Mungkin kepada sesiapa yang sudah menonton filem Lebuhraya Ke Neraka, pasti anda akan terkesan dengan watak Tyson, iaitu watak syaitan lakonan hebat Khir Rahman.

Menurut kata Khir, apabila Mamat Khalid meminta dia melakonkan watak Tyson, dia keliru bagaimana dia nak melakonkan watak Syaitan sedangkan dia sendiri pun tak tahu watak syaitan itu bagaimana.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sudah pasti bukan mudah nak bercakap mewakili suara Syaitan dalam keadaan Khir sendiri seorang manusia. Ini kerana watak dirasuk (yang sudah selalu kita tonton) sangat berbeza dengan watak menjadi Syaitan.

Mungkin kerana itu, di dalam filem Lebuhraya ke Neraka, walaupun watak Tyson lakonan Khir Rahman itu mewakili Syaitan dalam form seorang manusia, tetapi ada beberapa point yang jelas menunjukkan siapa kita dalam melihat Syaitan.

Sebenarnya walau watak Tyson itu agak asing di Malaysia (apatah lagi dilakonkan oleh pelakon beragama Islam), watak-watak ‘seberat’ itu sudah sering menghiasi layar lebar.

Untuk itu, minggu ini saya memilih menulis mengenai beberapa watak yang boleh dikategorikan ‘sama’ dengan watak Tyson. Dan nota ini sekadar untuk rujukan perbandingan lakonan.

Mungkin senarai ini cuma sebahagian dari pilihan saya dan mungkin anda ada pilihan peribadi yang lain?

BACA: ‘Lebuhraya Ke Neraka’ Karya Mamat Khalid Yang ‘Deep’ Dan Pasti Akan Buat Anda Sentap

1. Al Pacino sebagai John Milton di dalam The Devil Advocate (1991)

John Milton ialah satu watak smart dengan penampilan kemas dan korporat atas kapasitinya sebagai seorang peguam annoying yang bijak berkata dan berkarisma.

Melihat watak ini berkonfrantasi dengan Kevin (lakonan Keanu Reeves) cukup membuat kita terasa yang apa Al Pacino lakonkan ini agak ‘menyeramkan’ apatah lagi di dalam kebanyakkan dialog Milton berbicara soal Tuhan.

2. Peter Stormare sebagai Lucifer Morningstar di dalam Constantine (2005)

Namanya sahaja sudah melambang betapa sungguh ‘jahat’ watak ini. Watak Lucifer di dalam filem ini dibikin kemas dengan sut putih elegan yang bertindak dan berkata-kata bila perlu.

Tanpa perlu tampil di dalam fizikal bayangan Syaitan, watak Lucifer di dalam filem ini akan diingati sebagai watak yang cukup penting selain dari watak Constantine sendiri.

3. John Leguizamo sebagai The Violator/Clown di dalam Spawn (1996)

Tyson bagi saya ialah jelmaan Clown dari filem Spawn. Dengan penampilan bak badut yang lucu, watak ini gemar membikin lawak tetapi jengkel dan suka membantu untuk menyusahkan.

Pasti adegan memakan pizza berulat akan diingati oleh peminat filem ini selain dari paparan bagaimana tentera Hellspawn dalam bayangan pengarahnya.

4. Elizabeth Hurley sebagai The Devil di dalam Bedazzled (2000)

Mungkin boleh dikatakan antara watak ‘evil’ tercantik yang pernah ada. Dengan pakaian merah yang mungkin mewakili betapa ‘panasnya’ watak itu, dia memainkan peranannya yang nakal pada manusia.

The Devil mampu mengubah watak Elliot lakonan Brendan Fraser dari seorang Raja Dadah Colombia hingga menjadi Abraham Lincoln.

5. Rosalinda Celentano sebagai Satan di dalam The Passion of Christ (2005)

Watak ini boleh dikatakan watak minimal di dalam filem ini. Namun kemunculannya dengan penampilan ‘unik dan misteri’ meninggalkan kesan dengan dialog yang memberi impak pada keseluruhan cerita.

Tetapi filem arahan Mel Gibson ini cukup ‘berat’ dan ‘dalam’ untuk diselusuri apatah lagi ia berkisar pada kepercayaan dan sejarah.

6. Jun Kunimura sebagai The Stranger di dalam The Wailing (2016)

Mungkin jika anda belum pernah menonton filem ini maka boleh saya katakan ini spoiler terbesar untuk filem ini. Berpenampilan orang tua kampung yang gemar memancing ikan, secara zahirnya ia tidaklah sengeri mana.

Tetapi jika anda pernah menontonnya pasti anda akan terbayang bagaimana ‘orang asing’ ini mengucapkan petikan ayat dari Bible di hadapan seorang paderi melalui form beliau yang sebenar. Cukup menggerunkan bukan?

7. Jack Nicholson sebagai Daryl Van Horne di dalam The Witches of Eastwick (1987)

Jack Nicholson cukup memberi di dalam filem The Shining yang mana dia terpaksa berhadapan dengan permainan Syaitan. Kali ini beliau menjadi ‘syaitan’ yang cukup menggoda dan dalam masa yang sama mampu meracun fikiran manusia.

Berpenampilan fancy tetapi misteri, watak yang asalnya untuk Bill Murray ini sememangnya agak mencabar tetapi berjaya dilakonkan dengan baik oleh Jack.

Masih ada beberapa lagi watak yang saya rasakan ‘kuat’ di dalam membawakan watak ‘jahat’ seperti ini. Dan mungkin watak Tyson agak jauh untuk diperbandingkan.

Tetapi seperti yang saya katakan, melakonkan apa yang kita tak nampak tidak mudah apatah lagi melakonkan watak musuh sepanjang hayat.

Dan walaupun watak Tyson watak kontroversi lakonan manusia, tetapi ada eskapisme yang membuat Tyson mungkin bukan Tyson yang menjadikan filem Lebuhraya ke Neraka sebagai naskah penghubung antara kita dan sesuatu yang mungkin kita lupa wujudnya.