Gigih juga saya menghabiskan tulis bookmark dan tandatangan buku untuk peminat setia yang sudah membeli buku ‪Mat Cleaner UK‬. Pengalaman pertama, tapi cukup menarik.

Dari semalam sudah mula menulis bookmark, bimbang jumlahnya yang banyak tak mampu ditulis serentak dalam masa yang singkat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lebih kurang jam 11.30 pagi, saya sampai di pejabat Komrad Buku. Tuan editor sudah setia menanti.

Sambil menandatangan, kami berbual-bual tentang projek buku seterusnya. Saya menyatakan pelbagai idea yang harapnya cukup ‘catchy’ dan unik untuk dibukukan.

Sedar tak sedar, sudah pukul 1 tengah hari. Lalu Tuan Editor pun mengajak saya untuk makan bersama-sama.

Kami berdua menikmati Nasi Ayam Hainan dengan cukup berselera. Sambil makan, mulut saya masih belum berhenti bercerita, terutamanya tentang kerjaya sebagai tukang cuci.

“Lepas PhD, Tuan kerja apa?” Tuan Editor bertanyakan soalan cepu emas.

Saya menarik nafas panjang. Selama ini, tidak ramai yang tahu pengalaman hidup saya jatuh bangun mencari nafkah dari tahun 2008 hingga sekarang. Ini peluang saya untuk ‘lepas geram’ dan sampaikan kisah saya.

1. Google Adsense

Sesudah saya gagal dalam viva, saya tidak diberi kata putus untuk pulang atau tidak. Untuk mengelakkan dari makan elaun buta, saya mula berjinak-jinak berniaga.

Saya libatkan diri dalam Google Adsense. Bulan pertama alhamdulillah dapat GBP200. Bolehlah untuk bayar bil.

2. Jual gambar

Saya juga belajar teknik mengambil gambar jenis ‘microstock’. Siap buat studio pasang siap dengan lampu spotlight 2 biji.

Kosnya cuma GBP40, kotak kosong dan kertas A4. Macam-macam gambar yang saya ambil, dari peralatan pejabat, buah-buahan hinggalah rempah ratus di dapur.

3. Jual barang di Ebay

Ada kawan di Southampton yang buat duit dengan menjual barang di Ebay. Lalu saya pun cuba menjual lens kamera 50mm jenama Canon sebab saya tahu lens itu sangat digemari ramai dan harganya berpatutan.

Alhamdulillah, sebelum tidur pos stok 10 buah untuk dijual, bangun tidur 7 buah sudah terjual. Senyum saja bungkus lens dan hantar pada pelanggan. Dapat review 5 bintang tak pernah kurang.

4. Tanam cili, tapi tak jadi

Bila pulang ke Malaysia, mulanya saya bercadang untuk bertani, tanam cili fertigasi. Saya ikuti kursus bisnes cili fertigasi di Kuala Selangor.

Berulang kali saya pergi ke rumah seorang kenalan yang mengusahakan perniagaan itu untuk belajar dan kira kos. Namun dek kerana kekurangan wang (perlukan RM20,000 sekurang-kurangnya), saya tangguhkan dulu niat itu.

5. Jual t-shirt

Azam untuk menjual di Ebay masih tinggi. Lalu saya ikuti kursus borong ke China anjuran Anzac Consultancy. Saya pergi ke China dengan duit simpanan yang ada dengan niat untuk cari lens kamera yang murah di sana.

Sayangnya, yang murah ada di Hong Kong. Kalau nak cari barang OEM atau cetak rompak, itu memang mudah di China. Tapi saya dapat idea lain sewaktu di sana, jual t-shirt labuh.

6. Busana muslimah

Selepas ke China, kami mulakan perniagaan Ilham Zayyan Boutique untuk jual busana muslimah. Saya design logo, buat website dan segala benda grafik. Isteri saya pergi ke Bandung untuk ‘survey’ produk dan buat tagging.

