Sebelum itu, saya ingin mengimbau semangat Florence Nightingale (1820-1910), seorang jururawat yang bertugas ketika Crimerian War sekitar tahun 1853-1856.

Pada waktu itu, beliau berada pada satu cara fikir yang bervisi jauh dan bersifat humanisasi. Antara argumentasinya pada ‘kuasa-kuasa’ pada waktu itu.

rtx6cut9_wide-0966b1068552c4498486b6e344c3dcb19861a885-s1600-c85
HYPE
Ini Inisiatif Tenaga Nasional Berhad Berdepan Musim Tengkujuh Yang Bakal Tiba
Baca lagi →

Dia mendesak agar hospital turut menerima pesakit yang berbeza akidah dan bangsa seperti Yahudi dan Islam (termasuklah katolik yang hanya berbeza mazhab) walaupun ia kelihatan ‘menyalahi’ dan menentang arus kepercayaan konservatif ketika itu.

Dan kesan dari perjuangannya yang bersifat humanis itu dapat dinikmati hingga kini. Dan semua itu atas dasar mahukan pembaharuan, kebebasan dan kemakmuran.

Perempuan Berkalong Sorban (2009)

Sinopsis ringkas, Anissa (lakonan hebat Revalina S. Temat) merupakan seorang anak kepada seorang Kyai Hanan, pemilik sebuah pesantren di Jawa Timur, Indonesia.

Dididik dengan didikan Islam yang agak konservatif sejak kecil, menjelang dewasa cara fikir Anissa mula berbeza dengan cara dia didik atas faktor karekter dirinya yang cerdas, berani dan berpendirian kuat.

Sehinggalah Anissa terpaksa mengikut arahan keluarga untuk mengahwini Samsudin, juga seorang anak kepada pemilik Pesantren Salaf di Jawa Timur, kehidupan Anissa mula berubah.

Begini. Filem yang memaparkan perihal ‘semangat’ wanita sememangnya bukan mudah untuk dibikin sama ada dalam genre apa pun kerana apa sahaja mengenai wanita akan berisiko.

Ia sama ada wanita dilihat hanya sebagai bahan eksploitasi filem atau berjaya menjadi pembangkit medan semangat yang ampuh (lihat perbezaan I Spit On Your Grave (1978) arahan Meir Zarchi dan remake filem ini pada tahun 2010 arahan Steven R. Monroe).

Dua Perkara Yang Saya Gemar Perihal Filem Ini

Pertamanya saya amat menggemari semangat yang dibawa Anissa selaku watak utama. Apabila saya melihat perjuangan Anissa, saya terbawa-bawa semangat Florence Nightingale.

Anissa dilihat bukan menentang agama, tapi cuba menyetarakan agama dengan keperluan (seperti meng’Indonesia’kan Islam dan bukan meng’Arab’kan Islam) tanpa mengorbankan kesyumulan dan kesucian Islam itu sendiri.

Ya mungkin ia boleh mengundang kontroversi dan menyentuh sensitiviti kerana seolah menganggap sekolah pondok (atau pesantren) itu jumud dan konservatif.

Ya, ada beberapa perkara yang mungkin kita boleh persoalkan perihal watak Anissa itu sendiri sebagai seorang wanita muslim.

Tetapi melalui satu sisi pandang yang lain, essence perjuangan Anissa ialah cuba mengangkat wanita pada satu kelas martabat yang sepatutnya di sisi agama dengan menentang satu cara fikir turun temurun yang sentiasa meletakkan wanita di kelas kedua.

Kerana apa yang cuba dibawa dalam filem ini ialah bahawa Islam tidak konservatif, cuma penganutnya yang membawa agama ke lembah jumud.

Dan itu membawa pada sisi kedua iaitu kesesuaian. Saya gemar bila diwujudkan juga watak para antagonis agama. (Saya tak akan lupa wajah Samsudin yang ketika isterinya di dalam pantang pun masih mahu melakukan hubungan intim atas hujah agama).

Kemudian saya gemar juga apabila watak warak pesantren itu dibawa ke Jakarta yang digambarkan secara sinis liberalisasinya.

(Lihat dibeza suasana kota Jakarta melalui beberapa babak seolah mahu kita sebagai penonton membuat perbandingan. Dan ia amat jelas melalui watak teman akrab Anissa bernama Ayu yang punya minda mahu bebas dan akhirnya dilihat bersama teman lelaki dan mungkin telah terlanjur).

Di sini, kita diberi pilihan untuk memilih kesesuaian akal kita menghadam perjuangan Anissa dari sudut penyesuaian dan bukan penentangan. Kerana turut dilihat, ada beberapa babak big turning point yang menonjolkan sisi kontradiksi secara nyata.

Kerana dilihat jelas di satu babak di mana saat Kiyai Besar datang, kelihatan para pelajar berebut-rebut ingin memperhambakan diri (Ya. Bagi aku ini sinis terhadap syiah) seolah kiyai itu manusia sacred dan yang suci tanpa dosa.

Juga adegan rejam (tanpa dibicarakan dan orang awam terus merejam batu atas nama agama) juga mahu kita berfikir dari satu sudut kesesuaian solusi adakah ia tindakan wajar yang benar-benar adil?

Namun satu babak yang cukup kuat dan memberi kata dua ialah saat apabila Nyai Muthmainnah muncul pada adegan rejam dan terus mengambil batu sambil berkata,

“Sesiapa yang tidak berdosa boleh merejam!”

Bagi saya ini satu tamparan hebat yang mampu menggugah nafsu solusi.

Kesimpulan

Filem ini jika dilihat secara literalnya seperti mengangkat tema diskriminasi wanita (yang mungkin dianggap agenda liberal), namun bagi saya ianya jauh dan lebih dari itu.

Ia perlu ditonton melalui jendela keterbukaan dan mengambil setiap sisi positifnya (seperti mana kita menyerap perjuangan Leigh Ann di dalam filem The Blind Side). Di sini, kredit buat Abidah El Khaleiqy selaku penulis novel asalnya.

Ya saya akui, ia punya beberapa kelemahan namun kekuatan tema serta lakonan bagi saya menenggelamkan mungkin beberapa kekurangan filem ini (bagi saya filem ini agak padat seolah dipaksa sumbat keseluruhan novel didalamnya).

Dan ia perlu ditonton sebagai sebuah filem balada yang bermelodikan rock atas tema yang berat namun disampaikan dengan alun pop yang indah.

Oh ya. Reza Rahardian. Jika anda pernah menonton filem komedi My Stupid Boss (2016), anda lihat pula wataknya di dalam filem ini. Jujurnya bagi saya, dia jauh lebih jahat dari Tailong dalam KL Gangster 2 (2013) tanpa perlu membunuh dan bermandi darah!

Skor filem: 8/10

Artikel di atas disumbangkan oleh Hatta Midy. Beliau penulis novel Hadi Mengejar Pencuri. Boleh ikuti beliau di sini.

Anda Mungkin Suka