotel. Inilah rupa salah sebuah daripadanya yang akan dibawa masuk ke dalam Syria. Ada juga beberapa jenis pacuan empat roda yang lain.

Tak terluah perasaan gembira apabila berpeluang lihat sendiri depan mata. Terbayang-bayang bagaimana lebih gembiranya tuan-puan yang menyumbang sehingga ambulans ini berjaya dibeli.

Ambulans ini lengkap dengan segala jenis peralatan perubatan dan boleh digunakan terus sebaik tiba di Syria nanti. Konvoi kami akan bermula bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Tembakkan doa yang lebih padu dari sebelum ini. Doakan segala ujian dan cubaan sepanjang perjalanan berjaya dilalui dengan sempurna. Insya Allah, kami sudah bersedia!

24 April 2017: Dari UK Ke Syria

Gambar: Instagram @musanuwayri

Last update sebelum bergerak untuk misi konvoi ambulans dari UK ke Syria. Konvoi akan bergerak sebentar sahaja lagi. Doakan perjalanan ini. Doakan segalanya dipermudahkan.

Internet sepanjang perjalanan sangat-sangat terhad. Kami akan cuba update dari masa ke semasa. Teruskan menyokong Tangisan Syria Di Bumi Jordan. Itu sahaja yang kami mohon dari tuan puan.

Doa!

26 April 2017: Peristiwa Di Perancis

Gambar: Instagram @musanuwayri

Kami tiba kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan di Pelabuhan Dover untuk ke Perancis menaiki feri. Dengan jumlah ambulans sebanyak 85 buah, pemeriksaan imigresen berjalan sangat-sangat lama.

Mereka yang sudah melepasi imigresen diarahkan untuk tidak menunggu dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Kumpulan dari Malaysia berjumlah 12 buah ambulans. 9 buah ambulans berjaya lepas awal dan menaiki feri pada jam 6.00 pagi.

Kami selesai agak lewat dan terpaksa menunggu feri seterusnya pada jam 8.00 pagi. Sebaik tiba di Perancis, ambulans kumpulan pertama sudah bergerak jauh di hadapan.

Kami terpisah! Dan kami tercampur dengan kumpulan ambulans yang datang dari UK. Kami cuba berkomunikasi dengan kumpulan pertama menggunakan radio, tetapi gagal kerana jarak yang terlalu jauh.

Apa yang dibimbangkan ketika itu adalah stok makanan yang sebahagian besarnya ada bersama mereka. Akhirnya kami berjaya mendapatkan location kumpulan pertama selepas berhubung menggunakan WhatsApp.

Kami meminta izin dari ketua kumpulan ambulans dari UK tersebut untuk bergerak supaya kami boleh bergabung semula bersama kumpulan kami tetapi ketua mereka tidak membenarkan kerana bimbang risiko-risiko yang mungkin berlaku di dalam perjalanan.

Apabila kami menyuarakan kebimbangan tentang ketiadaan stok makanan, mereka berkata,

“Semalam kau bersama team Malaysia, dan hari ini kau sudah terpisah dengan mereka. Jadi sekarang kau adalah keluarga kami. Jika kau perlukan apa-apa sahaja termasuk makanan dan lain-lain, jangan malu untuk bagitahu kami.

Kerana itulah, konvoi ini dinamakan Unity Convoy.”

Beliau berlalu dan menjerit kepada kesemua ambulans yang ada di situ.

“Perhatian! Orang Malaysia ini tidak ada makanan. Siapa siapa yang ada makanan, sila hantar ke ambulans mereka!”

Maka berbondong-bondong makanan yang dihantar ke ambulans kami. Sangat banyak. Sangat-sangat banyak. Sehingga makanan yang diberi oleh mereka terpaksa di letakkan di dalam dua buah ambulans kerana tidak muat.

Sandwich, buah-buahan, air tin, air masak, jajan, roti dan bermacam makanan yang lain. Dan gambar ini adalah gambar ketika kami sedang asyik menikmati pasta yang sangat power.

28 April 2017: Ditahan Polis

Gambar: Instagram @musanuwayri

Kurang 10 minit selepas kami bergerak bersama kumpulan dari UK, kedengaran suara dari radio ambulans paling hadapan,

“Kami ditahan polis. Diulangi sekali lagi, kami ditahan polis.”