Sebelum buat produk sendiri, kami jual produk orang lain dulu. Merasalah masuk TV dan suratkhabar Metro. Akhirnya berjaya buat produk sendiri, dapat buat 3 design kemudian tukang jahit tak tahu nak jahit dan kilang jahitnya bungkus maka habislah idea produk kami.

Bila anak sudah ramai, tak cukup masa untuk usahakan bisnes ini maka ia terhenti begitu saja. Sedih juga.

7. Kerja terjemahan

Sambil jual busana muslimah, saya dan isteri dapat juga tawaran untuk buat kerja terjemahan. Kami terjemah artikel dari bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris.

Nampak mudah, tapi memerlukan disiplin yang tinggi dan tenaga otak yang kuat. Memang tak cukup tidur dibuatnya, dan saya banyak kali demam akibat kepenatan.

8. Jual peralatan makmal

Saya kemudiannya buat kerja jual peralatan makmal. Saya hubungi kembali kawan-kawan pensyarah di serata Malaysia. Buat muka tebal saja pergi ke universiti lama tempat saya bekerja.

Kadang-kadang ke Pahang, kadang-kadang ke Perak. Biasalah di universiti pakai tender dan sebut harga. Ada masa bidaan kita berjaya, ada masa melopong sajalah tengok orang lain dapat projek.

Bukan setiap bulan ada pembelian. Waktu universiti tak beli barang, memang sakit.

9. Baikpulih skrin LCD / LED dan komputer

Tahun 2011, saya dan keluarga menubuhkan syarikat Myung Inovasi Terkini Sdn Bhd. Aktiviti utamanya ialah membaik pulih skrin LCD/LED TV, monitor komputer dan laptop.

Di awal penubuhan, kami cuma dapat pelanggan yang nak baikpulih skrin laptop saja. Sekeping cuma dibayar RM40. Hasil pendapatan sebulan setakat berapa ribu saja, nak bayar gaji pun tak mampu.

Saya usahakan juga buat R&D hingga boleh tahu bagaimana nak baikpulih TV dan skrin pelbagai model, bukan jenama korea saja. Alhamdulillah, sekarang sudah boleh jalan sendiri tanpa bantuan saya. Lalu, saya ambil keputusan untuk undur diri dari perniagaan ini.

gagal-phd-2

10. Seni khat

Bermula tahun 2015, saya bertekad untuk melibatkan diri dalam bidang seni khat. Saya ambil pelbagai kelas dan kursus. Akhirnya pada 2016, saya mulakan secara rasmi perniagaan Affzan Art House, dengan produknya ‪‎hand made khat‬. Ini memang minat saya sejak kecil, cuma kini baru boleh direalisasikan dan dijadikan kerjaya.

11. Tulis buku

Bidang penulisan, saya memang tak pernah ada cita-cita atau tersangka-sangka. Isteri saya yang sarankan saya pergi ke kelas Tuan Zamri Mohamad iaitu Dari Facebook Menjadi Buku.

Bermula dari situlah saya menulis dengan lebih aktif di Facebook, dan lebih berhemah dalam tulisan saya. Tak sangka selepas setahun berlalu, terhasil sebuah buku dan tak sangka ada orang akan ‘identify’ saya sebagai penulis buku. Ya, tak sangka.

Saya bercerita panjang hingga ke pukul 3.30 petang. Tuan editor kebanyakannya hanya mampu mengangguk-angguk dan tersenyum. Saya saja yang bercakap tak berhenti-henti.

Baca: Onak Dan Duri Demi Menggenggam PhD. Tanpa Linangan Air Mata Bukan PhD Namanya

gagal-phd-3

Saya katakan pada beliau, ada beberapa falsafah hidup dan mutiara yang saya kutip sepanjang kisah ini:

1. Ujian ini bagi saya adalah rahmat

Dengan ujian tak lepas PhD, banyak benda yang saya tempuh dan lalui yang tak mungkin saya nampak jika hidup saya ikut SOP yang normal macam orang lain.

