Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Pada pertengahan bulan Ogos lalu, arena permotoran dunia digemparkan dengan berita Petronas menarik diri daripada menaja pasukan Sepang Racing Team (SRT). Tidak lama selepas itu, SIC turut mengumumkan keputusan yang sama. Kedua-dua berita tersebut menjadi tanda tanya apa hala tuju pasukan SRT pada masa akan datang.

Namun, baru-baru ini portal MotoGP melaporkan pasukan tersebut dijenamakan semula sebagai RNF MotoGP Racing dan akan bersaing sebagai pasukan bebas dari 2022 hingga 2026.

Pasukan tersebut masih lagi diketuai oleh Datuk Razlan Razali yang telah menandatangani perjanjian selama lima tahun bersama IRTA, di mana kita bakal menyaksikan penstrukturan model semula bagi pasukan ini meneruskan persaingan pada musim akan datang.

“Ini merupakan salah satu liku-liku perjalanan bagi kami. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami telah berusaha keras untuk menjenamakan dan melancarkan semula sebagai pasukan MotoGP yang lebih segar dan kuat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Carmelo atas kepercayaan dan keyakinan yang berterusan kepada saya untuk bermula sekali lagi dengan pasukan yang baru dibina semula untuk bertanding di kelas utama MotoGP untuk lima tahun akan datang,” jelas Datuk Razlan.

Carmelo Ezpeleta merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP.  Beliau percaya RNF MotoGP Racing bakal mempamerkan aksi hebat pada musim akan datang dan seterusnya.

“Saya berasa senang hati untuk meneruskan kerjasama dengan pasukan yang diketuai Razlan Razali ini. Hubungan kerja lama kami sangat menggembirakan peminat dan persaingan acara permotoran ini.

“Razlan telah menjadi aset hebat buat keluarga MotoGP sejak zaman Sepang lagi dan telah membantu mengembangkan sukan permotoran di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara,” terang Carmelo Ezpeleta kepada laman web rasmi MotoGP.

Petronas dan SIC telah membuat pengumuman mengejut apabila mengundurkan diri daripada menaja Sepang Racing Team. Baca lebih lanjut melalui pautan di bawah.

Petronas Tarik Diri Daripada Menaja Pasukan ‘Sepang Racing Team’

Selepas Petronas, SIC Pula Tarik Diri Daripada Menaja Pasukan SRT

Anda Mungkin Suka