Perlahan-lahan semua ambulans berhenti. Kelihatan dua orang anggota polis Perancis keluar daripada trak. Mereka dilihat bercakap-bercakap dengan ambulans di hadapan.

Selang beberapa ketika, radio menjerit lagi,

“Kami memerlukan penterjemah. Mereka tidak tahu berbahasa Inggeris.”

Dan dibalas,
.
“Baik, sebentar. Beliau dalam perjalanan ke ambulans anda.”

Seorang lelaki berusia 50-an berlari ke arah polis. Beliaulah penterjemah yang dimaksudkan. Selepas 20 minit mereka berbual, penterjemah itu mengetuk setiap tingkap ambulans sekaligus menghilangkan debar di hati.
.
“Diharap semua bertenang. Ini adalah pemeriksaan rutin. Ada pihak yang menyangka kita adalah pendatang tanpa izin dan melaporkannya kepada pihak polis.”

Dua orang polis dilihat berjalan ke arah belakang. Setiap orang diminta untuk menyerahkan passport. Gambar passport kami diambil. Kami sendiri tidak tahu apa tujuannya.

Selepas selesai, kami diarahkan untuk berkumpul di sebuah tanah lapang. Dan kami dilepaskan selang 30 minit kemudian.

Perjalanan diteruskan seperti biasa. Dan kami dijanjikan yang akan bergabung semula dengan team asal malam itu atau selewatnya pagi esok.

Tetapi, semua itu seakan harapan yang tinggal harapan. Hari kedua menjelang petang, kami masih lagi gagal menjejak kumpulan yang asal.

Dan perjalanan diteruskan bersama kumpulan dari UK. Walaupun mereka bekalkan kami dengan stok makanan yang banyak, tetapi kami tetap rindukan makanan Malaysia yang dibawa iaitu pek Brahim’s berperisa Nasi Goreng Ayam, Nasi Tomato, Nasi Lemak dan Mamee Kari.

Hari kedua, rupanya ujian lebih berat menimpa kami. Ubaidah sedang memandu dan saya menemani beliau di sebelah. Azhan di belakang sedang tidur selepas memandu untuk tempoh yang agak lama.

Sedang asyik bersembang, tiba-tiba enjin kereta mati secara tiba-tiba. Pantas radio dipegang,

“Kecemasan, kecemasan! Ambulans kami rosak. Kereta kami rosak.”

Ambulans dipandu perlahan ke bahu jalan. Kenderaan backup dibelakang turut berhenti.

28 April 2017: Terpisah Konvoi Lagi

Gambar: Instagram @musanuwayri

Ambulans rosak menyebabkan kami terpisah buat kali kedua! Dan kami tersadai bertiga di bahu jalan bersama sebuah lagi ambulans backup yang dinaiki sukarelawan dari Pakistan.

Sekali lagi ukhuwah yang ditunjukkan sukarelawan daripada negara lain sangat mengagumkan. Walaupun hanya kereta kami yang mengalami kerosakan, tetapi jumlah ambulans yang berhenti untuk membantu berjumlah 11 buah!

Akhirnya keputusan dilakukan supaya ambulans yang rosak dibawa ke bengkel. Kami terpaksa menumpang ambulans peserta konvoi yang lain.

Subhanallah, mereka benarkan kami untuk berehat di atas katil dan kerusi sebelah belakang yang sudah diubahsuai menjadi tempat tidur yang selesa. Sementara mereka sendiri hanya duduk di atas lantai ambulans.

Apa saat yang paling membahagiakan?

Kami bergabung semula dengan kesemua team konvoi dari Malaysia selepas melalui sebuah terowong yang memisahkan Switzerland dan Itali sepanjang 11 kilometer. Alhamdulillah!

Terpisah hampir tiga hari mengajar kami bermacam benda. Budaya yang berbeza, makanan yang berbeza dan keluarga baru yang seperti sudah kami kenal puluhan tahun yang dulu.

Apa perkara pertama yang kami lakukan selepas berjumpa, bersalaman dan berpelukan?

Masak mamee kari!