Kalau tidak, mungkin saya hanya tahu pergi kerja, balik kerja, tunggu gaji, beli rumah, beli kereta, pencen dan duduk masjid tunggu mati saja.

2. Mengajar erti ketuhanan

Perjalanan turun naik ini mengajar saya erti ketuhanan, bagaimana hidup bertuhan, bagaimana kita perlukan Tuhan dalam hidup. Mungkin saya tak fikir semua ini kalau hidup saya semua otomatik senang dan ‘smooth sailing’.

Bila susah, baru saya tahu nilai tahajud di malam hari. Baru saya tahu nilai titisan air mata bila terasa dah tak ada apa lagi yang mampu dibuat dengan tulang 4 kerat yang ada.

3. Saya belajar erti rezeki yang Allah bagi

Kadang-kadang kita tengok ada orang kerja teruk pagi petang siang malam, tapi hidupnya masih tak bahagia.

Ada juga orang kerja biasa-biasa, tapi Tuhan bagi macam-macam rezeki berupa kesihatan, wang ringgit, perniagaan yang maju dan lain-lain.

Lalu baru saya sedar, itu semua Allah yang bagi pada siapa yang Dia mahu. Bukan atas usaha kita. Kita cuma usaha setakat yang mampu, tapi selebihnya itu Allah yang bagi.

Jangan terlalu taksub dengan usaha marketing kita, atau usaha teknikal kita, seolah-olah itulah punca bisnes kita maju. Sebenarnya Allah yang bagi, usaha kita itu cuma punca untuk dapat rahmat dan rezeki dari Allah.

Bagi saya dalam hidup ini, 20% masa untuk usaha, 80% masa untuk doa dan dekatkan diri dengan Allah. Jangan kita usaha terlebih, tapi doa dan minta dengan Tuhan itu ikut dan saja.

4. Fikir positif dan baik sangka dengan Allah

Bila kita sudah usaha dengan sebaik mungkin kemudian berdoa, yakinlah Allah akan bagi. Pasti Allah kabulkan doa kita. Ini Allah sudah janji dalam Kitab-Nya.

Bila kita belum dapat, saya yakin Tuhan sedang persiapkan diri saya fizikal dan mental untuk sesuatu yang sangat hebat dan besar. Maka sebab itu saya belum dapat.

Sebab itu saya masih diuji. Tuhan mahu saya tabah dan ada ciri-ciri yang layak untuk Dia beri anugerah hebat. Bila saya ada fikiran begini dalam kepala saya, hati saya tenang.

Saya tak kecoh hal orang lain nak khianat pada saya, atau orang lain lagi kaya dari saya. Sebab saya yakin, giliran saya akan tiba.

Cuma belum sampai sebab saya belum sedia. Tapi Allah sedang sediakan saya sekarang ini untuk saya punya ‘ultimate reward’.

5. Allah beri hanya bila saya sudah bersedia

Saya juga yakin, kalau saya tak sedia dan Allah beri sesuatu yang saya tak boleh ‘handle’, mungkin saya akan karam dan hanyut.

Contoh orang yang tak pernah pegang duit sejuta, tiba-tiba dapat tanpa persediaan mental dan spiritual yang cukup, mungkin duit itu akan diguna untuk buat maksiat atau habis begitu saja.

Mungkin dengan anugerah itu, akan buat saya lebih jauh dari Allah. Kalau saya tak sedia dan Allah bagi, silap-silap jadi istidraj. Maka saya yakin, Allah memang sayangkan saya.

Dia takkan bagi dalam keadaan saya tak sedia, sebab Dia tak mahu saya makin jauh dari Dia. Dia sayang saya, sebab itu dia persiapkan saya betul-betul.

Maka bila saya dapat ujian, buat apa saya mengeluh? Sepatutnya saya bersyukur sebab ujian itu tanda Allah tengah latih saya untuk terima anugerah.

6. Lali dengan kutukan dan komen negatif

Saya kata pada Tuan Editor, saya sudah lali dengan kutukan dan komen orang yang negatif. Sebab akhirnya hanya ada saya dan Allah saja.

