Nota Editor: Kisah ini diceritakan oleh Tuan Mohd Faiz, seorang usahawan import eksport. Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat kita untuk melayari alam rumahtangga dengan rukun dan damai dan penuh kasih sayang.

Genap 2 tahun 3 bulan!

Teratak yang disewa kini kembali milik pada tuan empunya. Teratak yang menyimpan 1001 cerita, suka duka kami berdua. Aahhh di sinilah kehidupan rumahtangga kami bermula.

Teringat lagi, deposit rumah ini hasil gaji si isteri. Waktu itu dalam akaun aku hanya berbaki RM2000. Hanya cukup untuk beli keperluan dapur dan beberapa peralatan lain.

Masih terngiang.

28 Februari 2013.

Si isteri call, “Abang, boleh bagi nombor akaun abang tak? Wani nak simpan.” Tanpa berfikir panjang aku pun bagi tanpa mengesyaki apa apa.

30 minit kemudian.

“Abang, Wani dah transfer RM2800 ke akaun abang, abang tambah lagi RM1200 lepas tu kita boleh dah bayar deposit rumah.” Allah, besar sungguh nikmat rumah tangga ini. Saat itu, Allah sahaja yang tahu perasaan ini.

Aku bertanya, “Habis tu Wani nak makan apa? Ni kan semua gaji yang Wani kerja?”

Si isteri menjawab, “Tak apa, Wani boleh tapau bawak makanan pi kerja. Telur banyak lagi di rumah tu.”

Anda bayangkan, isteri saya seorang pegawai bank, graduan Universiti Wellington New Zealand, kerja di kotaraya, tetapi hanya makan nasi putih berlauk telur goreng selama sebulan. Dia tak malu nak bawa bekal, dia tak malu nak berpakaian biasa ke tempat kerja. Waktu itu kami masih tinggal berasingan dek kerana belum menjumpai rumah sewa yang murah dan sesuai.

Jasa dan pengorbanan si isteri yang tiada siapa mampu bersaing. Si isteri tinggal di Kampung Baru dan aku menyewa dengan kawan-kawan di Gombak. Satu lagi tamparan dan cabaran buat aku si suami, besar amanah yang tergalas di bahu.

Sampai mati akan ku kenang jasamu.

Dan, di sinilah pejabat pertama aku.

Setahun 6 bulan hanya ber”office” di rumah tanpa pekerja. Di sinilah bisnes borong dari China bermula. Hari-hari tidur jam 2 pagi, bangun seawal 6.30 pagi. Perlu mengurus bisnes yang baru merangkak. Tertiarap dan merangkak lagi. Hantar si isteri ke LRT, 6.30 petang pergi menjemput pula. Myvi menjadi penghubung dan pemudah antara kami.

Jatuh ke gaung dek kerana sombong untuk menuntut ilmu, dirompak RM30,000, ditipu RM12,000 dan banyak lagi memori yang terpahat rapi disini. Sungguh, cukai kebodohan itu lebih mahal berbanding yuran kebijaksanaan. Doakan, penghijrahan ini membawa 1001 kebaikan buat kami sekeluarga.

Nasihat saya, jika mahu memilih bakal isteri, pilihlah yang faham pada agama. InsyaAllah hidup anda akan dipermudah. Seandainya dia patuh pada Penciptanya, maka mudah untuk si dia patuh pada suaminya.

Kasih sayang akan terbenih subur bersama.

BACA: Lelaki Ini Berkata Beliau Tidak Mampu Menampung Isterinya, Dan Dia Betul

BACA Lagi: Ramai Terharu Melihat Cara Suami Ini Menghargai Isteri Selepas Bergelar Ibu

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram