Suasana di Teh Tarik Place ketika itu agak malap. Sambil melihat pemandangan Tasik Putrajaya yang indah, saya duduk berhadapan sepasang suami isteri.

“Pesanlah makanan dan minuman. Sila, sila,” sapa si suami.

Tuan Abu Hassan yang ditemani isterinya sudah lama ajak berjumpa. Beberapa kali saya menolak, menangguh.

Kali keempat, akhirnya mengalah. “Aahh.. berilah peluang.”

Pernah menulis tentang sistem agen Ketuk-ketuk Aidilfitri oleh Puan Aishah Ramond dahulu, saya berdoa pertemuan kali ini isi kandungannya bukanlah satu ulangan.

Ternyata, kedatangan ini tidak sia-sia.

(Sebelum itu, jika Tuan Puan tertanya-tanya di mana cerita Mat Rempit, mohon tunggu sehingga bab terakhir.)

Menghadiri kelas penjenamaan

Abu Hassan

“Tuan, apa yang Tuan mahu kongsikan?” tanya saya memula bicara.

“Puan, begini. Ini adalah cerita tentang Tim Along, satu kumpulan pengedar barangan. Saya mahu bercerita bagaimana Tim Along membangunkan bakat-bakat muda menjual sehingga berjaya.

“Ianya bermula pada tahun 2014, founder kami, Mohd Hellas Shahrir atau Along, berjumpa dengan Tuan Fazli Hisahak ketika kursus Branding Hero. Majoriti yang datang adalah pemilik jenama kecuali Along.

“Along bertanya kepada Tuan Fazli, saya bukan brand owner. Jadi bagaimana patut saya jenamakan diri saya?”

Dari situ, Fazli memberi cadangan agar Along menjenamakan pasukan beliau sebagai pengedar barangan yang serius.

“Ideanya, tanpa terikat dengan produk pun, kami mampu mengedar dan menjual barangan disebabkan network yang besar dan erat. Pengeluar boleh berjumpa kami untuk mengedarkan barangan.

Timbul idea

Semasa Latihan Jualan Korporat oleh Tuan Fazli Isahak. Along dan Tuan Fazli di tengah.

Along bukan sahaja menerima idea bernas dari Fazli.

Pada masa sama, rupa-rupanya Fazli memiliki hak pengedar ekslusif bagi barangan Little Trees. Beliau sudah 18 tahun memegang francais ini di Malaysia.

Lalu Along berunding dengan Fazli untuk mendapatkan hak penjualan Little Trees.

Little Trees hadir dalam beberapa bentuk iaitu kepingan pewangi berbentuk pokok yang kecil, klip pewangi, aerosol dan X-tra Strength iaitu kepingan pewangi bersaiz lebih besar.

Little Trees X-tra Strength

Pada mulanya Fazli mahu memberi hak menjual tidak eksklusif semua produk Little Trees kepada Along. Tetapi Along menolak. Beliau mahu hak menjual penuh.

Setelah berunding selama 8 bulan, akhirnya Fazli bersetuju untuk memberi Along hak menjual produk X-tra Strength secara eksklusif.

Sebagai timbal balik, Along dikehendaki membeli minimum 120,000 unit setahun.

Validasi

Pendukung Tim Along: (Dari kiri) Along, Abu Hassan, Ade, Huzairi Kassim.

Sebelum ini pun Along telah memiliki kumpulan menjual sendiri. Pasukan buku beliau menjual Al-Quran dan kitab Ihya’ Ulumuddin di jalanan.

Pada April 2016, beliau ‘meminjam’ 7 orang ahli divisyen buku untuk membuat validasi jualan Little Trees X-Tra Strength.

Ternyata barangan ini boleh dijual.

Pada 15 Mei 2016, Hellas atau Along membentuk pasukan jualan Little Trees X-Tra Strength dan diberi nama Tim Along.

Tim Along

Tim Along.

Seperti dinyatakan di atas, Tim Along ditubuhkan untuk membina satu platform pengedar yang luas.

“Platform adalah platform. Produk adalah produk,” tegas Abu Hassan.

Little Trees X-tra Strength dipilih sebagai produk jualan mereka yang pertama. Tetapi dari hari pertama lagi mereka sudah jelas bahawa produk boleh ditambah, berubah atau ditukar ganti dalam perniagaan mereka.