Orang yang komen negatif, satu sen haram pun tak beri pada saya bila duit saya dalam bank tinggal satu digit. Bila anak saya masuk hospital dan saya kena bayar beribu-ribu ringgit, orang yang banyak mulut itu usahkan nak tolong, bertanya khabar pun tidak.

Jadi buat apa kita pening kepala fikirkan apa orang buat pada kita. Ada ramai lagi kawan-kawan dan saudara mara yang sentiasa sokong dan bantu kita. Orang macam inilah yang kita perlu hargai dan jaga.

Kalau dia ada duit, dia bantu hulur duit. Kalau dia tak ada duit, dia tolong war-warkan bisnes kita. Paling kurang pun dia sedekah ‘like’ dekat Facebook.

Inilah orang yang dekat dengan kita waktu susah atau senang. Saya selalu terbaca, ‘BILA KITA KAYA, ORANG KENAL KITA. BILA KITA SUSAH, KITA KENAL ORANG’.

Ya, bila kita susah, baru kita kenal orang di sekeliling kita yang mana betul-betul membantu dan yang mana larikan diri.

7. Belajar jadi kuat dan tabah

Bila saya buat macam-macam jenis kerja yang tak tetap, ada orang anggap saya tak ada pendirian dan perancangan. Jadi suka buat kerja ‘odd jobs’.

Saya kata begini, dalam hidup kita ini kita boleh buat macam-macam perancangan, tapi tak semua akan jadi kenyataan. Saya merancang macam-macam waktu mahu buat PhD tapi Tuhan tak izinkan.

Namun saya tidak berhenti dan mati di situ. Bagi saya halangan itu bukan petanda dari Tuhan agar saya putus asa. Setiap kali saya diduga, ada 2 saja sebabnya yang saya nampak.

Pertama, Tuhan mahu beritahu bahawa ada jalan lain yang lebih baik. Kedua, Tuhan mahu saya kuat dan tabah, jangan mudah patah semangat sebab Tuhan sedang persiapkan saya. Saya tidak statik.

Kalau saya tengok jalan yang dipilih itu sudah tidak boleh maju lagi selepas segala usaha dah dibuat, saya takkan buang masa dan tenaga untuk rempuh tembok.

Kalau tak tahu sama ada perlu cari jalan lain atau terus juga rempuh, istikharahlah. Semua pilihan ada pro dan kontra. Ambillah yang paling sedikit kerugiannya dan paling banyak untungnya.

Inilah beberapa mutiara yang saya dapat kutip sepanjang turun naik hidup saya menyara diri dan keluarga sejak tak lepas PhD tahun 2008.

Saya belum kaya lagi. Ini bukan tips untuk jadi kaya. Saya hanya kongsi pengalaman hidup. Saya sangat bersyukur Tuhan bagi pengalaman hidup begini. Kalau tidak, mungkin mutiara ini semua saya tak dapat hargai.

Hidup ini indah bukan waktu kita ada rumah besar atau duit berjuta. Yang indahnya berlaku sewaktu kita mengharungi segala jerih payah ini untuk mencapai ‘ultimate reward’ kita dari Allah. Terima kasih Puan Meriza Anna atas kata-kata nasihat yang dikongsikan waktu saya berkunjung ke rumahnya.

Akhirnya saya pun berhenti bercakap dan Tuan Editor pun bangun untuk bayar duit nasi ayam. Dia belanja nasi ayam, saya belanja air liur saja. Saya katakan padanya, cerita ini kalau buat buku, mungkin tak cukup satu buku. Beliau tersenyum.

Saya tak tahu adakah menulis buku Mat Cleaner UK dan bisnes hand made khat ini yang terakhir yang saya usahakan. Tapi saya sangat menikmati kehidupan ini sekarang.

Sentiasa positif dan yakin Allah sedang tunggu kita dengan ‘ultimate reward’.

Baca lagi: Saya Gagal Sewaktu 6 Bulan Pertama Buat PhD Tapi Akhirnya Ini Yang Berlaku