Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa bersyukur atas kebenaran ditegakkan selepas beliau dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berkenaan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pada 26 Jun 2019, Presiden UMNO itu didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem VLN.

Bagaimanapun, pada 31 Julai 2019, mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama-sama 33 lagi pertuduhan rasuah membabitkan VLN.

Kesemua kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan bersama. Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid turut didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc; dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu The Vocket pernah melaporkan seorang pengarah syarikat mengaku beri suapan kepada Zahid Hamidi sebanyak RM1.6 juta sebulan dan nama ‘KJ’ disebut sebagai antara penerima dana politik UKSB.