Adakah Malaysia Pro-Wahabi? Adakah Malaysia Pro-Syiah? Ayuh dalami 25 fakta di bawah

1. Kenapa Malaysia menerima lawatan Raja Arab Saudi pada 2017, tetapi pada 2016 turut menerima lawatan Presiden Iran? Sebenarnya Malaysia mengutamakan kepentingan nasional dan faedah jangka masa panjang dalam mengatur hubungan dengan kedua-dua kuasa bermusuh ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

2. Arab Saudi dan Iran sememangnya berseteru, hingga ke tahap di mana kedua-duanya menaja pengembangan pengaruh kekuatan masing-masing melalui ketenteraan di Timur Tengah, terutamanya di Syria dan Yaman.

3. Namun dalam konteks geopolitik Asia Tenggara, kedua-dua Arab Saudi dan Iran tidak bersaing hingga ke tahap menaja pemberontakan bersenjata sama ada di Malaysia mahu pun di Indonesia.

4. Demikianlah premis Perdana Menteri Najib sewaktu lawatan Presiden Iran pada 2016 berkata, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai keperluan untuk bekerjasama di peringkat antarabangsa dalam pelbagai forum bagi memastikan kestabilan dan keamanan dalam dunia Islam:

“Kita mungkin mempunyai pendapat yang berbeza, tetapi kita mempunyai objektif dan matlamat yang sama. Oleh itu jika kita bekerjasama lebih rapat, ia akan menjadi lebih baik untuk dunia Islam.”

5. Kunjungan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada 2017 turut signifikan dalam iklim ketidaktentuan geopolitik dunia. Lawatan baginda bukan sahaja tambah mengeratkan hubungan diplomatik yang sejak sekian lama terjalin, tetapi turut membuka dimensi baharu dari perspektif pertahanan, perdagangan, penyelidikan saintifik, dan juga pendidikan kedua-dua negara.

Antara yang menjadi tumpuan pastilah pemeteraian beberapa memorandum persefahaman persetujuan bagi penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Malaysia, dan juga persetujuan awal Malaysia dalam latihan pengurusan dan kawalan kapal selam kepada angkatan tentera laut Arab Saudi.

6. Dari segi sejarah moden, Malaysia telah pun menjalinkan hubungan dengan Arab Saudi sejak awal kemerdekaan lagi. Antaranya disebabkan keperluan aktiviti ibadat Haji dan Umrah.

Hubungan Malaysia dengan Iran pula hanya bermula pada 1970 apabila Kedutaan Malaysia dibuka di Tehran manakala Kedutaan Iran di Malaysia dibuka pada 1980, meskipun sebelum itu sudah pun ada lawatan Raja Iran beserta delegasi perdagangan Iran ke Malaysia pada 1968. Malaysia Tidak pernah memutuskan hubungan dengan Iran meskipun selepas Revolusi Iran pada 1979 yang menumbangkan rejim Pahlavi.

7. Pemilihan Malaysia sebagai tapak Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman dalam usaha untuk menangkis naratif ekstremis adalah cukup strategik dalam jangka masa panjang.

Hal ini bukan sahaja memanfaatkan Malaysia, tetapi juga buat keseluruhan negara-negara serantau Asia Tenggara di mana dari perspektif penubuhan Komuniti ASEAN, usaha pencegahan penyebaran ideologi pengganas boleh dibasmi secara bersepadu dan berkesan. Sebagaimana sedia diketahui, Indonesia dan juga Filipina turut berhadapan dengan ancaman ideologi ekstremis ini.

8. Dari perspektif makro pula, iklim geopolitik dunia yang diakibatkan oleh ketidaktentuan pentadbiran Presiden Donald Trump di Rumah Putih, serta peningkatan ketegangan hubungan antara AS dengan China turut menatijahkan keperluan yang lebih besar buat Malaysia untuk mengembangkan hubungan baik yang seimbang dengan pebagai kuasa.

Malaysia dan Arab Saudi sememangnya diketahui berganding bahu dalam mendepani isu-isu geopolitik seperti isu Palestin, isu pendudukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan, isu Bosnia, dan lain-lain menerusi pelbagai platform termasuklah Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM), Kumpulan 77 (G-77), dan Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC).

Demikian juga dengan Iran di mana Malaysia tidak teragak-agak untuk menyalurkan sokongan dalam hal kepentingan bersama seperti isu pembebasan Palestin serta ancaman Zionis.

