Kebiasaannya kehidupan anak yatim dan miskin di rumah-rumah anak yatim seluruh negara tak jauh beza dengan kehidupan di asrama. Bangun jam 6 pagi, pergi sekolah, balik asrama memenuhi undangan kenduri orang kaya dan kemudiannya lampu akan ditutup jam 10 malam. Pusingan ini berjalan 24 jam sehari, 7 hari seminggu.

Bezanya dengan asrama yang lain, anak-anak ini tidak ada jadual pulang ke rumah. Kerana ramai di antara mereka ialah anak yatim yang tidak punya ayah dan ibu, serta rumah untuk dituju. Tetapi berbeza dengan 10 anak yatim di bawah Projek Teater Teach For The Needs (TFTN) 2015. Ketika rakan-rakan mereka yang lain sedang menjalani cuti persekolahan penggal pertama, mereka sibuk menjalani latihan untuk pementasan teater Kota Kelip-Kelip pada 13 dan 14 Jun 2015 nanti.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Anak-anak ini terdiri dari penghuni Rumah Anak Yatim al-Khairiyah, Klang, Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Bangi serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Batu Pahat. Projek Teater TFTN ialah sebuah projek pemberdayaan seni di kalangan anak yatim dan miskin untuk membina bakat lakonan dikalangan mereka.

Anak-anak ini dilatih di dalam bengkel-bengkel pemantapan teater yang diadakan di 5 rumah anak yatim yang telah dilakukan sejak dari bulan Februari sehingga Mei yang lalu. 10 anak yang terbaik dipilih berdasarkan bakat mereka dan dibawa ke pusat latihan untuk menyertai bengkel selama 2 minggu sebagai persediaan pementasan teater bertajuk Kota Kelip-Kelip.

Beza Projek Teater TFTN dengan produksi-produksi teater konvensional yang lain ialah bengkel penyediaan pementasan diadakan pada musim cuti penggal kerana hanya pada waktu inilah anak-anak cuti dari sesi persekolahan. Ini bermakna anak-anak yang terlibat mempunyai kurang dari 2 minggu untuk menghafal skrip dan berlatih untuk pementasan.

Anak-anak yang dilatih ini ialah anak yatim dan miskin. Sebahagian besar dari mereka ialah anak-anak yang berada di kelas belakang. Latar belakang mereka juga berbeza. Ada di antara mereka yang tidak pernah datang ke Kuala Lumpur atau melihat KLCC. Berbeza dengan anak yang bernasib lebih baik, mereka tidak punyai keluarga untuk dijemput hadir melihat pementasan mereka kali ini. Jadi inilah peluang kita sebagai masyarakat untuk hadir memberikan sokongan kepada anak-anak kurang bernasib
baik ini.

Projek Teater TFTN ialah cabang kecil dari Akademi Seni TFTN (ASET) yang bertujuan untuk mencungkil bakat lakonan anak-anak yatim dan miskin ini agar mereka boleh mengubah kehidupan mereka pada masa depan, memandangkan sekolah dan akademik bukanlah padang yang rata untuk mereka bersaing di alam realiti.

10426284_731241996985901_2588740145529116078_n

Projek Teater TFTN iaitu pementasan Teater Kota Kelip-kelip ini diarahkan oleh aktivis teater terkenal, Fazleena Hishamuddin dengan kerjasama ASET, Kerajaan Negeri Selangor, The KL Review dan juga Outbox Malaysia. Teater ini akan berlangsung di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) pada jam 8.00 malam, 13 dan 14 Jun 2015 ini. Tiket bermula dari RM 28, RM 58 serta RM 98. Hubungi Humaira di 016-5764453 untuk mendapatkan tiket.

BACA: Kisah Loqman Karim, Mangsa Korban Gempa Bumi Gunung Kinabalu

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram