Hari ini anak-anak tahun 6 akan menerima keputusan UPSR. Saya sudah alami perasaan debarannya tahun lepas, jadi tahun ini agak bertenang sedikit. Eh tapi tahun lepas pun saya bertenang juga sebenarnya. Haha.

Saya khuatir sebenarnya. Telah banyak kes anak-anak yang bunuh diri kerana tertekan dengan keputusan peperiksaan yang tidak memenuhi target ibubapa. Jangan ya. Jangan beri tekanan pada anak-anak. Kasihan mereka.

Saya ingin catatkan ini sebagai peringatan untuk diri sendiri. Ya, kadangkala kita sebagai ibubapa meletakkan harapan terlalu tinggi hingga lupa yang anak-anak pun tidak sempurna. Macam kita juga.

Jadi sebelum tidur, saya mahu kongsikan beberapa perkara ini sebagai ‘persediaan mental’ untuk ibubapa.

1. UPSR bukan penentu masa hadapan anak-anak. Perjalanan pendidikan mereka masih terlalu panjang.

2. Usah marah anak-anak sekiranya keputusan mereka tidak memenuhi jangkaan.

3. Inilah masa kita ajar anak-anak supaya bersyukur dan redha.

4. Ibubapa juga perlu belajar bertenang. Respon kita sangat mempengaruhi emosi anak-anak.

5. Jika keputusan baik, ucapkan tahniah. Jika keputusan kurang baik, ucapkan tahniah juga atas usaha mereka. Katakan yang kita tahu mereka sudah cuba yang terbaik.

6. Beritahu anak-anak, usah riak dengan keputusan yang baik. Kecemerlangan adalah ujian. Kegagalan juga ujian.

7. Akhlak dan sahsiah yang baik lebih utama dari keputusan peperiksaan yang cemerlang.

8. Ingatkan mereka supaya ucap terima kasih kepada guru-guru walau apapun keputusan yang diperolehi.

9. Jika bersyukur, Allah akan tambah lagi rezeki dan akan beri yang lebih baik pada masa akan datang.

10. Apa pun keputusan, kita ibubapa akan tetap sayang mereka.

Moga bermanfaat.

BACA: UPSR 2015, 4 Alasan Kenapa Ilmu Tidak Boleh Disamakan Dengan Bilangan ‘A’