9. Arab Saudi sememangnya terkenal sebagai bukan sahaja memiliki kapasiti ekonomi yang signifikan, tetapi juga ketenteraan yang kuat serta iltizam politik yang tinggi dalam menentukan percaturan geopolitik Timur Tengah.

Namun dalam keadaan situasi ekonomi global yang tidak menentu, serta kejatuhan harga minyak, ditambah pula dengan langkah pentadbiran Obama yang memeterai perjanjian persetujuan dalam isu nuklear dengan Iran, maka Riyadh terpaksa mengambil inisiatif proaktif ke Asia Timur dan Asia Tenggara bagi memupuk kepentingan strategik jangka panjang.

10. Khusus dalam konteks situasi pergelutan di Asia Barat, Malaysia dan Arab Saudi telah mengambil pendirian dalam sesi lawatan baru-baru ini dengan penegasan kembali Inisiatif Keamanan Arab buat keamanan di Palestin, penegasan kenyataan Geneva 1 dan Resolusi 2254 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dalam penyelesaian krisis Syria, penegasan komitmen kepada Inisiatif Teluk dan Resolusi 2216 (UNSC) dalam penyelesaian krisis Yaman, serta penegasan kepada Iran agar meningkatkan komitmen mereka kepada kedaulatan negara-negara lain di rantau Asia Barat.

Hal ini tidak bermakna Malaysia memusuhi mana-mana negara, malah dalam konteks hubungan Malaysia-Iran, Malaysia turut memainkan peranan konstruktif dengan menyasarkan usaha pemeteraian perdagangan bebas menjelang akhir 2017.

11. Ramai yang telah lupa akan kisah Tun Mahathir yang pernah ‘mengingkari’ Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan sekatan ke atas Iran apabila menjalinkan kerjasama ekonomi dengan Iran pada waktu itu.

Demikian juga ramai yang terlupa bahawa Tun Abdullah Badawi telah menandatangani Amman Message yang berbunyi: “They specifically recognized the validity of all 8 Mathhabs (legal schools) of Sunni, Shi’a and Ibadhi Islam; of traditional Islamic Theology (Ash’arism); of Islamic Mysticism (Sufism), and of true Salafi thought, and came to a precise definition of who is a Muslim” (Laman Sesawang Rasmi Amman Message, 2007)

12. Malaysia bukan sahaja mempunyai hubungan dagang yang agak tinggi bersama Iran, bahkan juga ketika ini kita mempunyai beberapa projek perumahan di negara itu sebagaimana menurut Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Jumlah dagangan Malaysia-Iran berada pada paras yang stabil, bernilai RM95 juta tahun 2015. Syarikat penerbangan kos rendah jarak jauh AirAsia X pada 2016 telah mengumumkan bahawa syarikat itu sedang menimbang untuk kembali terbang ke Tehran berdasarkan potensi besar negara itu.

13. Ekonomi Iran ialah yang kedua terbesar di Timur Tengah dan Afrika Utara selepas Arab Saudi dengan KDNK USD406.3 bilion pada 2014 sahaja; Rezab gas Iran ialah yang kedua terbesar dunia, rezab minyaknya pula keempat terbesar dunia; Populasi Iran ialah yang kedua terbesar di Timur Tengah dan Afrika Utara selepas Mesir dengan 78.5 juta penduduk.

Baca: Pergilah Merantau, Tetapi Kenapa Saya Kata Jangan Lupa Balik Malaysia

14. Malaysia berharap dapat meningkatkan hubungan dagangan dua halanya dengan Iran pada tempoh selepas berakhirnya sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap negara itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak:

“Bank pusat Malaysia dan Iran akan berbincang dalam masa terdekat bagi mengenal pasti mekanisme baharu yang membolehkan sektor swasta kedua-dua negara menjalankan perniagaan secara cekap dan berkesan.”

Malah, Lembaga Minyak Sawit Malaysia telah memutuskan untuk membuka pejabat serantau di Tehran pada suku pertama 2017.

15. Malaysia amat berminat untuk menyertai sektor minyak dan gas, pembinaan lebuh raya dan automotif Iran; Iran mengeksport 12,000 kereta Proton Saga sebelum ini dan Malaysia berharap dapat menyertai industri automotif negara itu, khususnya sebagai pembekal; Iran Khodro dan Proton pernah bekerjasama dalam bidang automotif pada 2008.

