Pertama kali saya (dan mungkin sebahagian anda) melihat port kabel kecil yang dinamakan USB Type-C (atau USB-C) ini adalah ketika pengumuman MacBook terkini keluaran Apple pada 9 Mac lalu. Ia dijadikan satu-satunya port yang terdapat pada model Macbook tersebut selain daripada port headphone. Semalam pula Google telah mengumumkan Chromebook Pixel yang baru, juga menggunakan port USB-C. Berbeza dengan MacBook, ia didatangkan dengan 2 port USB-C.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Persoalannya, apa ada pada kabel USB-C ini?

Secara ringkas, berikut adalah kenapa USB Type-C ini sangat hebat:

  • Ia reversible, tiada istilah terbalik. Pusing atas atau bawah, tetap boleh dicucuk (konsep seperti kabel pengecas iPhone terkini – Lighting cable).
  • Boleh membawa data sehingga 10 Gbps! Untuk perbandingan, USB 2.0 hanya 480 Mbps dan USB 3.0, 5 Gbps.
  • Lupakan port video seperti DisplayPort dan HDMI kerana USB Type-C juga boleh memberi fungsi yang sama. Malahan ia boleh membawa data video dalam dua arah. Ini bermaksud USB-C ini boleh menjadi kabel video dari smartphone anda ke PC atau dari PC ke smartphone, atau ke TV, tablets dan lain-lain.
  • Ia juga berkemampuan membawa kuasa watt yang tinggi. Bergantung dari mana sumber kabel USB-C anda dicucuk, ia boleh membawa kuasa watt sehingga 100W. Cukup untuk mengecas penuh sebuah laptop yang high performance.
  • Seperti USB, ia juga adalah open standard. Tidak terikat secara eksklusif pada mana-mana syarikat atau gejet-gejet tertentu.
  • USB-C adalah backwards-compatible. Bermaksud, dengan menggunakan adapter ia boleh digunapakai pada port-port USB yang sedia ada, port HDMI dan sebagainya.
  • Ia kecil, hanya sepertiga dari saiz port USB sekarang. Membolehkan laptop-laptop masa hadapan menjadi semakin nipis serta sesuai juga untuk digunakan pada smartphones dan tablets serta pelbagai peranti lain.

Poin terakhir di atas adalah yang paling menarik. Bayangkan bila laci anda yang selama ini penuh dengan pelbagai jenis kabel, suatu hari nanti akan hanya diisi dengan beberapa kabel USB-C (semestinya anda perlukan lebih dari satu kabel). Kabel itulah yang akan mengecas smartphone anda, laptop anda, menghubungkan smartphone ke laptop, laptop ke monitor external, laptop ke TV, pemain Blu-ray ke TV… Ah, kemungkinan yang tidak berpenghujung.

Namun untuk sampai ke fasa penggunaan USB-C sepenuhnya, kita dijangka akan melalui satu peringkat transisi dengan menggunakan adapter (ya, nasib baik ia backwards-compatible). Tempoh fasa ini bergantung kepada selagi mana anda menyayangi gejet dan peranti sekarang sebelum ia diganti baru.

Tapi yang lebih menarik untuk dibayangkan, beberapa tahun akan datang, kita akan membawa pelbagai gajet dan peranti yang hanya menggunakan satu jenis kabel. Bahkan jika anda terlupa bawa atau kabel anda hilang di Pulau Poros, Greece sekali pun, anda tidak perlu risau kerana sesiapa saja yang sedang mengecas smartphone di sekeliling anda pasti menggunakan kabel yang sama!

Rujukan : Gizmodo