28 April 2017: Konvoi Ambulans Terbesar Di Dunia

Tidak pernah terbayang, hari jadi saya yang ke 23 pada tahun ini, hari ini, akan disambut bersama 85 buah ambulans dan 200 sukarelawan dari seluruh dunia. Alhamdulillah.

Jika ditanya apa hadiah yang saya inginkan, saya hanya berimpian agar diberi kesempatan berjumpa setiap seorang penyumbang misi konvoi ambulans ke Syria ini untuk mengucapkan terima kasih.

Merekalah yang merealisasikan konvoi ini yang menurut BBC, merupakan konvoi ambulans yang terbesar di dunia setakat ini. Selepas hampir 120 jam masa dihabiskan di dalam kereta, 2200km sudah ditempuhi, perjuangan masih berbaki separuh perjalanan.

Lagu selamat hari jadi pada tahun ini seeloknya biarlah ditujukan kepada semua,

Allah selamatkan kami,
Allah selamatkan kami,
Allah selamatkan team Unity Convoy,
Allah selamatkan kami.

Terima kasih!

29 April 2017: Tiba Di Greece

Gambar: Instagram @musanuwayri

Selepas menempuh perjalanan hampir 18 jam menaiki kapal dari Itali bersama 85 buah ambulans dan 200 sukarelawan dari seluruh dunia, kami tiba di Greece.

Sepanjang konvoi, solat berjemaah sangat dititikberatkan. Saat yang paling dirasai adalah apabila kesemua sukarelawan berkumpul di tanah lapang untuk solat Zohor dan Asar secara berjemaah sebaik tiba di pelabuhan. Perjalanan diteruskan.

Selepas melalui United Kingdom, Perancis, dan Itali dan sekarang Greece, ternyata Greece adalah negara yang paling terbuka menerima kehadiran konvoi ambulans terbesar di dunia ini.

Mereka malah menghantar kenderaan polis untuk mengiringi perjalanan ambulans dan memastikan segalanya berjalan lancar. Dan yang paling membuatkan kami terharu, kerajaan mereka membenarkan konvoi kami melalui tol-tol mereka secara percuma.

Untuk makluman, Greece adalah di antara kerajaan yang termiskin di kalangan negara Eropah! Bukankah pernah saya katakan, kita tidak perlu menjadi kaya untuk memberi?
.
Bulgaria, kami datang!

29 April 2017: Misi Berjaya

Gambar: Instagram @musanuwayri

Misi ambulans ke Syria sudah berjaya! Selepas 6 hari ambulans menjadi rumah kami, 2700km sudah ditempuhi, hari ini kami sampai ke sempadan Bulgaria-Turki.

Ambulans akan diserahkan kepada NGO dari United Kingdom, Hands In Hands. Mereka yang akan menguruskan urusan kemasukan ambulans ke Turki, seterusnya ke Syria.

Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan kami ketika ini. Amanah kami sudah sampai kepada yang sepatutnya. Ramai yang bertanya, mengapa UK ke Syria? Kenapa ambulans tidak dibeli di Turki? Bukankah lebih dekat?

Bayangkan sepanjang 2700km yang kami lalui, berapa ramai yang tidak tahu akan isu Syria menjadi tahu? Berapa ramai yang kurang peduli teringin untuk sama sama membantu selepas ini?

Terima kasih kepada yang mengikuti kisah pengembaraan kami sejak hari yang pertama. Saya akan tulis cerita yang lebih panjang dan detail kelak. Insya Allah.

Izinkan kami berehat seketika.

Selamat malam Malaysia!

Terima kasih buat Musa Nuwayri yang telah berkongsi catatan bersejarah ini buat semua rakyat di Malaysia. Terima kasih buat semua sukarelawan yang telah merealisasikan projek ini dan juga terima kasih buat para penderma yang mengambil berat dengan keadaan di Syria.

Hanya Allah sahaja dapat membalas jasa baik kalian semua.

Buat pemuda-pemuda Malaysia, anda boleh lakukan sesuatu yang bermanfaat seperti ini untuk beri nilai tambah kepada kehidupan anda dan masyarakat. Ada sebab kenapa anda ada di dunia hari ini.