16. National Iranian Oil Engineering and Construction Company dan syarikat Malaysia SKSD pernah bekerjasama untuk membangunkan Pusat pemprosesan / penapisan Kedah pada 2009; Malaysia-Iran pernah bekerjasama bersama Venezuela di Syria pada 2007 bernilai USD2.6 bilion.

17. Iran-Malaysia Businessmen Council ditubuhkan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 2009; Pada 2013 sahaja, sembilan syarikat Malaysia menerusi MATRADE telah berjaya menjana perniagaan bernilai RM664.65 juta sewaktu Pameran Industri Antarabangsa Tehran ke-13.

18. Pada 2002 mantan Presiden Iran Mohammad Khatami dalam lawatan ke Malaysia telah menandatangani MoU melibatkan pelancongan, perdagangan, dan pelaburan.

19. Pada 2008 Tun Abdullah juga menandatangani perjanjian kerjasama sewaktu lawatan beliau ke Iran dalam bidang teknologi, kempen anti-dadah, serta pembuatan kereta.

20. Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) pada 2016 menyenaraikan produk yang syarikat Malaysia boleh tawarkan buat Iran: Sektor minyak dan gas; bahan mentah, produk separa-siap, peralatan dan bekalan perindustrian; automotif dan komponen automotif; produk kimia; bahan pembinaan; peralatan perubatan; barangan getah; produk makanan.

Manakala dari segi Perkhidmatan yang boleh syarikat Malaysia tawarkan: segala perkhidmatan berkait dengan minyak dan gas; kepakaran berkait dengan jentera, dan teknologi pembaikan proses; penyelenggaraan, pembaikian, dan pengoperasian pesawat dan maritim; segala perkhidmatan berkaitan lapangan terbang, kereta api, dan infrastruktur.

21. Namun terdapat kesukaran buat Malaysia dan Iran bagi menjalankan transaksi dalam Dollar AS; maka Malaysia dan Iran menggunapakai Yuan (China) dan Yen (Jepun) dalam transaksi bilateral kedua-dua negara.

22. Malaysia menegaskan mana-mana negara anggota Perjanjian Anti-Percambahan (NPT), termasuklah Iran, berhak untuk membangunkan tenaga nuklear demi kegunaan yang selamat, bukannya untuk persenjataan.

23. Perlu ditegaskan bahawa Malaysia memiliki kedaulatan tersendiri dalam menentukan dasar luar, pertahanan, dan perdagangan negara. Adalah cukup mengecewakan apabila terdapat suara-suara yang cuba mempersoalkan langkah Malaysia meningkatkan kerjasama dengan Arab Saudi mahu pun Iran.

Berdasarkan senario semasa, Malaysia sememangnya berada dalam trajektori yang tepat apabila meningkatkan hubungan dengan Arab Saudi dan juga Iran. Sebagai contoh, jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi (RM3.4 bilion) dan Iran pada 2015 adalah masih rendah berbanding dengan China (RM101 bilion), Amerika Syarikat (RM73.6 bilion), dan Jepun (RM73.8 bilion).

24. Demikian juga dalam aspek pertahanan, Malaysia pada ketika ini masih perlu mengimbangi percaturan geopolitik jangka masa panjang antara dua arah tradisi, iaitu antara negara-negara di sebelah Timur iaitu di rantau Laut China Selatan, dengan negara-negara dari arah Barat iaitu di rantau Lautan Hindi. Maka langkah Malaysia menyahut jemputan Arab Saudi dalam latihan ketenteraan North Thunder pada 2016 adalah cukup strategik.

25. Maka, sepertimana langkah Laksamana agung Melayu Hang Tuah yang berusaha mengimbangi hubungan diplomatik antara Melaka dengan China, Majapahit, dan Siam di Timur, dengan India dan Turki dari Barat, wajarlah Malaysia memanfaatkan kerjasama dengan kedua-dua kuasa Arab Saudi dan Iran ini sebagai pemangkin untuk menerokai pelbagai peluang dengan negara-negara Teluk yang lain.

Dalam masa yang sama, langkah ini secara tidak langsung bakal memupuk batu asas untuk kerjasama masa depan yang lebih erat dengan kuasa-kuasa utama Asia Barat yang mendominasi Lautan Hindi, sebagaimana nilai kerjasama Malaysia dengan kuasa besar di Laut China Selatan dan Lautan Pasifik pada masa kini.

Baca lagi: Jack Ma Pilih Malaysia Sebagai Hab Barangan Serantau Terbaru Alibaba