Mereka amat jelas, membina satu jaringan yang kuat lagi erat adalah satu prioriti, tanpa mengira apa produk yang dijual.

“Dalam Tim Along semuanya bercantum. Kami tiada masalah berkongsi network dan leverage satu sama lain. Sebagai contoh, Puan Asmahani dari Shah Alam adalah ahli Tim Along dan juga merupakan pengedar utama produk sate kebab. Beliau melantik agen Sate Kebab melalui jaringan Tim Along yang sudah sedia ada.

“Boleh cross-selling, tiada masalah.”

Rekrut Agen

Along dan Abu Hassan menyantuni agen di Beserah.

Oleh kerana produk Little Trees yang asal (saiz kecil) sudah lama berada di rak-rak stesen minyak dan kedai-kedai, agak sukar menjual X-tra Strength yang lebih besar dan lebih mahal secara runcit.

Maka, Along mengambil keputusan untuk menjual X-tra Strength di jalanan menggunakan sistem agen. Lagipun, beliau sudah memiliki ilmu dan pengalaman dalam sistem agen.

“Jadi, bagaimana sepanjang 6 bulan sahaja Tim Along sudah berjaya mendapat sehingga 700 orang agen, dengan 200 orang agen aktif?” tanya saya.

“Agen-agen direkrut secara berterusan. Setiap minggu saya, Along dan dua orang lagi pendukung iaitu Ade dan Huzairi Kassim akan menganjurkan majlis penerangan bisnes. Minggu lepas kami ada dua acara di Terengganu dan Melaka.

“Agen sedia ada pula akan membawa agen baru.”

“Kami juga sentiasa bersedia untuk mengopi dan mengadakan sesi coaching secara percuma. Whatsapp kami secara rasmi dibuka dari 6 pagi sehingga 2 pagi setiap hari.

Sokongan

Latihan fokus.

“Menjual ini tidak mudah. Ramai yang datang (mendaftar sebagai agen), apabila ada kesukaran mula tinggalkan.

“Dari 10 orang prospek agen dekati, mungkin hanya 5 sahaja yang membeli.”

“Untuk mengatasi cabaran ini, kami sediakan modul jualan. Ianya untuk memahami pelanggan, kenapa dia menolak, kenapa dia membeli. Artikel, video dan gambar dikemaskini setiap hari.

“Kami melatih dengan cara show and tell. Kami berjumpa agen dan kami sendiri menjual di hadapan agen.

“Agen ini Puan, mereka mahukan sokongan. Mereka sudah pun pandai menjual, tetapi kadang kala ada cabaran, hiccup. Apabila (orang dari) ibu pejabat datang tunjuk cara yang betul, pertamanya, pemahaman mereka meningkat. Kedua, semangat mereka meningkat.

Platform pengedar

Tim F2F

“Orang Melayu, ni Puan, pandai buat produk. Tapi hendak jual, edar, jadi isu lain. Kami mahu tolong orang yang mahu ditolong.

“Kami membayangkan platform kami ini mempunyai sehingga 5000 agen. Boleh cross selling antara satu sama lain. Bayangkan seorang boleh upsell RM10, ianya good money, Puan.

“Dalam memilih produk kami tetapkan 3 kriteria: kering, kecil dan potensi jualan berulang yang tinggi. Kami belajar daripada pengalaman menjual Al-Quran. Jualan Al-Quran memerlukan 8 minit pitching dengan nisbah jualan 15:1 (15 prospek, 1 pembeli), Little Trees X-tra Strength perlukan 3 minit sahaja dengan nisbah jualan 3:1.

“Kami mengajar bukan untuk jual sekeping. Tetapi 2 keping, 5 keping.

“Dalam membuat jualan kami merekod setiap aktiviti. Berapa orang prospek didekati, berapa orang menolak, berapa orang membeli. Kuantiti pembelian. Semuanya direkod di dalam borang. Agen jualan keluar setiap hari dari 10 pagi sehingga 6 petang.

“Agen jualan sentiasa boleh menghubungi kami melalui Whatsapp.

“Bukan sekadar menjual, agen-agen kami dibangunkan melalui 4 fasa iaitu:

1. Menjual
2. Membina
3. Memimpin
4. Mengurus

Menjual

Agen sedang menjual.

Setiap bulan Tim Along mensasarkan jualan sebanyak 50,000 keping.

“Dalam tim kami, kami tidak utamakan margin keuntungan, tetapi kami utamakan volume (kuantiti). Game trading adalah game volume. Kami tidak mahu jual sekali, kaya 2 tahun. Tetapi, kami mahu produk yang boleh dijual banyak baru kaya.

“Dalam Tim Along, kami mempunyai 3 divisyen. Pertama, adalah jualan face-to-face yang dilatih oleh Along. Kedua, pembangunan agen, dilatih oleh saya. Ketiga, jualan korporat oleh Huzairi Kassim.

“Fokus kami, adalah membangunkan anak-anak muda lepasan SPM atau universiti untuk belajar menjual.

“Setiap pagi agen lapor tugas, isi borang, ambil stok, dan kemudian menjual di jalanan. Apabila petang, balik ke pejabat, kira hasil jualan, dan terus dibahagikan keuntungan.

“Ketika bermula ratio jualan selalunya sekitar 15:1, akan meningkat 8:1, 5:1 seterusnya 2:1. Apabila ratio sudah bagus, cabaran mereka seterusnya adalah menjual lebih daripada satu sehingga mendapat rentak.

“Apabila sudah pandai, bermulalah fasa seterusnya.”

Membina

Kursus pemasaran konten di Bangi.

Selepas pandai menjual, agen-agen ini akan melalui fasa membina. Mereka bukan lagi agen, tetapi dipanggil sebagai ketua kumpulan.

Ketika ini mereka sudah boleh mula duduk di pejabat, mengambil staf, membina pasukan sendiri. Agen-agen baru akan mengambil stok daripada ketua kumpulan.

“Di Bangi, kami sediakan pejabat sebagai launching pad. Internet, meja, kerusi disediakan. Boleh buat kerja, melatih pasukan dan adakan mesyuarat di sini.

“Bukan itu sahaja, ianya tempat untuk belajar secara kondusif. Setiap Khamis, kami panggil orang luar untuk berkongsi. Contohnya, kami pernah memanggil Izwan Robotys untuk berkongsi tentang strategi konten.

“Bagaimana dengan modal?” tanya saya.

“Agen jualan akan mengambil stok dari ketua kumpulan secara konsainan. Ketua kumpulan pula akan membeli stok dari Tim Along secara tunai.

“Ketua kumpulan juga mempunyai tanggung jawab membentuk agen jualan sehingga boleh naik satu tangga seperti mereka.

Memimpin

Praktikal di lapangan.

“Pemimpin pula mempunyai ketua-ketua kumpulan di bawahnya. Mereka membeli dalam jumlah besar.

“Pada fasa ini, sudah tiba masanya pemimpin ‘dihalau’ dan disuruh pergi membina pasaran di tempat-tempat baru, contohnya Kuantan, Melaka, Pulau Pinang.

Di dalam Tim Along, tiada klausa yang menghalang pemimpin, ketua kumpulan atau agen jualan menjual produk-produk lain.

“Mereka juga sudah boleh menjual barang sendiri, tiada masalah,” jelas Abu Hassan.

Mengurus

“Ketika ini, sudah boleh bersara,” jelas Abu Hassan. Pendek.

Mat Rempit

Ade dan Abu Hassan.

Berbalik kepada tajuk artikel ini.

Apabila ditanya apakah perkara yang tidak dapat dilupakan semasa mengusahakan Tim Along, Abu Hassan menceritakan kisah Ade.

“Ade seorang Mat Rempit, Along jumpa tepi jalan. Along dekati sambil minta pemetik api. Sebenarnya itu taktik ja.

“Semasa tu umur dia 18 tahun. Kemudian, dia ikut Along menjual Al-Quran di Ipoh. Selepas beberapa tahun, dia sampai satu tahap berjaya buat jualan yang banyak, dia ‘dihalau’ balik ke Shah Alam.

“Sekarang umur dia 30 tahun. Sekarang, tim dia paling besar, seramai 150 orang agen jualan.

“Dulu dia jual Al-Quran satu demi satu. Sekarang orang jual untuk dia.

“Sekarang dia merupakan salah seorang pendukung Tim Along untuk jualan Little Trees X-tra Strength.